Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kilang tenusu Afghanistan berjuang penuhi permintaan

    JALALABAD, AFGHANISTAN – Khatiz Labaniat (Eastern Dairy) ialah satu-satunya kilang tenusu di wilayah timur Afghanistan.

    Kilang itu mengumpul susu lembu daripada 1,500 penduduk kampung yang tinggal di sekitar Jalalabad dan boleh memproses 5,000 liter susu setiap hari.

    “Permintaan untuk produk kami tidak pernah lebih tinggi dan bekalan susu tidak mencukupi untuk memenuhinya,” kata Pengarah Urusan Khalid Khan Niamat kepada Xinhua baru-baru ini.

    Kilang itu membungkus susu untuk dijual, tetapi juga menghasilkan keju, yogurt dan krim.

    “Malangnya disebabkan kekurangan susu dan ladang tenusu, kilang tenusu kami tidak dapat memenuhi permintaan pasaran,” kata Niamat.

    Penduduk desa menjual susu kepada kilang tenusu di Jalalabad, Afghanistan. – Xinhua
    Gambar menunjukkan produk tenusu yang siap dibungkus. – Xinhua

    “Kami mempunyai 20 orang yang bekerja secara langsung di sini, tetapi seramai 3,000 orang bekerja dalam rantaian bekalan,” kata Niamat.

    Eastern Dairy bergantung kepada pemilik lembu yang memerlukan keamanan dan kestabilan untuk menghasilkan.

    “Sejak keadaan menjadi aman, kerajaan telah menyokong penternak tenusu, kebanyakannya untuk mengurangkan pergantungan kepada barangan asing,” kata Niamat.

    “Susu yang kami jual di kilang tenusu boleh membawa perubahan kepada keadaan hidup kami,” kata pemilik lembu Mohsen Khan, yang memiliki beberapa ekor lembu dan berharap industri penternakan tenusu untuk berkembang pesat di negara ini.

    “Menyokong ternakan dan ladang tenusu akan mengukuhkan ekonomi desa. Susu yang kami jual kepada Khatiz Labaniat mampu mengubah kehidupan kami,” katanya.

    Sediqullah yang bekerja untuk kilang tenusu memberitahu Xinhua adalah sesuai untuk Afghanistan memajukan pertanian, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

    Kerjasama seperti ini antara kerajaan dan sektor swasta akan membantu menstabilkan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan, kata penganalisis tempatan, sambil menekankan kepentingan mengekalkan ketenangan untuk pembinaan semula di negara yang dilanda perang itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...