Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Persidangan AICIF tingkat kerjasama

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan UNISSA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama enam buah universiti di negara anggota ASEAN telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kewangan Islam Universiti-Universiti ASEAN (AICIF) ke-10.

    Persidangan berlangsung selama tiga hari pada 6 sehingga 8 Disember di DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur, Malaysia.

    AICIF merupakan persidangan kerjasama tahunan yang dianjurkan secara bergilir oleh tujuh buah universiti ASEAN iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia; Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga (UIN SUKA), Yogyakarta, Indonesia; Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Semarang Indonesia; Universitas Darussalam Gontor (UNIDA), Indonesia; UNISSA Brunei; Mindanao State University (MSU), Filipina; dan Kolej Universitas Islam Tazkia Bogor, Indonesia.

    Pada tahun ini, UIAM menerusi Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) telah menjadi tuan rumah penganjuran AICIF ke-10 dengan tema The Role of Islamic Banking and Islamic Social Finance for Economic Sustainability.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis perasmian persidangan tersebut ialah Pengarah Eksekutif, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Ratna Sha’erah Kamaludin.

    Dr Abdul Nasir dan wakil dari universiti ASEAN menandatangani surat persefahaman (LoU) semasa majlis berkenaan.
    Dr Abdul Nasir menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan.

    Delegasi UNISSA diketuai oleh Dekan FEKIm, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani yang juga mewakili Rektor UNISSA untuk acara perasmian. Turut menyertai delegasi ialah Timbalan Dekan FEKIm, UNISSA, Dr Amnisuhailah binti Abarahan.

    Sebanyak 178 kertas kerja terpilih dari 10 buah negara termasuk dari Negara Brunei Darussalam telah dibentangkan secara maya dalam tiga sesi pembentangan selari. Kertas kerja yang dibentangkan meliputi bidang-bidang utama antaranya ialah Kewangan Sosial Islam, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Maqasid Al-Syariah, Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Takaful, Zakat, Wakaf, Sedekah, Pendigitalan, Fintek, Kewangan Islam, dan banyak lagi.

    UNISSA buat julung kalinya telah menjadi tuan rumah AICIF ke-5 pada 2017 dan sekali lagi dipilih bagi AICIF ke-11 pada 2023. Dr Abdul Nasir dalam ucapannya semasa majlis penutupan, menyampaikan penghargaan kepada semua ahli AICIF yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada UNISSA untuk menjadi tuan rumah kepada persidangan berprestij itu pada tahun hadapan.

    Menurutnya, persidangan antarabangsa AICIF merupakan satu platform penting dan berkesan untuk para ilmuan berkongsi pandangan mengenai perkembangan terkini perbankan dan kewangan Islam selain dapat mengukuhkan hubungan antara universiti ASEAN yang menawarkan program perbankan dan kewangan Islam. Dalam hal ini, kerjasama antara UNISSA dan enam universiti ASEAN yang terkenal di peringkat antarabangsa tersebut telah dapat direalisasikan menerusi persidangan tersebut.

    Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa kerjasama yang sudah mencapai usia satu dekad ini telah dapat memperkukuh dan mengembangkan bidang pendidikan perbankan dan kewangan Islam di rantau ini. Memandang jauh ke hadapan, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh semua pihak.

    Menyedari semakin banyak cabaran yang akan dihadapi, maka adalah penting untuk semua ahli AICIF untuk terus komited kepada matlamat jangka panjang iaitu mengembangkan dan memperkukuhkan lagi bidang pendidikan dan penyelidikan sebagai sebahagian daripada agenda pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, tambahnya.

    Turut mengambil tempat semasa majlis penutupan itu ialah Majlis Penandatanganan Surat Persefahaman (LoU) antara ahli AICIF sebagai tanda komitmen dan kesetiaan ketujuh-tujuh institusi pengajian tinggi ASEAN untuk terus bekerjasama dalam mengembangkan bidang pendidikan perbankan dan kewangan Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...