Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Kedai roti talian hayat golongan fakir Afghanistan

    KABUL, AFGHANISTAN – Kesibukan dan hingar-bingar bandar Kabul ketika warganya bergegas dengan urusan masing-masing menjelang senja bagaikan dunia halimunan buat sekumpulan wanita berburka biru dan lelaki tua yang duduk diam di depan sebuah bakeri di tepi jalan.

    Tidak sukar menelah yang masing-masing hanyut dalam fikiran sendiri sambil menunggu jika ada yang sudi memberikan mereka beberapa keping roti pipih Afghan atau naan-e-Afghani, untuk hidangan diri dan keluarga.

    Tiada yang luar biasa tentang senario itu kerana sejak sekian lama sudah menjadi lumrah buat golongan fakir di kota Kabul ini menunggu di depan bakeri. Cuma kebelakangan ini jumlah mereka semakin ramai, membayangkan krisis kemanusiaan di Afghanistan bertambah buruk.

    Senja semakin larut. Karina, 35, yang sudah agak lama menunggu di depan bakeri itu bergegas bangun apabila seorang wanita datang membeli roti. Namun, belum ada rezeki buat Karina apabila wanita berkenaan berlalu pergi begitu sahaja.

    Hampa namun tidak berputus asa, ibu tunggal enam anak itu memberitahu Bernama dia mula menunggu ihsan orang ramai di depan bakeri tersebut selepas Taliban mengambil alih kerajaan dan majikannya melarikan diri ke luar negara.

    Golongan fakir di kota Kabul menunggu di depan bakeri sekiranya ada yang sudi memberikan mereka beberapa keping roti pipih Afghan. – Bernama

    “Kadang-kadang saya dapat tiga atau empat keping roti. Ada sekali saya dapat lima keping,” ceritanya yang kematian suami akibat penyalahgunaan dadah.

    Karina ditemani anak lelakinya yang berusia enam tahun. Anak gadisnya yang berusia 15 tahun berada di rumah menjaga empat lagi adik dengan si bongsu baru berusia setahun setengah.

    Menurut wanita itu dia tidak menerima sebarang bantuan. Ditanya sama ada jumlah roti yang diterima saban hari mencukupi untuk keluarganya, Karina berkata cukup atau tidak, itu sahaja rezeki mereka.

    “Sebelum Taliban memerintah, jumlah pengemis cuma dalam empat atau lima orang sehari. Sekarang yang datang ke kedai saya dalam 25 hingga 30 orang,” kata pengusaha sebuah bakeri di 10th Street, Shafiqullah melalui bantuan penterjemah.

    Seperti kebanyakan warga Afghanistan, lelaki itu juga hanya menggunakan satu nama.

    Menurut Shafiqullah, perniagaannya juga terjejas teruk. Sejak Taliban mengambil alih kerajaan pada Ogos tahun lepas susulan pengunduran Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan pimpinan Ashraf Ghani tumbang, jumlah pelanggannya merosot.

    Katanya, jika sebelum ini dia mampu menjual hingga 1,600 keping roti sehari pada harga AF10 (RM0.46) sekeping, sekarang dia bertuah kalau dapat menjual 900 keping.

    Shafiqullah tidak bersendirian. Rata-rata pengusaha bakeri yang ditemui di bandar Kabul ini turut berdepan situasi sama. Semakin ramai yang tidak mampu membeli makanan ruji mereka itu akibat kehilangan pekerjaan selain tidak dibayar gaji. Apabila AS keluar dari Afghanistan, bantuan kewangan juga terhenti. Afghanistan berada di bawah sekatan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Taliban kembali berkuasa.

    Selain itu, harga bahan mentah juga meningkat berkali-kali ganda iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan dilihat terus meningkat. Masalah diburukkan lagi oleh kemarau dan gangguan rantaian bekalan akibat penularan COVID-19. Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) melaporkan Afghanistan memerlukan kira-kira enam juta tan gandum setahun namun bekalan yang tiba di negara itu tidak mencukupi.

    “Masalah pandemik, rasuah (dalam kerajaan terdahulu), kemarau. Kemudian, pertukaran kerajaan – semua ini berkait,” jelas Dr Muhammad Amin, perantara yang membantu menghubungkan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Afghanistan.

    Isu kekurangan bekalan makanan bertambah meruncing susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang turut mengakibatkan dunia memulaukan Rusia. Kedua-dua negara itu membekalkan keseluruhan 29 peratus eksport gandum dunia.

    Data menunjukkan 95 peratus daripada kira-kira 39 juta penduduk Afghanistan tidak cukup makan sementara 8.5 juta lagi hampir kebuluran. Kebanyakan mereka hanya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dengan sesetengahnya memperoleh pendapatan sekitar AF100 atau RM4.63 sehari.

    Pada satu program agihan bantuan di Kabul, Pengerusi Global Peace Mission Malaysia Datuk Ahmad Azam Ab Rahman memberitahu Bernama, pengunduran AS dari Aghanistan memuktamadkan krisis kemanusiaan di negara itu, menyebabkan keluarga yang sebelum ini mampu menyara diri kini memerlukan bantuan.

    “Mereka tiba-tiba jadi miskin kerana tidak ada gaji. Mereka tiba-tiba jadi miskin kerana tak ada kerja. Kilangnya tutup, hotelnya tutup. Jadi inilah realiti baharu di bandar yang kita perlu ambil perhatian,” katanya.

    Saling tuding jari

    Taliban yang menyifatkan krisis kemanusiaan itu sebagai bencana buatan manusia, menyalahkan sekatan yang dikenakan ke atas mereka selepas kerajaan Ashraf Ghani tumbang.

    “Dunia merampas hak kami untuk hidup yang merupakan hak paling asas bagi setiap manusia, dengan melaksanakan sekatan dan pemulauan yang memberikan impak negatif kepada sektor swasta kami,” kata Abdul Qahar Balkhi, jurucakap Kementerian Luar Afghanistan kepada media Malaysia pada 23 Februari lepas.

    Beliau juga mengulangi gesaan agar masyarakat antarabangsa berbincang dengan kerajaan pimpinan Taliban itu dalam usaha menyelesaikan krisis.

    Masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban, bermakna dana antarabangsa yang diwujudkan bagi membina semula Afghanistan kini dibekukan sekalipun ada sedikit kelonggaran bagi membolehkan penyaluran bantuan. Mereka juga tidak boleh mengakses aset kerajaan Afghanistan yang dipegang oleh AS.

    Beberapa minggu lepas, AS mengumumkan ia melepaskan separuh daripada aset bank pusat Afghanistan yang bernilai AS$7 bilion itu untuk tujuan bantuan kemanusiaan, manakala baki disalurkan kepada keluarga mangsa tragedi 11 September. Langkah itu menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat Afghanistan terhadap kuasa dunia tersebut, manakala pakar ekonomi pula menjangka tindakan berkenaan bakal meruntuhkan ekonomi.

    Sekalipun agensi bantuan berjaya menghalang masalah kebuluran daripada bertambah teruk, masih ramai yang perlukan bantuan. Bagi mengelakkan pelanggaran sekatan, agensi bantuan antarabangsa perlu mengagihkan bantuan terus kepada rakyat, bukan melalui kerajaan Taliban. Dalam pada itu, disebabkan jumlah bantuan tidak banyak, kumpulan bantuan kemanusiaan menetapkan kriteria ketat yang perlu dipenuhi oleh penerima sebelum bantuan disalurkan.

    Dr Amin berkata dalam kebanyakan kes, bantuan tidak sampai kepada yang benar-benar memerlukan kerana mereka tidak dapat memenuhi kriteria asas seperti dokumen pengenalan diri.

    “Banyak yang tercicir kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan Afghanistan. Sesetengahnya mungkin tidak tahu di mana hendak dapatkan dokumen itu. Kita nampak ramai orang memerlukan di jalanan, namun apabila ditanya mengapa mereka tidak beroleh bantuan, jawapannya kerana mereka tidak ada dokumen diri,” jelasnya ketika menyentuh tentang isu pengemis di bandar raya ini.

    Pengemis terbabit, selalunya kanak-kanak dan remaja, akan mengetuk tingkap kenderaan meminta wang, sementara yang lain pula duduk di tengah-tengah jalan menyebabkan kenderaan terpaksa memperlahankan dan mungkin menghulurkan sedekah. Bagi yang lain pula, lazimnya wanita bersama-sama anak kecil serta warga emas, mereka akan menunggu di depan bakeri mengharapkan sumbangan.

    Pengiktirafan

    Bagi Sher Ali yang sebelum ini adalah buruh harian, bakeri di 11th Street merupakan talian hayatnya. Dia menjadi “pengunjung” tetap bakeri berkenaan sejak sebulan lalu setelah diberhentikan kerja dan gagal mendapat pekerjaan baharu. Pada usia 68 tahun, warga emas itu perlu menanggung empat anak kecil dan seorang isteri. Dua anak perempuannya yang sudah berumah tangga, tidak dapat membantunya kerana suami masing-masing juga menganggur.

    “Selepas Taliban memerintah, tidak ada peluang pekerjaan, jadi saya mula datang ke sini mencuba nasib jika ada yang sudi berikan saya roti untuk dibawa pulang,” katanya menerusi bantuan penterjemah.

    Karina dan Ali mahu kembali bekerja untuk menyara keluarga mereka, namun hasrat mereka itu mungkin sukar untuk dicapai. Ini kerana, walaupun sesetengah agensi bantuan sedar akan kepentingan menawarkan latihan dan meningkatkan kemahiran, hanya segelintir sahaja yang akan berpeluang menerima latihan itu.

    Azam berkata ketiadaan pengiktirafan terhadap kerajaan Taliban menyukarkan NGO untuk menjalankan tugas mereka kerana pendekatan kerajaan dengan kerajaan adalah cara terbaik dalam memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.

    “Kita perlu menghapuskan mentaliti tidak mahu berurusan dengan kerajaan (Taliban). Sebaiknya kita berurusan dengan mereka. Kalau sekadar NGO dengan NGO, sebab itu barang susah nak lepas,” katanya, merujuk kepada lima tan bantuan kemanusiaan yang diterbangkan khas oleh kumpulan NGO Malaysia ke Afghanistan dan masih menunggu pelepasan pihak berkuasa.

    PBB sedar akan isu ini. Wakil Khas PBB Deborah Lyons memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB pada Khamis lepas bahawa kerjasama dengan Taliban dalam semua isu diperlukan untuk menyelesaikan krisis ekonomi.

    Di sebalik kesukaran hidup di Afghanistan, sikap prihatin dalam kalangan rakyatnya tidak pudar. Seorang lelaki dilihat membeli puluhan roti dan mengagihkan makanan itu kepada kumpulan wanita serta warga emas yang menunggu di depan bakeri, sebelum menghulurkan baki kepada kanak-kanak yang mengerumuninya. Usai mengagihkan roti, dia tidak beredar pergi sebaliknya kembali ke bakeri untuk membeli lebih banyak roti bagi diberikan kepada kanak-kanak.

    Pekerja sebuah bakeri di 11th Street, Naser, 46, memberitahu Bernama tidak ada yang pelik tentang apa yang dilakukan oleh lelaki tersebut kerana pengusaha bakeri juga kadang-kadang mengagihkan roti yang tidak habis dijual kepada mereka yang menunggu di luar.

    “Kadang-kadang pelanggan yang bagi, kadang-kadang kami sendiri yang bagi. Sikap prihatin ini kan bagus,” katanya sambil tangannya lincah bekerja, memasukkan roti satu demi satu ke dalam ketuhar. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...