Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lima destinasi terbaik untuk belon udara panas di Asia

    Gambar Agensi

    DHAKA – Bayangkan awda berada di dalam sebuah bakul, diikat pada belon yang terbang di atas puncak gunung; menikmati ketenangan dan melihat pemandangan dari langit. Terapung di atas landskap yang luar biasa, di atas istana, malahan runtuhan Aztec.

    Itulah pengalaman yang ditawarkan ketika menaiki belon udara panas. Perasaan ingin tahu manusia terhadap penerbangan sudah lama diketahui dan kini mereka mencari keseronokan dengan menaiki belon udara panas, yang membolehkan mereka menikmati pemandangan indah dan alami pengembaraan sekali seumur hidup, semuanya dari langit.

    Berikut adalah lima tempat di Asia yang menawarkan pengalaman belon udara panas terbaik:

    Cappadocia, Turkiye

    Cappadocia, terkenal sebagai ‘keajaiban geologi tiada tandingan’ dengan hutan belantaranya, dan keindahan dunia lain. Pemandangannya seolah-olah dari kisah dongeng; gua yang runtuh, tiang-tiang yang terpahat oleh angin dan batu tongkol besar.

    Cappadocia merupakan salah sebuah tempat paling mewah untuk merasai pengalaman menaiki belon udara. Musim yang terbaik untuk pergi ke sana adalah antara bulan Mei dan Oktober dengan keadaan waktu malam lebih sejuk berbanding siang. Bulan Julai dan Ogos merupakan waktu paling sibuk kerana ramai pengembara.

    Awda disarankan membuat tempahan sebulan lebih awal jika ingin melihat keindahan matahari yang memancarkan cahaya menembusi awan tebal sambil menikmati hembusan angin yang menenangkan.

    ATAS & BAWAH: Gambar-gambar menunjukkan antara destinasi menarik yang menawarkan pengalaman belon udara panas yang menyeronokkan.

    Siem Reap, Kemboja

    Pengalaman menaiki belon udara panas juga boleh dirasai di Siem Reap, Kemboja. Kuil Bakong dan pemandangan matahari terbit adalah antara beberapa perkara yang perlu awda alami dari atas.

    Awda boleh menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, sepanjang pengembaraan singkat awda. Awda juga boleh melihat Angkor Wat, Phnom Bakheng dan West Baray.

    Walau bagaimanapun, musim pengembaraan adalah sangat terhad iaitu dari bulan Disember hingga Mac. Mereka juga menawarkan belon helium yang ditambat dan mampu membawa kira-kira 30 orang penumpang dengan ketinggian 120 meter untuk perjalanan singkat 10 minit.

    Belon tersebut beroperasi sepanjang tahun. Jadi, jangan terlalu kecewa sekiranya awda terlepas musim pengembaraan tersebut.

    Jaipur, India

    Meskipun terdapat beberapa tempat di India yang mengendalikan perkhidmatan belon udara panas komersial, namun tiada tempat setanding ‘Pink City’. Bandar tersebut berada dalam senarai tempat yang mesti dikunjungi oleh setiap pengunjung antarabangsa, namun pemandangan dari udara mampu membuatkan awda menghargai landskap yang terdapat di Jaipur.

    Pada hari cerah, awda pasti terbang melintasi Kubu Amber yang menakjubkan – salah satu daripada enam kubu purba yang dibina oleh golongan bangsawan India.

    Kebanyakan pengembaraan di Jaipur dikendalikan pada waktu pagi sementara pengembaraan semasa matahari terbenam tertakluk kepada keadaan cuaca.

    Musim kemuncak bermula daripada September hingga April.

    Dambulla, Sri Lanka

    Dambulla merupakan salah satu daripada tiga buah bandar utama yang merangkumi ‘Lion Rock’ Sirgiriya yang ikonik.

    Pemandangan yang berbeza ketika awda berada di atas, di mana awda dapat menyaksikan banyak tasik dan kawasan hutan di dataran kering Sri Lanka.

    Musim pengembaraan bermula dari November hingga penghujung April dan dua belon digunakan bergilir-gilir. Pengembaraan ketika matahari terbenam tidak disarankan kerana cuaca petang di Dambulla tidak dianggap sesuai untuk belon udara panas.

    Chiang Mai, Thailand

    Di kawasan pinggir bandar, pemandangan kampung adalah perkara yang mungkin awda perlukan untuk mencari perubahan. Walaupun belon udara panas bukanlah sesuatu yang sering difikirkan untuk dilakukan oleh orang ramai ketika berada di Chiang Mai, tetapi buat masa ini, syarikat yang mengendalikan belon udara panas di Chiang Mai dan Chiang Rai, Thailand telah menemui cara untuk melakukannya.

    Jadual pengembaraan adalah pada waktu matahari terbit dan terbenam serta tertakluk kepada perubahan cuaca.

    Jadi, tunggu apa lagi? Kemas beg awda dan rancang makan malam awda seterusnya di udara! – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...