Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Teknik paling asas untuk lure

    Oleh Raz AS

    Selain menggunakan umpan konvensional, hidup atau mati, umpan tiruan atau lure tidak dinafikan sangat mujarab digunakan untuk memikat ikan. Namun begitu ia memerlukan sedikit kemahiran, yang sangat senang untuk dipelajari, agar persembahannya kelihatan hidup atau natural supaya ikan tertipu.

    Kebanyakan jenis lure, terutamanya jenis hardbody, selalunya direka untuk mempunyai gaya renangan dan kedalaman selamannya yang tersendiri. Akan tetapi terdapat juga yang versatil seperti softplastic, jig, sesudu dan lain-lain yang boleh digunakan pada pelbagai tahap kedalaman, kelajuan retrieve, situasi dan teknik untuk diterokai dan dicuba sendiri oleh si pemancing mengikut kreativiti masing-masing.

    Di sini penulis akan mengongsikan beberapa teknik paling asas yang boleh digunakan bersama bermacam-macam jenis lure yang memang terbukti mujarab untuk memikat pelbagai spesies ikan.

    Straight retrieve

    Teknik paling asas dan senang untuk menggayakan lure adalah dengan menggunakan teknik straight retrieve. Pemancing hanya perlu melontar lure dan ditarik kembali tanpa perlu membuat aksi tambahan. Teknik ini meniru pergerakan ikan yang sedang leka berenang, yang seterusnya menarik perhatian ikan pemangsa yang ada berdekatan untuk menyerang hendap.

    Kelajuan retrieve boleh dibuat dengan perlahan atau cepat. Sekiranya retrieve perlahan tidak membuahkan hasil, lakukan lontaran ke tempat yang sama dan lajukan retrieve sedikit demi sedikit setiap kali lontaran dilakukan.

    Selain menggunakan umpan konvensional, hidup atau mati, umpan tiruan atau lure tidak dinafikan sangat mujarab digunakan untuk memikat ikan. – Agensi
    Teknik stop & go juga dikenali sebagai teknik yo-yo kerana pergerakannya yang turun naik. – Agensi

    Stop & Go

    Teknik stop & go juga dikenali sebagai teknik yo-yo. Sekiranya lure yang digunakan adalah jenis crankbait atau minnow, ia akan menyelam sebaik sahaja retrieve dilakukan dan kembali timbul setelah berhenti. Jika menggunakan lure jenis SP, jig, atau sesudu dan seumpamanya pula, lure akan tenggelam ketika berhenti dan naik ketika digulung. Pergerakannya yang turun naik ini seakan-akan pergerakan yo-yo.

    Setelah lure dilontar, reel digulung sebanyak tiga hingga empat pusingan kemudian berhenti beberapa saat sebelum gulungan dilakukan kembali.

    Selalunya lure akan disambar ketika berhenti atau sebaik sahaja ia kembali bergerak. Oleh itu pemancing perlulah sentiasa peka melihat jika tali dilarikan ketika umpan jatuh ke dasar atau timbul atau seakan-akan tersangkut ketika cuba melakukan gulungan. Tidak terhad untuk lure menyelam, teknik ini juga boleh diaplikasikan untuk lure aksi permukaan.

    Twitching & Jerking

    Teknik twitching & jerking bukan hanya untuk digunakan bersama lure jenis minnow atau jerkbait, bahkan juga sesuai digunakan bersama lure aksi permukaan seperti popper, pensil, mahupun jenis SP, jig dan sesudu. Teknik yang memerlukan pemancing untuk menghenjut atau menjentikkan hujung joran ketika melakukan retrieve ini untuk menyerupai anak ikan melarikan diri atau anak ikan yang tercedera.

    Teknik ini bukan sahaja membolehkan pemancing untuk meneroka padang pancing dengan cepat bahkan ia juga sangat berkesan untuk memikat ikan yang sedang aktif mencari makan dan menimbulkan naluri pemangsanya.

    Seretan dasar

    Teknik seretan dasar merupakan salah satu teknik yang menjadi kegemaran penulis kerana ia sangat berkesan untuk memerangkap ikan yang malas dan kurang aktif menyambar umpan. Teknik ini memerlukan lure sentiasa menyentuh bahagian dasar ketika retrieve dilakukan, oleh itu ia hanya terhad untuk lure jenis tenggelam, selaman dalam atau di kawasan cetek sahaja.

    Dengan menyeret lure di sepanjang dasar akan menyebabkan pasir dan tanah ‘berterbangan’ yang bukan sahaja menyerupai anak ikan mencari makan bahkan turut menarik perhatian ikan yang sedang bersembunyi atau duduk diam. Teknik ini boleh dilakukan dengan retrieve secara terus atau sekali-sekala berhenti seketika.

    Sangat disarankan juga untuk menggunakan jenis lure yang ‘kalis sangkut’ agar mengurangkan risiko ia tersangkut pada struktur dan tumbuhan yang terdapat di bahagian dasar.

    Demikian itu adalah beberapa teknik yang paling asas yang sesuai digunakan bersama kebanyakan jenis lure yang ada. Meskipun begitu seperti yang penulis katakan, banyak lagi cara dan teknik untuk diterokai yang semuanya bergantung pada kreativiti masing-masing.

    Selagi mana ia membuahkan hasil, tidak kira seberapa aneh persembahan yang awda berikan tidak ada cara yang betul atau salah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...