Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Majlis cerapan gerhana bulan 8 Nov

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Susulan fenomena gerhana bulan penuh yang akan jatuh pada 8 November ini, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan majlis pencerapan pada hari tersebut di kawasan depan Bangunan BKISHHB.

    Majlis anjuran bersama BKISHHB dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) itu akan dilaksanakan sekitar jam 5:30 petang sehingga 10 malam namun tertakluk kepada keadaan cuaca pada hari tersebut.

    “Jika cuaca tidak mengizinkan, majlis akan beralih ke Auditorium BKISHHB dan diteruskan dengan taklimat astronomi,” kata Pegawai Perhubungan Awam, BKISHHB, Pengiran Fauzisalihin bin Pengiran Salleh semasa sidang media di Auditorium BKISHHB, petang tadi.

    Sembahyang Sunat Gerhana juga diadakan di Surau BKISHHB selepas sembahyang Fardu Maghrib, kongsi Pengiran Fauzisalihin. Menurutnya lagi, orang ramai turut dialu-alukan untuk menghadiri majlis tersebut terutamanya golongan peminat bidang astronomi termasuklah ahli keluarga yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu khususnya dalam bidang sains astronomi.

    Sementara itu, Pengiran Mohd Wafi mengongsikan objektif utama cerapan gerhana bulan itu diadakan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan fenomena gerhana yang merupakan salah satu tanda-tanda kebesaran Allah SWT dan juga meningkatkan kefahaman mengenai fenomena gerhana bulan dan lain-lain ilmu berkaitan astronomi menurut perspektif Islam.

    Pengiran Mohd Wafi (kiri), Pengiran Fauzisalihin (tengah) dan Awang Mohd Husaini semasa sidang media cerapan gerhana di Auditorium BKISHHB.

    “Selain itu, ia juga salah satu usaha menarik minat para pengkaji untuk meningkatkan pengetahuan dan mendalami bidang astronomi melalui kajian saintifik, khususnya berkaitan peralatan-peralatan astronomi yang disimpan di Galeri 8 (Astronomi) BKISHHB,” tambahnya.

    Awang Mohd Husaini turut menjelaskan kejadian itu merupakan satu fenomena alam yang terjadi di mana kedudukan matahari, bumi dan bulan berada pada satu garis lurus.

    Fenomena itu berlaku apabila cahaya matahari tidak sampai ke bulan kerana terhalang oleh bumi.

    “Gerhana akan bermula pada pukul 4:02 petang waktu tempatan apabila bulan memasuki bayangan bumi separa gelap iaitu penumbra dan yang paling gelap iaitu umbra akan menutupi keseluruhan permukaan bulan pada pukul 6:16 petang.”

    “Gerhana hanya boleh diamati sejurus bulan terbit pada 5:56 petang dan akan sampai ke tahap maksimum pada 6:59 malam,” kongsinya.

    Tambah beliau, jika cuaca tidak berawan dan tidak hujan, orang ramai boleh menyaksikan gerhana penuh tersebut.

    Kejadian gerhana bulan penuh akan berakhir apabila bulan keluar dari bayang umbra pada jam 7:41 malam.

    Bulan akan meninggalkan keseluruhan bayang bumi dan gerhana bulan fasa penumbra akan tamat pada pukul 9:56 malam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...