Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Serap nilai sejarah melalui media sosial

    Oleh Nurdiyanah R.

    Dalam era teknologi digital ini, masyarakat wajar memanfaatkan pelbagai aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube sebagai wadah berinteraksi dan berkongsi apa sahaja ilmu pengetahuan mahupun pengalaman yang mampu mendekatkan jiwa, di samping membuka minda pengguna yang lain.

    Oleh yang demikian, Pusat Sejarah Brunei telah menganjurkan aktiviti TikTok Sejarah yang berlangsung di Galeri Sejarah, baru-baru ini.

    Aktiviti itu merupakan kuiz interaktif bergambar yang ditayangkan melalui layar (screen) dengan menggunakan aplikasi TikTok dan dijawab secara fizikal. Setiap peserta dikehendaki menjawab secara bergilir-bergilir dalam tempoh masa lima saat bagi setiap soalan. Kuiz interaktif ini telah mengetengahkan soalan tentang sejarah am Brunei seperti kesultanan Brunei, tempat dan peristiwa bersejarah dan sebagainya.

    Hadir pada majlis itu bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada lima orang pemenang dan peserta-peserta ialah Pegawai Sejarah Kanan, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah.

    Salah seorang peserta aktiviti TikTok Sejarah anjuran Pusat Sejarah Brunei beranggapan bahawa aplikasi TikTok menjadi wadah yang sesuai dalam mendidik dan memperingati detik-detik sejarah Negara Brunei Darussalam. Tambahnya, golongan generasi muda merupakan pengguna terbesar media sosial. Oleh itu, penerapan nilai-nilai sejarah melalui aplikasi berkenaan merupakan tindakan yang bijak dan perlu diteruskan.

    Lebih 10 orang peserta terlibat dalam menjayakan aktiviti TikTok Sejarah anjuran Pusat Sejarah Brunei yang berlangsung di Galeri Sejarah.
    Awang Mohamad Hajib (hujung kiri) bersama empat pemenang yang lain semasa ditemui penulis.
    Antara peserta yang mengikuti aktiviti Teka dan Padan berkonsepkan Makanan Tradisi Brunei sebagai salah satu aktiviti sampingan yang lain.

    “Seperti yang diketahui, trend penggunaan aplikasi TikTok lebih gemar diikuti oleh majoriti generasi muda kini bahkan juga peringkat usia yang lain, maka sehubungan itu apabila kita menyentuh mengenai menyerapkan nilai-nilai sejarah dalam aplikasi TikTok itu sememangnya ia merupakan perlaksanaan yang bijak dan perlu diteruskan di masa-masa akan datang,” jelas Awang Mohamad Hajib Sarhan bin Awang Mohamad Harkan, yang juga merupakan pemenang aktiviti anjuran Pusat Sejarah Brunei itu.

    “Menerusi kaedah itu, ia bagaikan sebuah jambatan penghubung untuk semua pengguna khususnya masyarakat tanah air untuk lebih menghargai dan memperingati detik-detik bersejarah yang berlaku di negara kita,” tambahnya.

    Awang Mohamad Hajib memuji usaha yang diadakan oleh Pusat Sejarah Brunei yang mampu memartabatkan lagi keindahan sejarah dan budaya Negara Brunei Darussalam, bukan hanya di mata masyarakat setempat bahkan juga di luar negara.

    Selaku mahasiswa Tahun Tiga di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohamad Hajib yang mengambil jurusan Kesusasteraan Melayu itu turut menekankan bahawa siapa pun kita, terutamanya golongan belia sebagai pewaris bangsa, perlu sama-sama memelihara dan memulihara nilai-nilai sejarah Brunei termasuklah budaya agar ia akan tetap segar menjadi ristaan sepanjang zaman bagi generasi seterusnya.

    “Jika ditanya siapa yang bertanggungjawab memartabatkan sejarah kita, maka perkara itu semestinya menjadi tanggungjawab masing-masing kerana segalanya bermula dalam diri kita sendiri agar lebih peka dan bangkit dengan jiwa patriotik bersama keagungan sejarah di bumi kita dilahirkan. Belajarlah daripada sejarah kerana ia ialah guru kepada manusia yang mampu mengajar kita erti kehidupan untuk memahami tauladan dan iktibar pada peristiwa-peristiwa yang berlaku,” tambahnya lagi yang kini sedang mengikuti program penempatan kerja di Pusat Sejarah Brunei.

    Aktiviti kuiz interaktif ialah aktiviti tahunan Pusat Sejarah Brunei yang dikendalikan oleh Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran sebagai salah satu Program Aktiviti Cuti Sekolah bersempena cuti persekolahan.

    Ia bertujuan memberi peluang kepada orang ramai khususnya kanak-kanak dan belia untuk mengetahui, memahami dan menambah ilmu serta mempelajari tentang persejarahan Brunei.

    Selain itu, aktiviti Teka dan Padan berkonsepkan aspek budaya iaitu Makanan Tradisi Brunei dan Barang Warisan Brunei turut diketengahkan kepada para peserta yang terlibat. Aktiviti ini merupakan soalan bergambar di mana peserta akan diberikan sebanyak 40 keping gambar dan dikehendaki untuk mencari dan memadankan gambar tersebut dengan jawapan yang telah disediakan pada Display Board.

    Pada tahun ini, dengan bertemakan ‘Sayangi Sejarah Kitani’, Program Aktiviti Cuti Sekolah mengungkayah dan mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik dengan menggunakan pelbagai kaedah permainan atau aplikasi sesuai trend pada masa kini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...