Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lambang ikatan erat raja dan rakyat

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Istiadat Perbarisan Kehormatan bersempena Memperingati Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

    Dayang Nor Haziqah yang datang bersama empat orang ahli keluarga terdekat berpendapat, upacara itu merupakan acara gilang-gemilang yang diadakan setiap tahun dan melambangkan keutuhan ikatan erat antara raja dan rakyat sebagai bukti ketamadunan bangsa Brunei.

    Beliau yang tiba seawal 6:30 pagi dari Kampung Sumbiling menambah bahawa sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan adalah tanda kesyukuran rakyat dan penduduk ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara ini di awah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang telah berlangsung lebih daripada 50 tahun.

    Sementara itu, Cathy Wee bersama suaminya turut berkongsi pandangan bahawa dengan adanya upacara sedemikian ia bagaikan penyatu bangsa di mana kita berpeluang berkumpul mengeratkan silaturahim demi menyemai semangat nasionalisme dan kecintaan kepada pemimpin yang berdaulat.

    Menyentuh mengenai pembukaan rentas sempadan negara yang tidak lama lagi, Cathy menyahut baik akan pembukaan berkenaan namun pastinya ia memiliki manfaat dan cabaran tertentu.

    Dayang Nor Haziqah bersama ahli keluarga terdekat bersyukur dapat meluangkan masa menghadiri upacara tersebut.

    “Apa yang perlu ditekankan ketika pembukaan itu nanti ialah untuk terus berhati-hati dan berwaspada dari segi langkah-langkah pengawalan jangkitan COVID yang masih ada di mana-mana. Kita bukan sahaja perlu memelihara keselamatan dan kesejahteraan diri dan keluarga kita, malah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahte-raan bangsa dan negara,” tambahnya.

    Pelbagai pendapat turut dikongsikan oleh beberapa orang warga tempatan mengenai pembukaan berkenaan, antaranya seorang peniaga runcit, Ah Leng yang menyatakan bahawa apabila mendengar pembukaan berkenaan sememangnya ia suatu berita gembira baginya kerana ia akan banyak memberi kemudahan dalam proses pembelian barangan langsung daripada pembekal di negara-negara jiran.

    Perkara itu, tambahnya, juga menjadi salah satu manfaat untuk para peniaga bagi mendapatkan harga yang lebih murah untuk dijual di negara ini, lebih-lebih lagi, tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah sepertimana yang dilakukan semasa sekatan yang ditetapkan selama lebih dua tahun ini sebelum ini.

    “Namun dalam hal ini, ia juga tidak mustahil akan mencetus pelbagai cabaran kepada para peniaga atau pengusaha dari segi persaingan dengan negara-negara jiran apabila berlakunya peningkatan kunjungan rakyat dan penduduk tanah air ke negara-negara jiran untuk membeli-belah.

    “Meskipun begitu, sema-ngat diri ini sebagai salah seorang peniaga runcit tidaklah luntur begitu sahaja bahkan cabaran itulah yang sebenarnya menguatkan diri ini untuk lebih berusaha dan bergerak kreatif khususnya dari segi menawarkan promosi-promosi dalam berjual beli demi menarik kembali masyarakat setempat,” ujarnya lanjut.

    Kesyukuran juga jelas terpancar daripada sinar mata Dayang Munah binti Haji Rahman apabila dapat bertemu dengan ahli keluarga dan saudara-maranya yang berada di Mukah, Sarawak setelah sekian lama tidak bertemu.

    “Meskipun kewajipan ditetapkan untuk membeli insurans perlindungan diri walaupun hanya merentas sempadan seketika namun perkara itu tidak menjadi satu halangan atau masalah, yang penting saya dan keluarga dapat menemui mereka nanti,” luahnya dengan nada harapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...