Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Rekaan versatil, hiasi ruangan rumah

    Oleh Amri HTZ

    Jika dilihat perabot yang dijual di gedung-gedung atau kedai perhiasan, setentunya terdapat keunikan tersendiri yang mampu menarik perhatian para peminatnya.

    Hal ini lebih-lebih lagi apabila rekaan tersebut cukup ringkas namun luar biasa untuk menghiasi rumah sendiri.

    Selain keunikan, material digunakan seperti solid wood akan ‘mengukuhkan’ perasaan ia harus dimiliki kerana sifatnya yang tahan lasak. Jika diperhatikan sejak kebelakangan ini, rekaan berbentuk wood slab semakin mendapat perhatian selain menawarkan harga yang kadang-kadang di luar jangkauan.

    Antara barangan yang diperlukan

    Dalam memastikan awda boleh ‘menggenggam’ perhiasan berbentuk wood slab untuk ruangan rumah, apa kata awda merekanya sendiri dengan berbekalkan barangan yang diperlukan seperti mesin gergaji rantai, alat pengepit kayu, gam silikon, mesin sander, pita perekat, resin epoksi, rod besi berukuran 10mm, blow torch, pigmen epoksi berwarna putih, alas getah untuk kaki meja, poliuretana, cat sembur berwarna putih termasuk cat primer, helaian plastik berukuran A4 (untuk acuan resin), ketam kayu dan pita pengukur serta pensel penanda.

    Langkah-langkah pembuatan

    Dengan kesemua barangan diperlukan tersedia, kini awda boleh memulakan proses memotong kayu tebal (slab) daripada pokok tumbang dan terbiar menggunakan mesin gergaji rantai.

    Material yang diketam menggunakan mesin perlu ditetapkan kedudukannya menggunakan alat pengepit kayu pada meja kerja.
    Kaki meja yang telah dicat dan dipasangkan pada bahagian bawah rekaan.
    Epoksi dengan pigmen berwarna putih kemudiannya akan digosok menggunakan kertas pasir sehingga permukaannya selaras.
    Acuan daripada sekeping plastik digunakan untuk mengekalkan epoksi pada ruangan di mana ia dituangkan.

    Bagi memastikan awda mendapatkan kayu lebar yang maksimum, ambil bahagian tengah kayu dengan ketebalan lebih kurang 4 inci. Tandakan kawasan potongan sebelum memotongnya sebagai panduan mengelakkan kesilapan mahupun pembaziran material.

    Panjang potongan diperlukan lebih kurang 16 inci diikuti dengan lebar 14 inci. Ukuran ini bukanlah satu kemestian tetapi tertakluk kepada luas ruangan yang di mana ia hendak ditempatkan, terutamanya di sudut-sudut kecil. Oleh itu awda perlu menyesuaikannya dengan luas ruangan dengan mengukurnya terlebih dahulu.

    Potongan menggunakan mesin gergaji rantai setentunya akan menghasilkan permukaan kayu yang agak kasar dan tidak rata. Untuk itu awda perlu meratakannya menggunakan mesin ketam kayu diikuti dengan kertas pasir berukuran 60 grit, 180 grit, 400 grit dan diakhiri dengan 800 grit bagi keseluruhan permukaan kayu.

    Kulit kayu pula akan dibuang menggunakan scrapper atau pahat kayu memandangkan apabila ia pada kebiasaannya akan tertanggal apabila mengering nanti.

    Bagi memudahkan langkah meratakan permukaan atas dan bawah kayu tersebut, gunakan alat pengepit kayu atau vise bersesuaian untuk mengekalkan kedudukannya.

    Selain itu pastikan awda memakai kaca mata keselamatan bagi menghindarkan cebisan kayu berterbangan masuk ke mata.

    Salah satu permukaan sisi kayu yang membulat, bentuk asal pokok dan mempunyai permukaan tidak rata dan berlubang akan diisikan dengan resin epoksi dalam memberi keunikan pada rekaan.

    Sebelum itu pastikan lubang-lubang tersebut dibersihkan terlebih dahulu menggunakan berus atau alat bersesuaian bagi mengakses ruangan lebih sempit atau kecil.

    Dalam memastikan resin epoksi yang dituang kekal dalam ruangan tersebut, sekeping plastik akan dilekatkan menggunakan gam silikon berfungsi sebagai acuan. Setelah gam silikon mengering, awda kini boleh mencampurkan resin epoksi yang pada kebiasaannya terbuat daripada dua bahagian, A dan B, dengan perbandingan 1:1. Untuk memberikan kelainan dalam rekaan, resin epoksi ini akan dicampurkan dengan pigmen berwarna putih. Ia juga merupakan satu pilihan tersendiri di mana pigmen putih dipilih bagi menyesuaikan tema ruangan di mana ia akan diletakkan.

    Tuangkan resin epoksi ke dalam lubang kayu sehingga memenuhinya dan perhatikan jika terdapat kebocoran besar daripada acuan di mana awda boleh menutupinya menggunakan pita perekat.

    Jika kawasan acuan hanya menunjukkan keadaan basah, ia mungkin disebabkan permukaan kayu yang telah menyerap epoksi. Sementara menunggu epoksi mengering, luangkan masa untuk mereka kaki meja menggunakan besi rod 10mm. Ketika proses membengkokkan besi, ia memerlukan awda untuk memanaskan kawasan tersebut menggunakan blow torch.

    Namun sebelum itu awda perlu mereka pendakap berbentuk L untuk membolehkan rod tersebut ditetapkan. Untuk itu, potong plat dengan bentuk L dengan panjang 3 inci x 3 inci menggunakan mesin pemotong besi (grinder) dengan jumlah empat set.

    Manakala bagi bahagian kaki meja, potongkan rod dengan panjang 34 inci kemudian bengkokkan dengan bentuk membulat pada bahagian tengahnya. Ketika proses membengkokkan, tetapkan salah satu bahagian hujung rod pada alat vise.

    Bakar permukaan rod di kawasan hendak dibengkokkan sehingga berwarna merah dan tarik atau tolak secara perlahan sehingga bahagian kedua-dua hujung rod selaras dengan jarak 4 ½ inci di antara kedua-duanya. Rod yang telah dibengkokkan akan dikimpal pada pendakap yang direka sebelumnya. Kedudukannya akan dicondongkan lebih kurang 15 darjah sebelum dikimpal. Sebatang rod pula akan dipotong dan dikimpal pada bahagian tengah bulatan bersambung pada bahagian sudut pendakap sebagai sokongan untuk kaki meja.

    Sebelum awda mengecat permukaan kaki meja, bersihkan kawasan kimpalan menggunakan berus dawai mahupun flap disc.

    Cat berwarna putih akan digunakan dalam projek ini sesuai dengan pigmen putih epoksi yang digunakan. Semburkan kira-kira tiga lapisan cat dengan memberikan setiap lapisan masa untuk mengering lebih kuran 10 minit.

    Bagi membolehkan kaki meja yang direka dipasang pada bahagian bawah permukaan utama rekaan. Tebuk pendakap tersebut dengan dua lubang untuk ruangan skru.

    Gunakan mata gerudi yang berukuran lebih kecil daripada kepala skru dan pastikan mata gerudi juga khusus untuk besi bukan kayu atau konkrit. Langkah terakhir ialah melindungi permukaan kayu dengan wood finish pilihan. Cat jenis poliuretana tanpa warna akan digunakan untuk mengekalkan keaslian corak dan warna yang terdapat pada permukaan kayu. Dengan memasang alas getah pada kaki meja, rekaan yang cukup versatil ini kini boleh diletak di ruangan yang telah dipilih untuk menghiasinya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...