Wednesday, November 6, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Reka rumah serangga untuk pembelajaran

    Oleh Amri HTZ

    Keindahan semula jadi flora dan fauna menyimpan pelbagai misteri berkaitan kehidupan tumbuhan dan haiwan yang terdapat di dalamnya. Sesetengahnya sukar untuk dilihat dengan mata kasar dan ini menjadikannya sulit untuk diterangkan dan sebagai pembelajaran terutama kepada anak-anak.

    Namun haiwan seperti serangga sering kali datang ke kawasan rumah terutama bagi mereka yang tinggal berhampiran hutan dan ini merupakan peluang untuk mendidik anak-anak mengenainya. Untuk memudahkan proses pembelajaran, rumah khusus serangga perlu dimiliki untuk menempatkannya secara sementara sebelum melepaskannya kembali ke habitat asalnya.

    Bersedia lebih awal

    Bagi mereka rumah serangga dalam projek ini, ia memerlukan awda untuk menyediakan kepingan papan 1” x 8” x 9”, plexiglass, kasa dawai bersaiz kecil, kulit asli (leather), paku, skru, gam kayu, pengepit kayu, mesin pemotong kayu, mesin jig, mesin gerudi, pin atau bolt dan nat berukuran 7mm, mata gerudi berukuran 8mm dan wood finish pilihan.

    Projek yang cukup menarik

    Kepingan papan yang tersedia akan terlebih dahulu diratakan menggunakan ketam kayu jenis mesin ataupun secara manual. Langkah ini hanya bagi awda yang menggunakan papan yang belum diketam yang biasanya terjual lebih murah berbanding dengan yang telah diketam.

    Manakala bagi mereka yang menggunakan semula kayu terpakai, sebelum mengetamnya menggunakan mesin, pastikan kayu telah dibersihkan dan bebas daripada sebarang paku atau besi. Jika ia tidak dilakukan, sebarang material berupa besi pada permukaan kayu akan merosakkan bilah ketam yang diketahui cukup mahal untuk diganti dengan yang baharu.

    Papan yang telah dipotongkan dengan bentuk yang diperlukan untuk bahagian depan dan belakang rumah serangga.
    Kasa dawai yang ditetapkan menggunakan stapler pada permukaan kayu.
    Proses mencantumkan menggunakan gam kayu dan mengekalkannya menggunakan pengepit kayu sementara menunggu gam mengering.
    Kulit asli digunakan untuk menutup stapler yang digunakan sekali gus menambahkan lagi nilai rekaan.

    Papan yang telah diratakan tadi akan dibentuk salah satu bahagian atasnya dengan separa bulatan menggunakan mesin jig. Sebelum melakukannya pastikan papan tersebut mempunyai ukuran 1” x 8” x 9” sesuai dengan ukuran yang diperlukan. Potong menggunakan mesin pemotong kayu dan tetapkan rip fence dari bilah pemotong dengan kedudukan 9”. Langkah ini bertujuan untuk mendapatkan potongan yang sama rata antara bahagian depan dan belakang.

    Bagi mendapatkan bentuk bulatan pada bahagian atas papan 1” x 8” x 9”, awda boleh menggunakan kompas mahupun alat berbentuk bulat seperi penutup balang untuk mendapatkannya. Dengan meletakkannya pada permukaan papan, awda hanya perlu meniru lakaran permukaan luar penutup balang berkenaan menggunakan pensel.

    Setelah mendapatkan lakaran pada permukaan kayu, potong menggunakan mesin jig untuk bahagian depan dan belakang. Bagi kayu bahagian belakang, untuk mendapatkan bentuk yang sama, awda hanya perlu menirunya daripada kayu yang direka sebelumnya. Selain penggunaan mesin jig, mesin skrol atau bandsaw juga boleh digunakan untuk memotongnya.

    Salah satu papan yang akan dijadikan bahagian depan akan ditebuk bahagian tengahnya dengan bentuk bulatan sebagai pintu bagi membolehkan serangga dimasukkan ke dalamnya. Untuk itu jika awda tidak memiliki mata gerudi berukuran 2 ½”, menebuk bahagian tengahnya menggunakan mesin jig juga boleh dilakukan.

    Pintu rumah serangga pada rekaan ini akan menggunakan pexiglass memandangkan ia cukup unik digunakan selain membolehkan kita melihat terus kedudukan serangga selepas memasukkannya atau sebelum mengeluarkannya. Untuk itu potongkan pexiglass berbentuk bulat dengan ukuran 4” menggunakan mesin jig. Namun sebelum itu, perlu diingatkan bentuk pintu pada projek ini bukanlah bulat 360 darjah, terdapat sedikit bahagian ditinggalkan untuk menempatkan engsel daripada bolt dan nat nanti.

    Bagi bahagian bawah rumah serangga tersebut, potongkan kayu dengan panjang 12” dari kayu berukuran 1” x 8” yang tersedia. Mencantumkannya pada bahagian kayu depan dan belakang memerlukan awda untuk menyapukan gam kayu pada permukaan cantuman selain mengukuhkannya menggunakan skru atau paku.

    Manakala untuk bahagian sokongan (ditempatkan pada bahagian atas), kayu berukuran 1” x 1 ½” x 12” akan digunakan. Sama seperti langkah sebelumnya, gunakan gam kayu pada bahagian permukaan cantuman bagi mendapatkan cantuman yang cukup kukuh.

    Sementara bagi mengekalkan kedudukan kasa dawai di tempatnya, stapler akan digunakan bagi mempercepat dan memudahkan proses. Kedudukan stapler yang digunakan perlu dipastikan tidak lebih daripada 1”di antara satu dengan lain. Ini bagi memastikan kasa yang ditempatkan tidak akan mempunyai ruangan yang terbuka sekali gus menyebabkan serangga yang ditempatkan boleh melepaskan diri.

    Setiap stapler yang dimasukkan setentunya nampak kurang elok kepada rekaan namun, awda tidak perlu risau kerana ia boleh disembunyikan dengan menempatkan kulit asli di atasnya. Potong kulit asli yang disediakan sesuai dengan lebar kayu, dan kekalkan kedudukannya menggunakan gam bersesuaian daripada bahagian bawahnya. Gam yang disarankan untuk digunakan dalam langkah ini ialah contact adhesive, di mana masa mengeringnya cukup singkat dan kuat untuk digunakan sama ada pada salah satu atau kedua-dua permukaan cantuman.

    Sebelum meneruskan langkah menempatkan pintu rumah serangga, lindungi keseluruhan permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan. Pilih wood finish yang diperbuat daripada bahan yang bebas toksik agar ia selamat untuk serangga dan ketika mengendalikannya.

    Untuk menempatkan pintu yang diperbuat daripada plexiglass tersebut, terlebih dahulu awda perlu menebuk lubang pada permukaan kayu bahagian depan untuk menempatkan bolt dan nat dengan bahagian tengah (antara permukaan kayu dan plexiglass yang bersentuhan) perlu ditempatkan dengan sekeping washer berketebalan 0.5mm. Dengan langkah terakhir ini, kini awda boleh meluangkan masa dan mengajak bersama anak untuk menangkap serangga seperti rama-rama, belalang, dan sebagainya bagi tujuan pendidikan sebelum melepaskannya semula ke alam semula jadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda