Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Nabila kongsi kisah hidup dalam novel

    Ketika lagu Putus dilancarkan tahun lalu, penyanyi Nabila Razali mendedahkan single yang dihasilkan bersama komposer Singapura, Erwin Purnama itu ada kaitan dengan kisah hidupnya.

    Dalam erti kata lain, Nabila mengakui pernah berpacaran, namun percintaan itu terkandas di pertengahan jalan. Bahagia yang diharapkan, namun kecewa akhirnya yang melanda.

    Meskipun peristiwa itu sudah berlaku sedekad lalu dan dia sudah melupakannya, namun, kata Nabila, jauh di sudut hatinya rasa sakit akibat dikhianati itu tetap ada.

    “Perkara ini terjadi sebelum saya bergelar artis. Hubungan kami terjalin selama setahun sebelum dia mengambil keputusan meninggalkan saya.

    “Kisah saya ini boleh dianggap tragis kerana ditinggalkan tanpa sebarang khabar berita, selain disebabkan orang ketiga. Waktu itu saya memang tak tahu nak buat apa.

    Bukan kerana serik, namun menurut Nabila, dia tidak lagi memikirkan soal berpacaran kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni. – Agensi

    “Malah situasi itu juga membuatkan saya terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah hubungan kami masih berterusan ataupun sememangnya sudah berakhir,” katanya kepada media pada majlis pelancaran novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada di ibu negara, baru-baru ini.

    Novel itu diadaptasikan daripada pengalaman duka Nabila. Diusik pertanyaan apakah Nabila atau nama penuhnya, Nur Nabila Mohd Razali ini masih menyimpan dendam apabila mendedahkan kisah cinta tidak kesampaian menerusi dua platform berbeza, penyanyi Pematah Hati ini berkata, dia sekadar ingin berkongsi pengalaman dengan peminat.

    “Sekarang kami sudah ‘moved on’ dan ada kehidupan sendiri. Saya kongsi kisah ini kerana mahu peminat tahu, saya sama seperti mereka iaitu pernah melalui pengalaman putus cinta.

    “Saya tidak simpan dendam terhadapnya. Cuma kata orang, luka sudah sembuh tapi parutnya tetap ada. Ibaratnya, kalau hendak duduk semeja, makan bersama itu memang tak bolehlah,” luah Nabila.

    Bukan kerana serik, namun menurut pelakon drama rantaian Pesan Pada Hati dan Kebaya Kasut Kanvas ini, dia tidak lagi memikirkan soal berpacaran kerana mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni.

    “Fokus saya sekarang hanyalah kepada kerja. Banyak perkara yang ingin saya urus selain memikirkan mengenai cinta seperti perniagaan dan kerjaya lakonan. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...