Sunday, April 28, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Selami sejarah Hiroshima guna teknologi VR

    Gambar AFP

    HIROSHIMA, JEPUN – Di jalan yang cerah di Hiroshima, seorang pelancong melihat sekeliling, tetapi bukannya melihat tebing sungai yang sibuk, mereka menyaksikan pemandangan ngeri, dengan mayat terbakar dan api yang menjulang tinggi.

    Apa yang mereka lihat adalah sebahagian daripada lawatan dunia realiti maya menggunakan VR yang membolehkan orang ramai merasai pengalaman bandar itu seperti sebelum, semasa dan selepas serangan bom atom pada 6 Ogos 1945.

    Ia boleh menjadi pengalaman yang mencemaskan, tetapi Hiroshi Yamaguchi, menubuhkan syarikat yang mula menawarkan lawatan itu, percaya ia boleh membantu orang ramai memahami dengan lebih baik kesan serangan nuklear dan bandar yang wujud sebelum itu.

    “Saya kira sesetengah orang yang tinggal di Hiroshima pun tidak tahu bahawa Taman Keamanan yang ada sekarang sebenarnya dahulunya adalah sebuah bandar sempurna, tempat orang tinggal,” kata lelaki berusia 44 tahun itu kepada AFP.

    “Lebih mudah memahaminya dengan mengalami sendiri berbanding hanya melihatnya melalui gambar.”

    Yamaguchi memegang gambar bagaimana bandar itu kelihatan sebelum ia dimusnahkan, semasa lawatannya di Hiroshima.
    Kubah Bom Atom dilihat terletak di Memorial Keamanan Hiroshima.
    Yamaguchi bercakap tentang satu-satunya mangsa yang terselamat di Rumah Rehat Hiroshima yang terletak berhampiran pusat hipocentre di Hiroshima.
    Penduduk setempat, Megumi Tabuchi mencuba set kepala realiti maya VR di luar Rumah Rehat Taman Hiroshima di Hiroshima.
    Hiroshi Yamaguchi, yang syarikatnya menawarkan lawatan realiti maya (VR) yang membolehkan orang ramai merasai pengalaman bandar seperti sebelum, semasa dan selepas serangan bom atom pada tahun 1945, menunjukkan cara menggunakan set kepala VR semasa lawatannya di Hiroshima.
    Sergio Wang (R) dan isterinya dari Brazil mencuba set kepala realiti maya VR di luar Rumah Rehat Taman Hiroshima di Hiroshima.
    Yamaguchi melihatkan dinding mesej keamanan di Hiroshima Park Rest House yang terletak berhampiran pusat letupan bom di Hiroshima.

    Lawatan bermula di tempat yang kini dikenali sebagai Rumah Rehat Taman Hiroshima, yang digunakan oleh kesatuan catuan bahan api pada masa serangan bom. Ia hanya 170 meter dari pusat letupan, dan semua kecuali seorang daripada 37 orang di dalam bangunan pada masa itu terbunuh.

    Satu-satunya mangsa yang terselamat berada di ruang bawah tanah ketika bom itu meletus, dan lawatan itu sebahagiannya berdasarkan apa yang dilihat oleh mangsa, apabila dia naik ke permukaan, yang menghantuinya sepanjang hayatnya.

    Secara keseluruhan, kira-kira 140,000 orang terkorban dalam serangan itu dan kesannya.

    Syarikat Yamaguchi Tabimachi, Gate Hiroshima bekerja dengan arkib dari Muzium Memorial Keamanan di bandar itu, sebuah akhbar tempatan dan saksi mangsa yang terselamat untuk mencipta segmen imejan VR untuk lima perhentian di sekitar taman keamanan.

    Peserta berjalan di sepanjang laluan yang membawa set kepala VR yang mereka pakai di setiap perhentian, membolehkan mereka mengalami kawasan itu seperti sebelum bom, semasa serangan dan selepas pembinaan semula.

    Lawatan itu, yang berlangsung sekitar satu jam, dengan masa selepas itu untuk perbincangan, telah dilancarkan pada 2021.

    Sergio Wang, 64, dari Brazil yang mencuba hentian pertama minggu ini, berkata dia mendapati ia mengagumkan.

    “Apabila ia bermula, awda nampak dua orang di atas jambatan dan tiba-tiba, bunyi pesawat datang, kemudian cahaya muncul daripada bom yang meletup,” katanya.

    “Saya fikir ia mengagumkan kerana saya tidak melihat apa-apa seperti itu sebelum ini dan awda boleh melihat sekeliling, awda, boleh memeriksa apa yang awda mahukan.”

    Megumi Tabuchi, seorang penduduk Hiroshima yang berpindah ke bandar itu tiga tahun lalu, berkata, “Saya dapat memahami keadaan sebenar. Ia lebih jelas, dengan orang ramai berjalan-jalan,” tambah lelaki berusia 60 tahun itu.

    Yamaguchi berkata ada yang mendapati pengalaman itu terlalu terperinci sehingga ada yang menangis bahkan berhenti meneruskan lawatan itu.

    Tetapi untuk kanak-kanak, mereka ditawarkan versi yang berbeza, selalunya kelihatan lebih baik berhubung dengan VR daripada imej statik masa lalu, katanya.

    Syarikat Yamaguchi kebanyakannya menumpukan pada jenis pelancongan lain, dan lawatan VT itu merupakan projek paling disenanginya sebagai keturunan hibakusha, mangsa yang terselamat dari bom.

    “Saya mahu menunjukkan bahawa sebelum ini, ada sebuah bandar, bahawa ia telah dibina semula oleh ramai orang,” katanya.

    Sebelum dia melancarkan lawatan itu, dia meminta Hiroshi Harada, seorang hibakusha dan bekas pengarah muzium Hiroshima untuk mencubanya.

    Harada memberitahunya bahawa imej bagaimanapun tidak dapat menangkap sesuatu yang masih melekat dalam ingatan dan derianya beberapa dekad selepas dia hidup melalui serangan itu: bau manusia terbakar dan mereput. “Dia melihatnya dan kemudian berkata kepada saya ‘Bukan begini. Ia lebih teruk’.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...