Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lebih 4,000 sudah dipasang meter pintar

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    TUTONG, 7 FEB – Setakat ini, lebih 4,000 buah rumah termasuk kawasan-kawasan komersil telah menggunakan Unified Smart Metering Solutions (USMS) di seluruh negara dengan majoritinya di Daerah Brunei dan Muara.

    Pengurus Kanan DST Network Sdn Bhd, Dayang Rosniah binti Haji Karia memaklumkan jumlah itu semasa ditemu bual pada Majlis Pemberigaan Projek USMS bagi Daerah Tutong di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, hari ini.

    Menurutnya lagi, penggunaan USMS jelas sekali memudahkan pengguna untuk memantau penggunaan harian air dan elektrik di sesebuah kediaman atau kawasan yang secara tidak langsung boleh mengawal penggunaannya dan mengelakkan pembaziran jika berlakunya sebarang kebocoran atau seumpamanya.

    Pada masa yang sama, katanya, sistem itu turut memudahkan pengguna untuk membayar kredit penggunaan air dan elektrik dengan menggunakan aplikasi yang boleh diakses secara mudah meskipun ketika berada di luar negara.

    Terdahulu, majlis pemberigaan projek tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Air, Haji Ashrulsuhardy bin Haji Ibrahim.

    Hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Ukong, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub dan Ketua Kampung Sengkarai, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan serta penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.

    Pemberigaan tersebut adalah salah satu usaha untuk berkongsi maklumat mengenai hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memanfaatkan teknologi sejajar dengan perubahan semasa iaitu melalui penggantian meter air konvensional dan meter elektrik sedia ada kepada meter pintar.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memeterai perjanjian projek USMS yang menggabungkan bil air dan bil elektrik ke dalam satu sistem bagi memudahkan pengguna mengurus dan memantau penggunaan bekalan air dan bekalan elektrik masing-masing.

    Sebelumnya, majlis pemberigaan yang serupa telah diadakan di Daerah Brunei dan Muara, dan seterusnya akan dilaksanakan di Daerah Belait dan Temburong tidak lama lagi.

    Dayang Rosniah semasa menyampaikan taklimat pada Majlis Pemberigaan Projek (USMS) bagi Daerah Tutong.
    Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Haji Ashrulsuhardy.
    Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...