Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Sampul rekaan menarik papar trend semasa

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Sudah menjadi tradisi ketika datangnya Syawal, pasti ramai kanak-kanak berasa teruja apabila menerima sampul berwarna hijau daripada ibu bapa mereka atau ketika berkunjung ke rumah saudara mara terdekat untuk sambutan Hari Raya.

    Seiring dengan peralihan masa dan situasi, sampul hijau ini telah berubah dan dipelbagaikan bukan saja dari segi warna, reka bentuk, saiz malah ia telah dihasilkan dengan pesanan berguna dan peringatan bukan saja untuk golongan kanak-kanak tapi juga golongan dewasa.

    Bagi tahun ini, ketika negara serta seluruh dunia masih berdepan dengan wabak COVID, Hari Raya Aidilfitri tetap diraikan secara sederhana dengan orang ramai diingatkan untuk mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) semasa kunjung-mengunjungi.

    Apa yang menariknya dan unik Hari Raya tahun ini, di samping saranan daripada Kementerian Kesihatan dalam bab ziarah, pelbagai pihak turut mengambil peluang ini dengan mempelbagaikan lagi sampul berwarna hijau untuk diberikan kepada kanak-kanak.

    Sampul yang dulunya hanya dilihat dengan rekaan ketupat, gambar-gambar kartun dengan pakaian baju kebangsaan dan ucapan Selamat Hari Raya, untuk tahun ini, sampul direka dengan memaparkan warna-warna yang terdapat dalam kod aplikasi BruHealth. Bukan setakat itu, sampul berkenaan juga turut direka menyerupai kit ujian pantas antigen (ART) yang mengikut trend semasa.

    Kanak-kanak kelihatan teruja mendapat sampul raya dengan rekaan baharu yang sarat pesanan tersendiri.

    Melihat kepada kreativiti yang telah dihasilkan itu, Dayang Maimunah binti Haji Donglah terpegun melihat penghasilan kreativiti oleh pelbagai pihak melalui sampul yang diberikan kepada golongan kanak-kanak.

    “Dengan rekaan seumpama ini, ia bukan saja memberi keceriaan kepada kanak-kanak yang menerimanya tapi ia secara tidak langsung mengingatkan kepada ibu bapa dan penjaga anak-anak supaya sentiasa mengekalkan SOP semasa kunjung mengunjungi,” jelasnya.

    Manakala temu bual dengan Dayang Wani Iris yang mengambil peluang juga menghasilkan sampul raya untuk kegunaan sendiri telah memilih untuk menggunakan warna-warna kod Bruhealth dan kit ART sesuai dengan keadaan pada masa ini.

    “Gambar-gambar yang tertera dalam sampul yang dihasilkan itu telah mendapat banyak tanda suka sebaik saja dikongsikan ke dalam laman media sosial malah ada juga yang ingin menempah dengan rekaan yang sama,” jelasnya.

    Menurutnya lagi, idea untuk menghasilkan sampul hijau Hari Raya berbeza dari tahun sebelumnya, setelah melihat perkongsian sampul surat barisan hadapan dari negara jiran dan timbul idea untuk menghasilkan warna-warna kod BruHealth dan juga kit ART.

    “Walaupun pada peringkat awal, penghasilan ini hanya untuk suka-suka sahaja untuk memberi kelainan dari tahun sebelumnya tetapi ia secara tidak langsung mengingatkan kita semua untuk terus mengekalkan SOP bagi mengawal penularan COVID lebih-lebih lagi semasa musim perayaan ini,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...