Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Pembuat gendang Cameroon manfaat populariti

    YAOUNDE – Di Ekali, sebuah kampung di pinggir ibu kota Cameroon Yaounde, irama tam-tam, gendang tradisional berusia berabad-abad memecah kesunyian.

    Martin Mbezele Zambo telah mencipta nama di kampung sebagai salah satu pembuat gendang tam-tam yang terbaik.

    Pada usia 42 tahun, Zambo telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk menghasilkan semua saiz dan warna tam-tam dan gendang khas Afrika yang lain.

    “Saya telah melakukan kerja ini selama 25 tahun,” kata Zambo ketika Xinhua melawat bengkelnya pada hari bekerja.

    Zambo dan enam pembuat gendang lain telah sibuk bekerja. Mereka menggunakan batang pokok yang berasal dari hutan berhampiran dan dengan besi melobangnya dalam bentuk segi empat tepat untuk menghasilkan tam-tam.

    Kelihatan seorang pekerja melubangi batang kayu untuk dijadikan tam-tam. – Xinhua
    Para pekerja membuat gendang tam-tam di bengkel tam-tam di wilayah Center, Cameroon. – Xinhua

    Mereka juga menghasilkan gendang lain dengan meletakkan kulit haiwan di atas bahagian batang yang berlubang, meregangkannya, dan mengikatnya, atau membuat alat Balafon dengan menggunakan satu siri palang kayu, atau kunci dan meletakkannya di atas bingkai buluh.

    Ia adalah pengetahuan nenek moyang yang diwarisi dari generasi ke generasi, kata Zambo.

    “Saya dilatih (membuat gendang) oleh abang saya yang dilatih oleh nenek lelaki saya,” katanya dan menambah, kalau dulu nenek mereka berbulan-bulan membuat tam-tam, hari ini mengambil masa dua hingga empat hari.

    Bunyi dan not gendang berbeza mengikut kayu dan bentuk yang dilubangkan. Tam-tam dibunyikan dengan dipukul dengan kayu. Gendang menjana pendapatan kepada golongan muda yang boleh membuat atau memainkannya.

    Pada hari yang baik, Zambo menjual satu tam-tam dengan harga 25,000 xaf (kira-kira AS$40), terutamanya kepada warga asing yang datang dari negara jiran Gabon dan Equatorial Guinea.

    “Pekerjaan ini membolehkan saya menyara keluarga, anak bersekolah agar mereka tidak pernah dibuang sekolah kerana kekurangan wang,” kata Zambo, bapa kepada tiga anak.

    “Saya baru sahaja membeli sebidang tanah hasil kerja ini,” tambah Atangana, 35, yang berhenti sekolah awal untuk meneruskan minatnya.

    Tam-tam bukan hanya alat yang dimainkan di gereja, majlis perkahwinan dan upacara lain, ia juga alat komunikasi penting yang meningkatkan kepelbagaian budaya yang kaya di Cameroon, kata James Ngwang, seorang pemimpin tradisional di wilayah Barat Laut negara itu.

    “Pada masa itu tiada pembesar suara atau telefon, instrumen itu digunakan, dan masih digunakan di kampung untuk menyampaikan mesej. Setiap bunyi mewakili mesej tertentu dan orang ramai perlu mendengar dengan teliti untuk memahami maksudnya,” kata Ngwang.

    “Bunyi itu mungkin mengumumkan kematian atau pertabalan seorang raja atau permulaan musim pertanian atau mana-mana acara besar lain. Ia masih digunakan untuk tujuan itu di banyak tempat di Afrika,” tambahnya.

    Ketika Cameroon menyertai seluruh dunia untuk memperingati Hari Pekerja Antarabangsa, kedua-dua Zambo dan Atangana merayu kepada kerajaan untuk menyokong pekerjaan mereka yang mereka katakan boleh menyumbang kepada pekerjaan dengan ketara.

    “Jika benar kerajaan boleh menjaga kami terutamanya dengan menyediakan bahan seperti chainsaw, parang, dan but, ia akan meningkatkan sektor ini,” kata Zambo. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...