Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Semangat kental wanita dalam dunia lelaki

    PUTRAJAYA – Kata orang dulu-dulu, tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia, dan sememangnya kemampuan kaum hawa tidak lagi boleh disangkal, baik dalam mem-besarkan anak sehingga menjadi orang berjaya mahupun mereka sendiri mencipta nama di persada dunia.  

    Dalam konteks Malaysia, dasar dan agenda kerajaan yang menekankan aspek pemerkasaan wanita sejak beberapa dekad lalu menunjukkan impak positif apabila semakin ramai kaum hawa mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. 

    Malah, penyertaan kaum wanita dalam pasaran tenaga kerja di negara ini juga melebihi kaum lelaki seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, iaitu tenaga buruh wanita berjumlah 6.23 juta orang atau 55.1 peratus setakat 28 Feb lepas.

    Selain itu, Malaysia juga boleh berbangga dengan pencapaian wanitanya dalam hampir semua bidang di peringkat antarabangsa, dan Komander Maritim, Dr Suzanna Razali Chan antara yang berada dalam senarai tersebut.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia itu adalah antara tokoh yang disegani ramai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lautan, dan pada September lepas beliau mencipta sejarah menjadi wanita pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang diiktiraf sebagai Ikon Wanita Dunia Carilamat oleh Persekutuan Penyelamat Maritim Antarabangsa (IMRF). 

    Dr Suzanna Razali Chan menunjukkan pencapaiannya dalam operasi SAR dalam APMM sejak penglibatannya pada 2007.- Bernama

    Martabat operasi SAR Dalam Maritim 

    Bercerita tentang anugerah itu yang diterimanya pada 14 Sept lalu kepada Bernama, Suzanna, 41, berkata beliau tidak menyangka mendapat pengiktirafan sebesar demikian kerana pesaingnya adalah tokoh wanita SAR bertaraf antarabangsa dari seluruh dunia.

    “Seramai 11 calon yang disenarai pendek untuk peringkat akhir dengan penilaian mengambil kira prestasi dalam dua tahun terkebelakang iaitu 2020 dan 2021.

    “Saya banyak terlibat dalam forum dan pembentangan antarabangsa dalam mempromosikan SAR maritim di negara kita, antaranya Kongres Penyelamat Maritim Dunia 2019 di Kanada serta di Yokosuka dan Yokohama, Jepun selain pernah dinobatkan sebagai pembentang terbaik dalam pemerkasaan wanita SAR,” jelasnya.

    Menurut pemegang Ijazah Kedoktoran Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Teknologi MARA itu, beliau juga menyumbang idea dalam penulisan buku manual  International Aeronautical and Maritime Search and Rescue (IAMSAR) dalam konteks SAR Malaysia yang turut menjadi kriteria anugerah tersebut. Bercerita tentang penglibatannya dalam bidang maritim, Suzanna berkata minatnya terhadap laut berputik apabila sering mengikut arwah ibunya berenang.

    Beliau turut “jatuh cinta” dengan pasukan beruniform maritim menyebabkan beliau menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Laut (Palapes Laut) ketika mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia pada 2003.

    “Selepas tamat pengajian, saya menyertai APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau Maritim Malaysia) sebagai Leftenan Maritim pada 2007…  dalam kumpulan itu, saya antara lapan wanita daripada 72 orang yang diserap masuk.

    “Walaupun dianggap pelik oleh ahli keluarga dan sahabat handai kerana minat terhadap industri yang jarang diceburi oleh kaum wanita, mereka sangat menyokong kerana saya jenis yang lasak,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu. 

    Wanita dalam SAR

    Suzanna yang bertugas di Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan siap sedia 24 jam seminggu bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di laut.

    “Selepas menerima laporan dan disahihkan, anggota akan ke lokasi kejadian dengan aset yang sesuai. 

    “Kerja-kerja SAR di laut bukannya mudah, tidak seperti di daratan yang mana kemalangan itu akan statik di situ.  Di laut, pelbagai faktor boleh mempengaruhi situasi kemalangan seperti cuaca, arus, pasang surut air, ombak serta cabaran komunikasi.

    “Jika kemalangan melibatkan kapal atau bot kecil, mangsa mungkin dibawa arus sehingga sukar dikesan,” katanya yang pernah mengikuti misi menyelamat selama 15 hari untuk mencari mangsa lemas. Mengulas lanjut, Suzanna berkata pada masa ini Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana mempunyai 25 anggota dengan tiga daripadanya wanita termasuk beliau. 

    “Semua anggota dan pegawai yang berpotensi, tidak kira lelaki atau wanita, akan diberi peluang sama rata dalam aspek perkembangan kerjaya.   

    “Setakat ini hanya 4.9 peratus anggota APMM adalah wanita, namun ini tidak menghalang kami daripada bersama-sama berbakti tanpa mengira gender dan kami sangat mengalu-alukan penyertaan kaum wanita setiap kali ada pengambilan baharu,” ujarnya.

    Beliau yang menjadikan Ketua Pegawai Eksekutif IMRF Theresa Crossley sebagai idolanya, berkata ramai wanita takut untuk menceburi  kerjaya itu kerana bidang berkenaan didominasi oleh lelaki serta sangat mencabar.

    “Pemikiran sebegini harus diubah agar lebih ramai wanita tampil dan menyerlahkan potensi diri. Apatah lagi dalam konteks APMM, organisasi ini tidak menafikan kemampuan wanita dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin,” jelas beliau. 

    Terajui industri didominasi lelaki 

    Sementara itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia Hana Raj, 36, mengakui wanita dalam dunia teknologi maklumat berdepan dengan cabaran tersendiri, khususnya dalam menangani bias gender.

    Ini kerana dunia teknologi maklumat atau IT umumnya didominasi oleh lelaki, menyebabkan beliau menanam tekad untuk lebih berani dan berkeyakinan dalam menjalankan tanggungjawab.

    Menurut Laporan Bank Dunia pada September 2019, wanita hanya merangkumi 35 peratus daripada tenaga kerja dalam bidang teknologi di Malaysia.

    “Bukan lagi rahsia bahawa terdapat kekurangan tenaga kerja wanita dalam IT, lebih-lebih lagi pada peringkat pembuat keputusan.

    Sekalipun masyarakat kini semakin maju, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mewujudkan persekitaran inklusif, di mana selain pandangan didengar, kaum wanita juga dihormati dan berpeluang mengembangkan kerjaya termasuk ke peringkat pemimpin,” katanya dalam e-mel kepada Bernama.

    Imbang peranan di pejabat, rumah tangga

    Menurut ibu kepada dua anak itu, sebagai antara pembuat keputusan di Cisco, beliau perlu bijak membahagikan masa di antara kerjaya dan juga rumah tangga.

    “Nasihat daripada seorang pemimpin wanita yang pernah saya temui menjadi pegangan saya, iaitu ‘hanya utamakan apa yang boleh anda buat dan agihkan tugas selebihnya kepada orang lain’. 

    “Selain itu, pengurusan masa dan sistem sokongan juga penting kerana kedua-dua aspek ini akan memberikan kita ruang untuk mengadaptasi ke dalam peranan yang diberikan kepada kita,” kata wanita kelahiran Kuala Lumpur tersebut.

    “Ini bermakna kita jangan fikirkan tentang kesempurnaan, sebaliknya menerima bahawa tidak mengapa untuk beri tumpuan pada yang terbaik dan paling penting untuk anda dan keluarga,” tambah beliau yang turut mengagumi Michelle Obama, Sheryl Sandberg dan Beyonce sebagai pemimpin wanita yang memberi inspirasi.

    Mengulas tentang kerjayanya di Cisco, Hana yang merupakan lulusan ekonomi daripada London School of Economics menyertai firma IT tersebut pada 2019, mengetuai pasukan Strategi dan Operasi ASEAN selama dua tahun setengah sebelum dilantik ke jawatan sekarang.  

    Jelasnya, antara lain tugas beliau sekarang ialah menyelia operasi syarikat termasuk prestasi keseluruhan perniagaan selain merancang hala tuju strategik Cisco di negara ini.

    Hana berkata beliau juga bertuah kerana Cisco antara firma IT yang mempunyai pasukan pemimpin eksekutif paling berbagai dengan 45 peratus merupakan wanita dan 54 peratus adalah kepelbagaian dari segi gender dan kaum.

    Kesaksamaan gender di tempat kerja

    Berkongsi tip selaku ‘bos’ wanita’, Hana berkata amat penting bagi sesebuah organisasi memupuk budaya di tempat kerja yang menganjurkan kepelbagaian dan keterangkuman pada semua peringkat.

    “Komitmen pemimpin atasan untuk mengutamakan nilai-nilai ini serta mewujudkan organisasi yang seimbang dari segi gender dapat membantu lebih ramai wanita merealisasikan potensi mereka termasuk sebagai ketua.

    “Paling penting bagi pemimpin ialah keikhlasan dan kebolehpercayaan. Sebagai pemimpin, kita tidak mampu untuk memuaskan semua orang, namun ini tidak bermakna apa yang kita lakukan itu tidak betul.

    “Persepsi terhadap kepimpinan di tempat kerja juga sedang berubah dan kita boleh menjadi pemimpin yang berkesan, berimpak dan kuat dengan cara kita sendiri,” ujarnya.

    Beliau turut menasihati wanita yang bekerja agar keluar dari zon selesa dan menjadi lebih berani, yang akan membantu mereka berkembang dalam kerjaya dengan lebih cepat selain meneguhkan kedudukan mereka di tempat kerja.

    “Anda tidak perlu penuhi semua kriteria untuk mendapat kenaikan pangkat atau memburu kerja idaman. Anda hanya perlu mulakan langkah. Jangan takut untuk mengambil tindakan berani sekalipun tempat yang dituju itu tidak ada orang seperti anda.” – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...