Sunday, April 28, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Manfaatkan IR 4.0 dalam pengurusan banjir

    KUALA LUMPUR – Musim tengkujuh kali ini dijangka menyebabkan lebih banyak kawasan di negara ini berisiko dilanda bah, terutamanya banjir kilat, termasuk di tempat-tempat yang sebelum ini tidak pernah berdepan bencana itu khususnya di pantai barat Semenanjung Malaysia.

    Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met-Malaysia), ini kerana sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang akan melanda bermula November hingga Mac depan, negara dijangka menerima lebih banyak hujan berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelum ini.

    “Malah, jika kita lihat pada waktu ini, negara sedang mengalami fasa peralihan monsun (daripada Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut) dan banjir sudah kerap berlaku di seluruh negara,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Arif pada Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laut 2022/2023 yang berlangsung secara maya baru-baru ini.

    Menurutnya, MetMalaysia juga mengunjurkan jumlah hujan melebihi kelaziman di utara dan timur Sabah pada Disember dan Januari ini.

    Susulan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan senarai kawasan ‘panas’ banjir, merangkumi 5,496 lokasi di seluruh negara dengan 761 daripadanya terletak di pantai barat Semenanjung.

    Para pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan perancangan yang dilakukan bagi menghadapi bencana musim banjir pada sesi sembah taklimat persiapan bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang. – Bernama
    Sebuah kenderaan meredah Jalan Ketiau Putatan yang ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. – Bernama
    Mangsa banjir memilih pakaian dan barangan rumah yang masih boleh digunakan selepas rumahnya ditenggelami banjir di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor baru-baru ini. – Bernama
    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melakukan pemantauan di sekitar Sungai Anak Bukit berikutan air sungai mencatatkan paras waspada. – Bernama

    Teknologi belum dimanfaatkan sepenuhnya

    Teknologi yang digunakan oleh MetMalaysia dan JPS dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sememangnya setanding dengan negara maju, namun menurut pakar teknologi kejuruteraan, Dr Muhammad Rusydi Muhammad Razif daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, adaptasi teknologi dalam pengurusan bencana di negara ini masih tidak menyeluruh.

    Menurut beliau, pendekatan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguruskan bencana alam seperti banjir secara lebih tersusun. 

    “Operasi menyelamat (mangsa) banjir kita masih lagi (menggunakan) cara lama dan belum mengoptimumkan sepenuhnya teknologi IR 4.0 khususnya IoT (Internet Pelbagai Benda).

    Misalnya untuk mengenal pasti lokasi mangsa banjir.

    “Kita terlalu bergantung (pada) aduan mangsa dan orang ramai, atau selepas tersebar video dan gambar di media sosial, barulah operasi menyelamat dilakukan.

    Ini yang menyebabkan ada mangsa lambat mendapat bantuan seperti yang berlaku di Sri Muda, Shah Alam pada banjir akhir tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

    Menurutnya, penjejak GPS (sistem kedudukan sejagat) misalnya, boleh digunakan bagi mengesan lokasi banjir atau mangsa bencana itu.

    Di India katanya, seorang penyelidik menggunakan frekuensi radio yang dapat membantu pihak penyelamat mengenal pasti lokasi dan berkomunikasi dengan mangsa banjir sejauh 15 kilometer.

    Menurut beliau, teknologi serupa boleh dibangunkan oleh pakar tempatan bagi meningkatkan keberkesanan operasi menyelamat mangsa bencana di negara ini.
     
    Pincang tugas

    Pada masa sama, beliau turut meluahkan kebimbangan teknologi sensor yang digunakan oleh JPS sekarang bagi mengukur paras air sungai  mengalami pincang tugas. “Bila ini berlaku, ada kemungkinan bacaan paras air sungai sukar dibuat,” katanya. 

    Muhammad Rusydi berkata beliau kini bekerjasama dengan pakar daripada beberapa universiti, antaranya Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaysia Terengganu, membangunkan satu teknologi IoT mengukur paras air sungai menggunakan tolok hujan, kamera tanpa wayar dan teknologi pengesan. 

    Menurutnya, kaedah itu membolehkan perubahan paras air sungai dapat dilihat pada masa sebenar dan boleh diakses menerusi Internet dari mana-mana sahaja.

    “Menerusi pendekatan ini, kita boleh mengukur paras air sungai, air pasang surut atau jumlah hujan, dan maklumat itu dikumpulkan dalam satu aplikasi. Ini sangat membantu dalam meramal risiko banjir,” jelasnya. 

    Muhammad Rusydi berkata ramalan banjir juga boleh dilakukan dengan teknologi sistem maklumat geografi (GIS) yang bukan sahaja memaparkan peta bermaklumat tetapi juga membuat ramalan tentang sesuatu keadaan yang bakal berlaku di lokasi berkenaan.

    Ini sekali gus memudahkan pengurusan bencana, terutama dalam konteks operasi menyelamat, ujarnya.
     
    Bukan masalah enteng

    Sementara itu, pakar alam sekitar, Prof Dr Hafizan Juahir berkata semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian banjir yang berlaku tahun lepas dengan memastikan penambahbaikan pada semua aspek yang dikenal pasti bagi menjamin pengurusan bencana yang lebih baik.

    “Kita sebenarnya sudah ada banyak kemudahan yang mampu meramal banjir, contohnya seperti penggunaan stesen hidrologi kendalian JPS yang dapat mengesan awal risiko berlakunya bah.

    “Penduduk boleh melihat ramalan atau data paras air sungai dan laut ini di laman sesawang agensi berkaitan termasuk di JPS dan MetMalaysia. Cuma yang kurangnya di sini ialah masyarakat tidak dimaklumkan maklumat tersebut secara langsung (masa sebenar) dan terperinci,” katanya.

    Justeru katanya, penambahbaikan sistem sebaran maklumat antara perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pihak berkaitan.

    Ini termasuk menghantar amaran awal banjir dan perincian kawasan terjejas menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi lain yang bersesuaian, katanya.

    Dalam pada itu, JPS telah menambah baik sistem amaran banjirnya bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini.

    Timbalan Pengarah Seksyen Pakar dan Nasihat Teknikal Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Ir Dr Asnor Muizan Ishak berkata siren amaran itu dinaik taraf dari segi bunyi dan disertakan dengan pengumuman jika berlaku banjir, khususnya di kawasan petempatan.

    “Sebanyak 367 siren dipasang di kawasan kritikal di seluruh negara dengan 119 siren telah siap dinaik taraf. “Siren sebelum ini hanya keluarkan bunyi, namun kita naik taraf dengan tambahkan suara untuk maklumkan kepada penduduk sekiranya petempatan mereka berisiko banjir,” katanya pada forum iklim kebangsaan itu.  

    Beliau berkata naik taraf siren itu dibuat bagi membezakan bunyi siren amaran banjir dan siren kenderaan kecemasan seperti ambulans dan polis selain ada laporan menyatakan sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik pada musim bah tahun lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...