Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Santai-santai di bandar Britain

    Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Hj Ahmad

    Setelah bertungkus lumus menjalani latihan yang begitu intensif mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi pegawai-pegawai kadet di Maktab Tentera Laut Diraja British, Dartmouth, England kami sangatlah menunggu ketibaan cuti hujung minggu.

    Bukan kami saja bahkan jurulatih-jurulatih kami juga, yang kebanyakan mereka ini tinggal di luar bandar Dartmouth, tidak akan sabar untuk bercuti di hujung minggu.

    Pada masa lapang, khususnya di hujung minggu jika keadaan mengizinkan seperti tidak bertugas, saya akan mengambil peluang keemasan ini untuk pergi melawat dan bersiar-siar di kawasan bandar kecil di persekitaran Dartmouth.

    Kingswear terletak di seberang Sungai Dart yang memisahkan kedua-dua bandar kecil ini dan hanya mempunyai penduduk seramai lebih kurang seribu orang. Saya masih ingat berjalan kaki menuju ke Kingswear yang terpaksa menaiki feri kereta yang berulang-alik di antara Dartmouth dan Kingswear.

    Di Kingswear terdapat satu kubu pertahanan yang dipanggil ‘Kingswear Castle’ yang dibina antara tahun 1491 dan 1502. Kubu ini dibina adalah khusus untuk membantu ‘Dartmouth Castle’ yang terletak berhadapan dengan ‘Kingswear Castle’ antara kuala Sungai Dart.

    Pemandangan kampung nelayan Kingswear dan Sungai Dart dari Dartmouth di musim sejuk.

    Kedua-dua kubu ini dibina bertujuan untuk mempertahankan keselamatan pelabuhan Dartmouth dan Sungai Dart yang mana pada ketika itu Dartmouth adalah sebuah pelabuhan yang sangat strategik bagi Armada Angkatan Laut British terutamanya bagi mencegah serangan daripada Armada Laut Perancis.

    Sementara menunggu bas di tempat perhentian bas di Kingswear kita akan dapat melihat bangunan Maktab Tentera Laut Diraja Britannia tersergam indah terletak di atas bukit Boone. Di Sungai Dart pula kita akan dapat melihat pemandangan indah dengan kapal-kapal rekreasi berlabuh dan kapal-kapal nelayan dengan gembiranya melaksanakan tugas masing-masing.

    Dengan menaiki bas saya meneruskan perjalanan menuju ke bandar kecil Brixham iaitu sebuah bandar yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada nelayan.

    Brixham mempunyai seramai lebih kurang 15,000 orang penduduk dan di bandar kecil ini ada terdapat satu pelabuhan penangkap ikan.

    Brixham juga merupakan tempat peranginan yang sering dikunjungi oleh orang-orang Inggeris dan juga ada yang datang dari negara-negara Eropah terutamanya pada musim panas.

    Mengikut cerita penduduknya, dipercayai pada satu ketika dahulu sekitar tahun 1688 ‘William of Orange’ pernah mendarat di Brixham ini.

    Mengikut sejarah bandar kecil Brixham pada satu ketika dahulu termasyhur sebagai sebuah bandar pelabuhan perikanan yang terbesar di selatan barat England dan juga terkenal mempunyai pelabuhan perikanan yang dalam di England.

    Bagaimanapun bandar Brixham ini mempunyai kawasan perairan yang sangat berbahaya. Berdasarkan kisah setempat banyak kapal-kapal terkandas dan karam oleh sebab terlanggar batu karang.

    Juga di Brixham ini terdapat sindiket-sindiket penyeludupan bagi mengelakkan cukai dan jika ditangkap mereka ini akan dihukum gantung. Bagi mereka menyeludup adalah lebih menguntungkan daripada kerja-kerja menangkap ikan sebagai nelayan.

    Rupa-rupanya profesion menyeludup ini telah berlaku dari dahulu lagi dan sehingga kini ianya masih saja berleluasa di dunia ini tidak terkecuali di negara-negara di rantau kita.

    Dari Brixham, saya meneruskan perjalanan ke kawasan bandar Paington, iaitu sebuah lagi kampung nelayan. Kampung ini dipercayai telah mula wujud dalam kurun ke-11. Paington dianggarkan mempunyai penduduk seramai 49,000 orang.

    Paington pada keseluruhannya adalah sebuah kampung nelayan. Pada kurun ke-19 sebuah pelabuhan baharu telah dibina di kampung ini.

    Paington masa kini kian membangun di mana ianya telah menjadi satu tempat yang sangat menarik bagi pelancong dan kekal sebagai kampung nelayan.

    Tidak hairanlah masih banyak penduduknya terdiri daripada penangkap ikan di mana hasil tangkapan mereka akan dipunggah ke pelabuhan Paington ini.

    Saya teringat bagaimana pada satu ketika dahulu nelayan-nelayan di Brunei memunggah hasil titik peluh mereka itu di tambatan perikanan di Muara. Ikan dan udang yang masih segar dijual di pasar Pekan Muara dengan harga yang sangat berpatutan.

    Paington sekarang telah berubah kerana hasil pendapatannya bergantung banyak kepada pelancongan. Keindahan laut dan pantai Paington menjadi tarikan bagi pelancong-pelancong khususnya pelancong-pelancong tempatan.

    Bandar di pinggir laut yang juga saya kunjungi ialah Torquay. Dari Paington kita sudah pasti akan nampak bandar Torquay.

    Pemandangan dari arah Paington ini memanglah sangat menakjubkan dengan laut yang biru dan pantai yang putih mengelilingi keindahan teluk Torbay.

    Torquay adalah bandar yang besar jika dibandingkan dengan Kingswear, Brixham dan Paington dengan penduduknya dianggarkan lebih kurang 60,000 orang.

    Bagi kami sebagai pegawai-pegawai kadet yang sedang menjalani latihan di Maktab Tentera Laut Diraja British di Dartmouth akan sering berkunjung ke bandar Torquay apabila kami rindu dan ingin untuk menikmati makanan orang-orang Asia, kerana di bandar Torquay ini terdapat restoran-restoran dari negara-negara China dan India.

    Di Dartmouth, jika ingin untuk makan kari ayam dan nasi kami akan mengunjungi restoran kepunyaan seorang warga emas yang berasal dari Poland. Kegemaran kami apabila makan di restoran tersebut ialah ayam panggang berkuahkan sos kari dan nasi putih.

    Enak juga makan masakan orang Poland ini apatah lagi sudah lama tidak menikmati makanan di negeri sendiri. Kami merasa bosan juga dan tidak tahan makan masakan hidangan Inggeris di Maktab Tentera Laut Diraja British seperti daging dan ayam panggang, ubi kentang, beef stew, poached atau ikan goreng dan lain-lain lagi masakan khusus orang-orang Inggeris.

    Torquay adalah sebuah bandar rekreasi yang banyak menyediakan kemudahan sukan air. Di pelabuhan ini juga terdapat satu marina di mana kapal-kapal layar boleh bertambat dengan selamat.

    Pada awal tahun 70an Torquay belum banyak dikunjungi oleh orang-orang Brunei selain daripada pegawai-pegawai kadet dari Angkatan Laut Pertama, Askar Melayu Diraja Brunei yang menjalani kursus ketenteraan laut di Maktab Tentera Laut Diraja British Britannia di Dartmouth.

    Bagaimanapun di akhir-akhir ini telah terdapat penuntut-penuntut Brunei belajar di maktab-maktab dan universiti di Torquay ini.

    Perjalanan dari Dartmouth ke Torquay akan mengambil masa satu jam 30 minit sahaja dengan menaiki bas. Bagi saya pengalaman menaiki bas dari Dartmouth ke bandar Torquay adalah satu pengalaman indah yang menyeronokkan dan seperti lazimnya apabila kita lakukan buat pertama kali memang tidak akan mudah dapat kita lupakan.

    Pemandangan keindahan laut biru dan pantai putih di sepanjang perjalanan memang sukar untuk dihuraikan dengan perkataan, ia memang indah dan menarik bagi mana jua mata memandang.

    Tambahan pula orang-orang Inggeris di kawasan sini sangat peramah dan baik hati. Mereka juga dengan senang hati akan menyapa kami dengan senyuman manis mereka.

    Berat juga rasanya kaki ini untuk melangkah masuk semula di pintu besar Maktab Tentera Laut Diraja British ini tapi apakan daya latihan akan tetap berjalan sepertimana yang dirancang. Latihan ketenteraan laut terus dijalankan tanpa berlengah-lengah lagi dan kami tidak akan sabar-sabar menanti dengan ketibaan cuti hujung minggu.

    (Penulis adalah bekas pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei)

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...