Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Mesyuarat bincang prospek ekonomi global

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan APEC (FMM) yang berlangsung pada 19 hingga 21 Oktober di Bangkok, Thailand.

    Dalam intervensinya pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato mengambil maklum akan pelbagai masalah yang dihadapi oleh ekonomi global dan mengongsi prospek pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam berikutan dengan usaha mempelbagaikan ekonomi yang intensif serta inisiatif-inisiatif untuk menangani inflasi yang meningkat.

    Beliau juga mengalu-alukan keutamaan Thailand di bawah Trek Proses Menteri-menteri Kewangan APEC (FMP) dan menyampaikan beberapa perspektif Negara Brunei Darussalam mengenai perkara berkenaan.

    Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Thailand, Tuan Yang Terutama Arkhom Termpittayapaisith dan dihadiri oleh menteri-menteri dari Ekonomi APEC, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC dan wakil dari institusi-institusi kewangan antarabangsa khususnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kumpulan Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Bank Pembangunan Asia (ADB).

    Dalam intervensinya lagi, Yang Berhormat Dato turut mengulas mengenai agenda kemapanan iaitu kesepaduan pelbagai dasar kerajaan untuk memupuk ekosistem kondusif, keperluan untuk memberikan insentif kepada syarikat-syarikat. Ini khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk beralih kepada model perniagaan hijau serta peranan penting sektor kewangan untuk menggerakkan pelaburan swasta dalam projek-projek hijau.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri mesyuarat tersebut. – Gambar serahan MOFE

    Dalam hubungan itu, beliau menanti penglibatan berterusan APEC FMP termasuk untuk meneroka garis panduan bersama bagi taksonomi hijau.

    Yang Berhormat Dato mengalu-alukan kertas dasar APEC berhubung perkara-perkara berkenaan sebagai sumber rujukan bagi ekonomi ahli dan kerjasama masa hadapan APEC. Beliau turut mengambil maklum mengenai kerja OECD bagi menangani cukai dalam ekonomi digital.

    Menteri-menteri semasa mesyuarat berkenaan telah bertukar-tukar pandangan mengenai prospek ekonomi global masa kini dan keutamaan FMP pada 2022 mengenai kemapanan pendigitalan dan kewangan bagi ekonomi digital dalam sesi pleno dan retreat.

    Dialog antara menteri dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC turut diadakan yang menyaksikan perbincangan yang menumpukan kepada pembiayaan digital inklusif.

    Kenyataan Pengerusi APEC FMM yang menggariskan beberapa sorotan daripada mesyuarat berkenaan boleh diperoleh di laman sesawang, https://www.apec.org/.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...