Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Sikal Syawal imbau kenangan raya zaman dulu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pada zaman dahulu, penggunaan basikal untuk pergi ke satu-satu tempat merupakan sesuatu yang sinonim dengan masyarakat. Ini termasuk bagi menziarahi saudara-mara dan sahabat handai semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    Mereka akan memakai baju Melayu ataupun baju kurung sambil berbasikal dari satu kampung ke satu kampung.

    Pastinya terdapat pelbagai kisah suka dan duka yang masih tersimpan dalam diri mereka.

    Antaranya, keseronokan berlumba basikal semasa menziarahi dari sebuah rumah ke rumah yang lain, dan kesakitan yang dialami semasa terjatuh basikal akibat terlanggar tunggul kayu semasa dalam perjalanan. Memori-memori tersebut pastinya sentiasa tersemat dalam minda dan jiwa insan-insan yang pernah merasainya.

    Sehubungan itu, dengan matlamat bagi terus menghidupkan budaya bedudun atau ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah semasa Hari Raya Aidilfitri seperti zaman dulu-dulu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Birau, Kebia dan Luagan Timbaran di bawah Biro Sukan dan Riadah baru-baru ini telah menganjurkan Program Sikal Syawal. Program tersebut telah disertai oleh lebih 40 orang penduduk kampung meliputi golongan warga emas, dewasa mahupun belia.

    Gambar ramai penduduk kampung yang mengikuti program anjuran MPK Birau, Kebia dan Luagan Timbaran di bawah Biro Sukan dan Riadah, baru-baru ini.
    Para peserta semasa menikmati juadah yang disediakan.
    Salah seorang peserta yang mengikuti aktiviti menunggang basikal beramai-ramai dengan memperagakan pakaian tradisi Melayu.
    Penat lelah para peserta ketika mengayuh basikal seolah-olah tidak dirasakan apabila mereka mengenang kembali kemanisan beraya sambil berbasikal beramai-ramai seperti yang mereka lakukan pada zaman dahulu.

    Hadir selaku tetamu kehormat yang turut menyertai kayuhan basikal dalam program berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Semasa berkesempatan ditemui penulis, Pemangku Ketua Kampung Birau, Kebia dan Luagan Timbaran, Awang Masburah bin Suhaile menjelaskan program berkonsepkan riadah berbasikal berkumpulan itu merupakan salah satu program kerjasama tahunan yang kini dilaksanakan buat kali ke-4.

    Menurut Awang Masburah, budaya beraya sambil mengayuh basikal sememangnya suatu perkara yang jarang dipraktikkan pada masa ini lebih-lebih lagi dalam kehidupan masyarakat yang semakin moden yang lebih selesa memandu kereta masing-masing untuk menuju ke suatu tempat.

    Jadi, pelaksanaan program ini adalah selari dengan temanya iaitu ‘Menghargai Kesihatan Jasmani dan Keharmonian Sosial’.

    “Oleh kerana itu, kami berasa terpanggil untuk terus melaksanakan program ini agar generasi kita pada masa sekarang dapat merasai suasana kemeriahan berhari raya orang dulu-dulu. Cukup meriah sambil menunggang basikal beramai-ramai dengan memperagakan apa sahaja jenis pakaian tradisi Melayu. Setiap rumah yang dikunjungi pula menampilkan variasi juadah dan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah,” tambahnya.

    “Meskipun terasa lelah dengan pancaran panas terik matahari ketika mengayuh basikal, namun hakikatnya kemanisan tersebut begitu terasa dengan adanya konsep bedudun dari satu rumah ke satu rumah sehingga mampu mengeratkan lagi nilai-nilai kekeluargaan, persaudaraan, mahupun persahabatan antara ketiga-tiga buah kampung yang terlibat,” jelasnya.

    Dalam program tersebut, enam buah tempat telah dijadikan sebagai perhentian utama di mana kayuhan berkenaan bermula dari Kampung Luangan Timbaran dan berakhir di Kampung Birau.

    “Melalui program ini, kami dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian di samping menyemai keharmonian dalam bermasyarakat.

    “Bedudun dari sebuah kampung ke kampung yang lain juga mampu mendidik kita untuk terus memelihara keindahan kawasan kampung di mana asal usul tempat kita dilahirkan. Hal ini begitu penting kerana jika bukan kita yang menjaganya, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Inilah tanggungjawab bersama untuk terus memartabatkan kampung halaman warisan perindungan yang terlebih dahulu meninggalkan kita,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...