Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Teknologi pintar bantu kembalikan budaya berbasikal di China

    Oleh Hasnah Jusid

    BEIJING – Pada satu ketika, China pernah digelar ‘Kingdom of Bicycles’ lantaran penggunaan meluas basikal sebagai pengangkutan utama rakyatnya dalam menjalani kehidupan seharian.

    Gerombolan penunggang basikal yang jauh mengatasi bilangan kenderaan lain di jalan raya adalah pemandangan biasa di bandar-bandar besar, dan fenomena itu sering kali dirakam lensa kamera media antarabangsa apabila melaporkan berita tentang China.

    Namun imej sejak era 1960an hingga lewat 80an itu mula berubah pada 1990an apabila kerajaan China melaksanakan dasar pengeluaran automobil negara, menyaksikan penggunaan basikal di jalanan beransur ‘hilang’.

    Jika pada 1980an penggunaan basikal menguasai 64 peratus perjalanan rakyat di bandar raya ini, angka itu merosot begitu ketara kira-kira tiga dekad kemudian, iaitu hanya sekitar 17.8 peratus pada 2014 menurut Suruhanjaya Pengangkutan Perbandaran Beijing.

    Akan tetapi sejak enam tahun lepas, basikal kembali popular sebagai mod pengangkutan di negara ini susulan pelaksanaan program perkongsian basikal atau dockless bike-sharing.

    Penduduk China menggunakan basikal pergi ke tempat kerja, berjalan-jalan atau pun ke destinasi akhir selepas menggunakan keretapi bawah tanah. – Bernama
    Kelihatan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan perkongsian basikal menyusun basikal sebelum diletakkan di parkir bersesuaian. Sejak penghujung 2016, dockless bike-sharing (perkongsian basikal) telah berkembang pesat di China termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Xi’an dan Hangzhou yang menyediakan lebih 30 pengendali basikal. – Bernama

    Berkonsepkan perkongsian basikal melalui penyewaan dengan sokongan teknologi telefon pintar, khususnya bagi pembayaran mudah alih menggunakan aplikasi Alipay dan WeChat, pengangkutan dua roda itu menjadi pilihan khususnya di bandar raya ini, Shanghai, Guangzhou, Shenzen, Xi’an dan Hangzhou.

    Perkhidmatan itu ditawarkan oleh kira-kira 30 pengendali, antaranya youHello bike, Mobike dan Ofo, memastikan ribuan basikal sewa pelbagai warna tersedia di kawasan strategik tumpuan awam seperti stesen kereta api, tren bawah tanah, stesen bas dan pusat beli-belah.

    Pengalaman guna bike-sharing
    Penulis yang berada di republik ini sejak pertengahan Julai lepas juga tertarik untuk mencuba perkhidmatan itu dan merasai sendiri pengalaman berbasikal di sekitar bandar raya ini.

    Hanya muat turun aplikasi yang disediakan oleh pengendali, daftar diri dan imbas kod QR pada basikal serta aktifkan bluetooth pada telefon pintar untuk membuka kunci basikal dan anda sudah sedia untuk mengayuh. Begitu mudah.

    Menariknya aplikasi berkenaan turut menyediakan peta lokasi basikal yang boleh disewa serta caj yang dikenakan.

    Penulis menyewa basikal itu untuk perjalanan pergi balik dari kediaman di Jiangoumen di tengah-tengah bandar raya ini ke Dataran Tiananmen, iaitu sejauh kira-kira sembilan kilometer atau sejam kayuhan dan hanya dikenakan bayaran 10 yuan (RM6.47).

    Bayaran itu hanya ditolak daripada akaun pengguna selepas basikal tersebut diletak di mana-mana tapak parkir basikal sewa dan menguncinya secara manual.

    Sepanjang kayuhan tersebut, penulis dapat melihat pelbagai kemudahan disediakan untuk penunggang basikal, antaranya lorong khusus yang boleh memuatkan sebuah kereta sedan selain lampu isyarat mempunyai simbol basikal. Di samping itu, ada petugas yang berperanan mengawal dan memantau lalu lintas di lorong basikal.

    Suhu musim panas yang mencecah 35 darjah Celsius nyata tidak menghalang warga Beijing menggunakan basikal untuk ke destinasi masing-masing termasuk mereka yang berpakaian pejabat.

    Mudah, murah, kurangkan pencemaran
    “Saya belajar menggunakan basikal hanya dalam masa tiga hari ketika tiba di Beijing,” menurut rakan penulis, Ntsikelelo Que Qoyo dari Afrika Selatan yang juga peserta program yang diikuti oleh penulis di sini.

    Malah, kenyataan lelaki berusia 30 tahun itu bahawa amat sukar melihat basikal di jalan raya di negaranya membuatkan penulis terpegun seketika.

    “Saya melihat ribuan basikal di kaki lima sekitar bandar raya Beijing. Selain kos yang lebih murah, ia juga lebih cepat berbanding berjalan kaki.

    “Saya tidak perlu beli basikal, cukup dengan menyewanya apabila perlu dan segala rekod penggunaan dan perjalanan serta caj dikenakan boleh dilihat semula dalam aplikasi,” kata Qoyo.

    Bagi Syukri Azmi, rakyat Malaysia yang sudah lima tahun menetap di ibu negara China ini, basikal dan pengangkutan awam menjadi pilihannya untuk bergerak di sekitar kota raya ini.

    “Saya lebih selesa menggunakan basikal atau subway (tren bawah tanah) di sini berbanding membeli kereta, kerana pengangkutan awam lebih mudah, murah dan cepat,” katanya.

    Selain itu, perkongsian basikal juga merupakan antara usaha China mengurangkan pelepasan karbon ke udara, seiring dengan ikrarnya untuk mencapai neutral karbon menjelang 2060 yang diumumkan oleh Presiden Xi Jinping semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September 2020.

    “Berbanding kira-kira empat tahun dulu, saya dapati kualiti udara di Beijing ketika ini lebih baik,” kata seorang lagi rakan penulis, Vincent Cheong Jia Wei.

    Dasar kerajaan China
    Dalam usaha menggalakkan penggunaan basikal, kerajaan China giat melaksanakan pembangunan infrastruktur yang memenuhi keperluan penunggang basikal di bandar-bandarnya sejak beberapa tahun lepas.

    Pada Februari 2017, lebuh raya basikal pertama China, dikenali sebagai Xiamen Bicycle Skyway di Xiamen, sepanjang 7.6 kilometer, siap dibina. Di Beijing pula, kerajaan membina lebuh raya yang menghubungkan kawasan petempatan Huilongguan di Changping dengan zon perindustrian berteknologi tinggi di daerah Haidian, sejauh 6.5 kilometer.

    Pada Mei lepas, media China, CGTN melaporkan UNGA menerima pakai resolusi menyokong penggunaan basikal dalam usaha memerangi perubahan iklim. Kesemua 193 negara anggota PBB sebulat suara meluluskan resolusi yang dicadangkan oleh Turkmenistan itu.

    Keputusan itu dicapai di tengah-tengah pengiktirafan meluas terhadap dasar perkongsian basikal awam China dalam menangani masalah pencemaran udara dan menyumbang kepada pembangunan mampan.

    Bagaimanapun ada isu lain yang timbul di sebalik kejayaan dasar tersebut, iaitu masalah lambakan basikal. Susulan itu, Beijing akan mengehadkan bilangan basikal kongsi di enam bandarnya kepada 800,000 unit tahun ini, memetik kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Perbandaran Beijing baru-baru ini.

    Kegagalan Obike di Malaysia
    Usaha China menghidupkan kembali budaya berbasikal mengingatkan penulis kepada cubaan membudayakan aktiviti serupa di Malaysia pada 2017.

    Bagaimanapun usaha oBike, sebuah syarikat swasta berpangkalan di Singapura itu yang menggunakan kaedah hampir sama dengan China, menemui kegagalan walaupun mendapat sambutan menggalakkan pada peringkat awal.

    Usaha murni untuk mengurangkan pelepasan karbon selain menggalakkan gaya hidup sihat itu tidak dapat bertahan disebabkan beberapa faktor termasuk vandalisme apabila basikal dirosakkan, dicuri dan tidak diletakkan di tapak yang sepatutnya, selain kekurangan infrastruktur seperti laluan basikal yang selamat.

    Bukan itu sahaja, terdapat juga aduan pengguna mendakwa deposit mereka tidak dikembalikan selepas memulangkan basikal selain aplikasi dikatakan tidak mesra pengguna.

    Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai usaha dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggalakkan budaya berbasikal di ibu negara, khasnya bagi merealisasikan Dasar Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030. Namun hingga kini penulis melihat usaha itu tidak mencapai matlamat yang disasarkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...