Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Teknologi led bantu pokok membesar, kawal iklim

    DUNDEE, UNITED KINGDOM – Dikelilingi deretan anak-anak pokok yang sihat menggunakan teknologi LED terbaharu, penyelidik perhutanan Scotland Kenny Hay tidak ragu-ragu bahawa sains boleh merangsang usaha pelepasan karbon sifar di Britain.

    Talam yang mengandungi anak pokok tersusun sembilan meter tinggi di dalam institut James Hutton berdekatan Dundee di timur Scotland merupakan bukti awal untuk Hay dan penyelidik lain bahawa cahaya LED boleh digunakan untuk mempercepat pertumbuhan pokok.

    Spesimen yang ditempatkan di unit ladang vertikal di sana membesar enam kali lebih cepat berbanding penggunaan kaedah penanaman luar tradisional, menurut Perhutanan dan Tanah Scotland (FLS), agensi kerajaan yang menguruskan hutan di negara itu.

    Percubaan menanam anak pokok – dalam kerjasama dengan pakar hortikultur tertutup Intelligent Growth Solutions (IGS) – mungkin memulakan satu transformasi dalam sektor perhutanan dan membantu United Kingdom (UK) memenuhi sasaran pelepasan karbon sifar dengan lebih cepat.

    “Keputusan awal adalah menakjubkan,” beritahu Hay, pengurus di FLS, kepada AFP semasa kunjungan ke ladang vertikal, ketika seorang juruteknik mengawal mesin pengangkat untuk menilai susunan rak yang dipenuhi dengan talam anak benih.

    Pokok ditanam di ladang vertikal di Intelligent Growth Solutions di Inbergowrie berdekatan Dundee, Scotland. – AFP
    Kenny Hay mengkaji beberapa tanaman di Intelligent Growth Solutions di Invergowrie. – AFP

    Pemandangan bangunan luar Intelligent Growth Solutions di Invergoowrie. – AFP

    “Kami boleh menanam sejumlah besar pokok di kawasan yang amat kecil, yang jelasnya akan membantu dalam mengawal iklim.

    “Sekarang kami akan mengkaji dengan amat teliti tentang cara-cara bagaimana kami boleh menyepadukan kaedah ini dalam proses harian kami.”

    Projek ladang vertikal, yang menghuni ruang seluas 300 meter persegi, mempunyai ‘potensi besar’ untuk pengeluaran pokok, menurut Hay.

    Projek itu mendapati beberapa anak pokok membesar 16 hingga 20 inci tinggi dalam masa 90 hari. Kadar pembesaran yang sama akan mengambil masa 18 bulan di luar ladang.

    Udara di dalam unit adalah panas dan lembap, diselaraskan kepada suhu dan tahap kelembapan ideal untuk tanaman.

    Para penyelidik boleh menyesuaikan cahaya, kelembapan, air, suhu dan tanah supaya setiap tanaman mempunyai ‘resipi’ khasnya yang tersendiri, beritahu Dave Scott, pengasas IGS, kepada AFP.

    Air dan nutrisi dikawal menerusi komputer dan diberi kepada tanaman sebagai makanan melalui satu rangkaian paip plastik.

    Ladang vertikal beroperasi dengan kelembapan yang jauh lebih tinggi dan kurang air yang sejat menerusi transpirasi berbanding pokok yang ditanam dalam terowong politena dan rumah kaca.

    Namun Scott berkata kemajuan dalam teknologi cahaya LED dilihat sebagai faktor terbesar di sebalik hasil keputusan yang mengagumkan itu.

    Setiap spesies pokok diberikan set lampu LEDnya yang tersendiri dan unik, disesuaikan mengikut spektrum warna.

    “Dalam tempoh beberapa tahun lalu, teknologi LED telah mencecah tahap kemuncak, dengan kecekapan meningkat dua kali ganda setiap tahun,” katanya.

    Percubaan itu juga mende-dahkan komplikasi yang perlu diatasi. Beberapa anak pokok membesar pada kadar amat cepat, meninggalkan akar pokok terlalu lemah untuk bertahan angin sebaik sahaja ia ditanam di tapak semaian FLS di Elgin di kawasan tanah tinggi yang lebih terpencil di Scotland.

    FLS dan IGS kini sedang mengendalikan ujian baharu untuk memperlahankan tumbesaran untuk memastikan anak pokok mampu menghasilkan akar yang lebih kuat. Keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran untuk setiap anak pokok telah membantu penyelidik memenuhi cabaran yang timbul, menurut Scott.

    “Awda boleh meregangkan pokok tersebut, mengecilkannya, awda boleh memberikan tekanan secara sengaja untuk menjadikannya sesuai untuk dunia luar. Terdapat banyak perkara yang boleh awda lakukan,” tambahnya.

    Menurutnya, setiap percubaan menghasilkan hasil keputusan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

    FLS berhasrat menanam kira-kira 24 juta pokok baharu setahun, ketika permintaan untuk anak pokok meningkat di tengah usaha memerangi perubahan iklim.

    Namun keperluan untuk menanam pokok dengan segera juga telah menambah permintaan terhadap anak benih berkualiti tinggi, satu lagi cabaran yang berdepan sektor tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...