Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    ‘Kekejaman di Tuol Sleng tidak boleh berulang lagi’

    Oleh David Lee
    Gambar ANN/The Straits Times

    PHNOM PENH – Jalan 113 di daerah Boeung Keng Kang III dipenuhi dengan kafe, kedai serbaneka dan salun kuku. Hanya beberapa meter dari Jalan 131, terdapat kedai memperbaiki telefon bimbit dan kedai elektronik.

    Tarikan sebenar – walaupun ia mengerikan – terletak di antara kedai-kedai tersebut.

    Tuk-tuk menurunkan pelancong asing yang berpusu-pusu ke Sekolah Tinggi Tuol Svay Prey, yang pada pandangan pertama seperti bangunan tiga tingkat biasa di dataran luas yang dihiasi dengan pohon bunga Kemboja.

    Tetapi sebaik sahaja memasuki bangunan itu, pengunjung akan melihat kawat berduri yang melingkari tembok dan palang besi menutup tingkapnya – petunjuk pertama tentang kejadian ngeri yang berlaku di dalam kawasan itu.

    Kini ia dikenali sebagai Tuol Sleng (bukit pokok beracun di Khmer), ia adalah muzium pembunuhan beramai-ramai yang mengisahkan pembunuhan yang berlaku di bawah rejim Khmer Rouge dari 1975 hingga 1979.

    Tuol Sleng yang dipenuhi kawat berduri merupakan muzium pembunuhan beramai-ramai yang mengisahkan pembunuhan berlaku di bawah rejim Khmer Rouge dari tahun 1975 hingga 1979.
    Tengkorak tahanan Tuol Sleng yang dipamerkan di muzium tersebut.
    Bilik tahanan banduan yang dahulunya menyaksikan banduan disumbat beramai-ramai di dalamnya.
    Gambar para tahanan yang pernah menjalani penyeksaan di Muzium Tuol Sleng semasa peme-rintahan rejim Pol Pot.

    Semasa penghujung Sukan SEA lalu, saya berpeluang mengunjungi muzium tersebut dan mengetahui lebih lanjut mengenai pembunuhan beramai-ramai itu.

    Meskipun suhu cuaca mencecah 35 darjah Celsius, kebanyakan pameran membuatkan saya merasa seram sejuk, terutama gambaran tahanan dan koleksi tengkorak mangsa yang mengerikan.

    Ramai daripada banduan dirantai dan disumbat beramai-ramai dalam sel yang lebih besar atau dihantar ke sel kecil yang diperbuat daripada bata atau kayu. Mereka sering disoal siasat, dipukul, direnjat dengan elektrik dan didera dengan pelbagai cara.

    Di luar bangunan, sebuah struktur kayu yang sebelumnya digunakan oleh pelajar untuk memanjat tali telah dijadikan alat menggantung banduan.

    Di bawahnya terdapat balang-balang air yang besar – yang kekal sehingga ke hari ini – di mana kepala mereka direndam terlebih dahulu.

    Semasa tribunal Khmer Rouge pada 2015, seorang saksi mendedahkan bahawa beberapa orang mangsa telah dicacatkan muka mereka dan asid di-simbah pada luka.

    Selepas menukar sekolah menjadi penjara, bilik penyeksaan dan kubur besar dikenali Penjara Keselamatan 21 atau S-21 – salah satu daripada 150 dan 196 pusat sedemikian yang ditubuhkan oleh rejim – Khmer Rouge menahan kira-kira 20,000 orang banduan di Tuol Sleng.

    Kebanyakan banduan termasuk tentera tempatan dan pegawai kerajaan daripada rejim Lon Nol yang terdahulu. Selain itu, banduan termasuk doktor, guru, jurutera dan sami.

    Ada juga banduan asing dari Vietnam, Thailand, Perancis, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Kanada, New Zealand dan Indonesia.

    Paranoid dan ketakutan pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot mengenai rampasan kuasa menyaksikan kelompok ini memperluaskan kekuasaannya sehingga memusnahkan bangsa mereka sendiri.

    Parti itu memerintah selama lima tahun secara kejam dan mengakibatkan kematian antara 1.5 juta dan dua juta orang.

    Apabila tentera Vietnam membebaskan Phnom Penh pada awal 1979, hanya ada 14 orang yang terselamat dari S-21. Mereka berjaya keluar dengan selamat disebabkan oleh kemahiran mereka seperti fotografi atau melukis.

    Salah seorang daripadanya ialah seorang pelukis bernama Bou Meng, yang saya temui di muzium semasa dia menceritakan pengalamannya sendiri ketika dalam tahanan melalui autobiografinya.

    Dalam bukunya, dia berkongsi bagaimana pada 16 Ogos 1977, dia dan isterinya ditahan oleh revolusi yang mereka bersumpah setia. Dia kemudian dikenali sebagai Tahanan Nombor 570 dan sejak itu dia tidak pernah berjumpa dengan isterinya.

    Bou disebat dengan wayar elektrik yang dipintal, terkena renjatan elektrik dan kelaparan.

    Nasibnya bertambah baik apabila kader mencari seseorang untuk melukis potret Pol Pot dan pemimpin Komunis lainnya.

    Akhirnya dia berjaya melarikan diri pada 7 Januari 1979. Lebih 20 tahun kemudian, dia melukis lebih 100 buah karya yang menceritakan pengalamannya sendiri semasa pemerintahan rejim, dan berharap karyanya akan memberi inspirasi kepada dunia untuk mengelak kejadian lampau Kemboja yang menyakitkan tidak berulang lagi.

    Dia menulis, “Saya tidak bernasib baik. Derita dan kesakitan sentiasa berlegar di fikiran saya dan menjadi bayang-bayang yang sentiasa mengekori saya. Tahun demi tahun, banduan Tuol Sleng dan mangsa lainnya meninggal dunia dengan mata mereka terbuka tanpa melihat keadilan.”

    Peliknya berjalan melalui kawasan jenayah perang dan mengambil gambar seakan-akan ia adalah pengembaraan biasa.

    Terdapat banyak perasaan sedih yang sukar digambarkan dan merasa terkilan bagaimana seseorang melayan orang lain seperti binatang.

    Seseorang mungkin merasakan ia adalah bangunan bekas penjara berusia 82 tahun yang menjadi tumpuan untuk bergambar (sebahagian pelancong datang untuk mengambil swafoto tanpa membeli autobiografinya).

    Tetapi sama seperti Muzium Tuol Sleng, Bou menjadi pengajaran buat kita semua, peringatan yang boleh dilihat dan jelas bahawa kekejaman seperti itu tidak boleh berulang lagi.- ANN/The Starits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...