Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Semai kesedaran tentang PCOS

    Oleh Nurdiyanah R.

    Polycystic Ovary Syndrome (PCOS), adalah satu sindrom yang boleh memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan rupa fizikal seseorang wanita yang menghidapinya.

    Pesakit PCOS akan menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan dan ini boleh menjejaskan kesuburan pesakit.

    Kebanyakan wanita PCOS juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) dan boleh menghidap diabetes, obstructive sleep apnea dan banyak lagi masalah jangka masa panjang. Oleh itu, mereka perlu menjalani saringan diabetes (kencing manis), tekanan darah dan kolesterol. PCOS juga boleh menyebabkan ketidaksuburan disebabkan telur (ovum) yang tidak menetas keluar, akan tetapi ada ubat-ubatan kesuburan yang boleh membantu masalah ini.

    Itulah antara perkara-perkara yang dikongsikan dalam forum berjudul ‘Mengenai Wanita: Apakan Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan Trying to Conceive (TTC) ani?’ secara maya menerusi platform Zoom Meeting yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB), sekitar penghujung bulan Mac lalu.

    Matlamat forum meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan dalaman wanita terutama yang jarang diketengahkan termasuklah masalah kesuburan sekali gus menjauhi sitgma-stigma dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh.

    Forum telah dikendalikan oleh empat orang panel jemputan terdiri daripada dua orang pakar perubatan, Penolong Profesor, Kejururawatan dan Perbidanan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Sarena binti Haji Hashim; dan Gynaecologist/Obstetrician Klinik Prema, Dr Hajah Sohaila binti Islam; manakala dua orang panel lagi, Angie Ang dan Dayang Rina Habib lebih kepada perkongsian pengalaman peribadi mereka serta Dayang Nurul Izyan Anver selaku moderator.

    Ke arah usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan dalaman wanita terutama yang jarang diketengahkan, forum berjudul ‘Mengenai Wanita: Apakan Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan Trying to Conceive (TTC) ani?’ telah diadakan secara maya menerusi Zoom Meeting.
    Pakar Ginekologi dan Obstetrisian Klinik Prema, Dr Hajah Sohaila, yang merupakan salah seorang panel dalam forum berkenaan.
    Penolong Profesor, Kejururawatan dan Perbidanan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Sarena.

    Penurunan berat badan sememangnya merupakan kaedah yang paling efektif dalam mengawal insulin, mengatur semula kitaran haid kembali normal dan simptom-simptom PCOS lain.

    Apakah itu ovari polisistik?

    Secara umumnya, para panel terdiri daripada pakar perubatan menjelaskan bahawa ia adalah satu keadaan di mana terdapat banyak sista kecil (follicles) tersusun di dalam ovari seseorang dan hanya dapat dilihat dengan bantuan imbasan ultrasound.

    Jika imbasan ultrasound dilakukan pada wanita PCOS, beberapa sista kecil (4-9mm) dapat dilihat di dalam ovari. Sista kecil ini adalah folikel kecil (yang di dalamnya terkandung telur) yang tidak mampu berkembang kepada saiz yang akan mencetuskan ovulasi. Akibatnya, kadar estrogen, progesterone, pituitary luteinizing hormone (LH), dan folikel merangsang hormon (FSH) menjadi tidak seimbang. Ini adalah antara penyebab phenomena PCOS.

    Insulin adalah hormon yang mengawal tahap glukosa (sejenis gula) dalam darah. Wanita PCOS mungkin tidak bertindak balas terhadap insulin (dikenali sebagai rintangan insulin) dan ini boleh menyebabkan tahap glukosa menjadi tinggi di dalam darah. Untuk mengatasi masalah ini, badan akan menghasilkan lebih banyak insulin. Tahap insulin yang tinggi inilah boleh menyebabkan pertambahan berat badan.

    Kenal pasti simptom dan rawatan tertentu

    Sementara itu, simptom PCOS termasuklah kitaran haid yang tidak teratur atau tidak datang sama sekali; mempunyai banyak bulu di muka atau badan yang lebih daripada biasa (hirsutism); kehilangan rambut di kepala; obes; jerawat atau kulit muka berminyak; dan kemurungan atau berubah suasana hati.

    Manakala menyentuh mengenai rawatan PCOS, ia terpulang kepada simptom atau tanda dan berkisar kepada para pesakit. Salah satunya ialah penggunaan pil perancang (OCP) yang bertujuan untuk memperbetulkan kitaran haid. Ia juga boleh menghindarkan kanser rahim atau hiperplasia selaput endometrium. OCP yang mempunyai anti-androgen (cyproterone acetate) boleh juga mengurangkan hirsutisme dan jerawat.

    Selain itu, rawatan juga boleh dilakukan dengan Progestin iaitu sejenis hormon yang diberi selama 21 hari untuk satu hingga tiga bulan. Ia boleh mangatur pusingan haid tetapi tidak membantu dalam hirsutisme atau jerawat. Progestin juga tidak menghindar keupayaan mengandung (ia bukan OCP). Akan tetapi, ia boleh mengurangkan risiko kanser rahim dan hiperplasia selaput endometrium.

    Terjadinya hirsutisme iaitu bulu yang berlebihan di badan kepada pesakit maka ia boleh dirawat dengan bercukur, kaedah electrolysis atau rawatan laser. Sementara itu terdapat ubat-ubat anti-androgen seperti cyproterone acetate atau alderone, yang diambil untuk empat hingga enam bulan boleh membantu mengurangkan hirsutisme.

    Penurunan berat badan sememangnya merupakan kaedah yang paling efektif dalam mengawal insulin, mengatur semula kitaran haid kembali normal dan simptom-simptom PCOS lain. Dengan hanya mengurangkan berat badan, sudah cukup untuk pusingan haid kembali normal dan juga meningkatkan tahap kesuburan wanita PCOS.

    Manakala Metformin (Glucophage) pula sebagai ubat untuk meningkatkan efekasi insulin dalam badan di mana ia boleh membantu ovulasi bagi sesetengah pengidap PCOS, lebih-lebih lagi yang ada mengalami obes dan mempunyai kencing manis

    Oleh yang demikian, bagi mengurangkan dan mengawal serta menjauhi risiko PCOS maka sebagai kaum hawa meliputi semua peringkat usia perlulah mengamalkan cara hidup sihat dan berusaha mengekalkan berat badan yang ideal. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat, di samping sentiasa aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti bersenam dalam meniti kehidupan harian.

    Hadir menyaksikan forum bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2022 berkenaan ialah Yang Di-Pertua MBB, Dayang Khairunnisa binti Haji Ash‘ari, yang mana turut disambut baik dengan penglibatan lebih 300 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, persatuan badan-badan bukan kerajaan (NGO), penuntut-penuntut institut pengajian tinggi dan orang awam.

    Dengannya, forum ini mendidik peserta-peserta untuk lebih mengenali simptom-simptom dan juga langkah-langkah untuk mencegah atau mengurangkan risiko PCOS di samping pendedahan cara bagaimana keluarga memberi sokongan dan dorongan kepada ahli keluarga yang mengalami PCOS termasuklah dalam aspek yang memberi kesan terhadap kesihatan mental.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...