Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Reka papan catur daripada kayu terpakai

    Oleh Amri HTZ

    Permainan catur merupakan salah satu permainan papan yang cukup popular di mana ia menguji kepintaran seseorang untuk mengatur strategi mengalahkan pemain lain.

    Bukan sahaja dijadikan permainan mengisi masa lapang, malahan ia juga dijadikan salah satu pertandingan antarabangsa di mana perwakilan setiap negara di dunia disatukan di dalamnya. Walaupun dengan bersilihnya masa dengan kehadiran aplikasi dalam peranti pintar untuk memainkannya, ini tidak menjadikan permainan secara konvensional dilupakan.

    Perlu persediaan sebelum memulakan

    Dalam DIY kali ini akan memfokuskan kepada langkah mereka papan catur diperbuat daripada kayu. Papan berisi 64 petak di dalamnya sebagai kawasan pergerakan buah catur, memerlukan awda untuk menyediakan barangan seperti kepingan kayu berwarna cerah dan gelap, gam kayu, mesin pemotong kayu meja, mesin ketam kayu, kertas pasir, pita pengukur, pensel penanda, sesiku, pengepit kayu, pahat kayu, wood finish pilihan dan vernier caliper sebelum memulakan proses rekaan.

    Langkah yang diperlukan

    Projek kali ini akan menggunakan kepingan kayu terpakai dan lebihan daripada projek sebelumnya. Langkah ini adalah bagi memanfaatkan kayu-kayu berkenaan daripada tidak digunakan atau terbuang begitu sahaja.

    Bagi awda yang tidak memiliki lebihan atau kayu terpakai, awda juga boleh menggunakan kayu-kayu baharu namun sebelum itu permukaannya perlu diratakan terlebih dahulu sebelum memotongkannya menjadi bahagian-bahagian kecil. Biasanya terdapat dua jenis kayu terjual iaitu kayu yang telah diketam dan kayu hanya dipotong menggunakan mesin pemotong kayu.

    Pastikan kedudukan kayu disusun dengan betul sebelum menyapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu.
    Kepingan papan yang telah dipotong akan dicantumkan menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.
    Cantuman papan pada langkah sebelumnya kemudiannya akan dipotongkan lagi bagi mendapatkan susunan kayu berselang-seli.

    Untuk awda yang memilih kayu yang belum diketam memandangkannya ia agak murah berbanding diketam, awda perlu meratakan permukaannya menggunakan ketam kayu sebelum memulakan langkah memotong dan mencantumkannya.

    Permukaan kayu yang telah diratakan akan dipotongkan menjadi bahagian-bahagian kecil. Tetapkan rip fence mesin pemotong kayu meja dengan ukuran 2 inci x 2 inci. Empat kepingan kayu berwarna cerah dan gelap diperlukan pada langkah ini.

    Setelah memotongnya dengan ukuran diperlukan, kepingan kayu tersebut akan dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu. Pastikan ketika kayu dicantumkan, kedudukan kayu perlu diselang-selikan di antara kayu berwarna cerah dan gelap.

    Kepingan kayu yang telah dicantumkan tersebut akan dikekalkan kedudukannya menggunakan pengepit kayu selama beberapa jam mengikut arahan yang diberikan oleh pengeluar produk. Bagi penulis, membiarkannya selama 24 jam merupakan langkah terbaik agar keseluruhan cantuman benar-benar kukuh yang membolehkan awda mengendalikannya dengan tenang.

    Setelah gam mengering, lebihan gam yang terhasil daripada langkah mencantumkan keseluruhan bahagian perlu dibuang sebelum beralih ke langkah seterusnya. Gunakan pahat kayu untuk membuang lebihan gam yang kering atau hanya memasukkannya terus pada mesin ketam kayu. Namun terdapat pengeluar gam kayu yang tidak membenarkan langkah sedemikian dilakukan kerana ini berisiko merosakkan bilah mesin ketam (bagi bilah kepingan nipis).

    Mengurangkan kerja-kerja membuang lebihan gam yang mengering ini boleh dilakukan ketika gam masih lagi belum kering. Caranya, setelah mengetatkan pengepit kayu, lelehan gam yang terkeluar daripada permukaan cantuman perlu dilapkan menggunakan kain lembap (tidak terlalu basah). Dengan cara ini, awda dapat mengurangkan masa membuangkan lebihan gam menggunakan pahat kayu.

    Papan yang terhasil daripada cantuman kepingan kayu tadi kemudian dipotong menjadi bahagian kecil membentuk empat segi berukuran 4.7sm. Ini tertakluk kepada ketebalan bilah mesin pemotong kayu yang digunakan di mana dalam kes ini bilah mesin mempunyai ketebalan 0.3mm.

    Papan yang dipotong secara bertentangan dengan memastikan setiap kepingan mempunyai kayu berwarna gelap dan cerah kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu lagi seperti langkah sebelumnya namun, kali ini susunan kayu begitu penting di mana tidak terdapat kayu yang berwarna sama dalam kedudukan yang sama.

    Ketika mengapitkan kayu untuk mengekalkan kedudukan, tekanan yang diberikan perlulah cukup kuat agar cantuman kukuh. Selain itu, pastikan setiap kepingan pada kedudukan rata (tidak bertingkat) di mana hal ini cenderung berlaku ketika proses mengetatkan pengepit kayu. Jika hal in terjadi, longgarkan semula pengepit kayu dan ratakan kedudukan kayu sebelum mengapitkannya semula.

    Namun jika hal ini hanya disedari ketika gam sudah mengering, terdapat cuma satu Langkah untuk menyelesaikannya iaitu meratakan permukaan menggunakan ketam kayu. Langkah itu akan menjadikan ketebalan keseluruhan papan menipis tetapi ia tidak akan menjejaskan rekaan.

    Ketika proses meratakan, awda boleh membuangkan permukaan atas dan bawah dengan cepat namun terdapat keterbatasan dalam melakukannya. Jika mesin yang digunakan berukuran kecil, langkah memasukkan keseluruhan struktur papan agak mustahil dan ia terpaksa dilakukan menggunakan ketam kayu secara manual atau menggunakan kertas pasir.

    Jika menggunakan kertas pasir menjadi pilihan utama, gunakan kekasaran kertas berukuran 40 grit untuk mempercepatkan proses. Setelah meratakannya, gunakan kertas pasir yang lebih halus sehingga yang sangat halus seperti 100 grit, 300 grit, 400 grit, 600 grit, 800 grit, 1,200 grit sehingga 2,000 grit. Dengan langkah ini dilakukan satu persatu mengikut ukuran (kasar hingga halus), awda akan menjadikan permukaan kayu sangat rata dan licin sebelum membolehkan awda mengaplikasikan wood finish pilihan.

    Mengajak ahli keluarga untuk bermain catur di atas papan rekaan sendiri, dapat merapatkan silaturahim selain berkongsi pengalaman proses rekaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...