Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Program promosi PGIT dilancar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Dengan tujuan untuk menonjolkan dan mempromosikan kewujudan Persatuan Gerakan Ibu Tunggal (PGIT) yang baru ditubuhkan kepada masyarakat di negara ini, Program Bangkit Bersama telah dilancarkan, hari ini.

    Program berkenaan merupakan salah satu usaha program kesedaran sosial kelolaan Kumpulan Itqan di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan ke-32 (EDPMMO32) yang dikendalikan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Pelancaran program pada majlis yang berlangsung di Bilik Jongsarat, Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) di ibu negara itu telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat FDr Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan turut membantu memperkenalkan PGIT dengan pihak berkepentingan agar dapat membuka peluang serta membina kedayatahanan para ibu tunggal dalam usaha pemerkasaan dan pembaikan diri serta pembinaan komuniti yang kuat dengan saling memberikan sokongan antara satu sama lain.

    Ketua Kumpulan Itqan, EDPMMO32, Pengiran Haji Ahmad Masudwardi Aidil-Fitri bin Pengiran Haji Mohd Daud dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa antara usaha-usaha yang telah dibuat oleh kumpulan berkenaan melalui Program Bangkit Bersama adalah berhubung dengan beberapa pihak berkepentingan sama ada dari pihak kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) untuk mendapatkan sumbangan berupa tajaan latihan dan pembelajaran, termasuk peralatan untuk membantu ahli-ahli PGIT dalam meningkatkan kapasiti kemahiran dan bidang keusahawanan.

    Yang Berhormat FDr Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty semasa melancarkan Program Bangkit Bersama di Bilik Jongsarat, Bangunan PGGMB.
    Haji Mohd Yusri semasa menyampaikan kuliah kepada ahli PGIT yang menghadiri seminar tersebut.

    “Usaha-usaha ini, secara tidak langsung telah memperkenalkan PGIT kepada pihak-pihak yang berkenaan ke arah memudahkan sebarang kolaborasi atau usaha sama serta bagi memastikan kesinambungan Program Bangkit Bersama ini di masa akan datang,” jelas beliau.

    Majlis pelancaran program diserikan dengan Kuliah Perdana Halaqah Fikir yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah.

    Di bawah program berkenaan, Kumpulan Itqan mengadakan Seminar Kepimpinan dan Urustadbir yang dihadiri oleh seramai 20 orang ahli eksekutif PGIT, bermula hari ini hingga 11 Mac.

    Seminar antara lain bertujuan untuk mendedahkan ahli persatuan mengenai sifat kepimpinan yang berteraskan pembangunan insaniah, ilmu, iman, amal dan ihsan di samping kepentingan mempraktikkan urus tadbir yang cekap, adil, saksama dan bertanggungjawab.

    Semua ini dapat dicapai dengan sokongan padu daripada BIBD SEEDS selaku penaja utama program serta kerjasama Qalam Academy sebagai konsultan seminar dan sumbangan tajaan daripada Tabung Amanah Islam Brunei dan Pusat Dakwah Islamiah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...