Sunday, April 28, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Terpesona keindahan negeri di Bawah Bayu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Momen paling sukar dilupa, itulah yang dapat digambarkan apabila mengenang perjalanan ke Negeri di Bawah Bayu, Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia, baru-baru ini.

    Dengan kawasan yang menjangkau 72,500 kilometer persegi, Sabah dipenuhi dengan pantai yang dikelilingi oleh Laut China Selatan di bahagian barat; Laut Sulu di bahagian timur laut; dan Laut Celebes di bahagian timur, sehingga meletakkan negeri itu di bahagian paling utara Pulau Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di dunia.

    Meskipun sudah pulang ke tanah air namun gambaran suasana penerokaan ke Kota Kinabalu, termasuk Kudat dan Kota Belud, Sabah baru-baru ini, masih bermain-main di benak dan jiwa penulis yang pastinya akan dikenang selamanya.

    Lawatan kendalian Tourism Malaysia Brunei Darussalam dengan kerjasama Sabah Tourism Board, bermula dari 24 hingga 27 November lalu telah diketuai oleh Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Latifah binti Dato Haji Ismail bersama Eksekutif Pemasaran, Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Pengiran Haji Noorazemy bin Pengiran Haji Othman selaku pegawai projek bagi lawatan rombongan tersebut.

    Perjalanan semakin ‘hidup’ apabila penulis turut didampingi oleh insan-insan berjiwa jelajah dari agensi media dan pelancongan tempatan terdiri daripada Rozman, Sharon, Hana, Zarif, Chai, Sim dan Bryan.

    Penulis dan rakan rombongan semasa berada di Rumah Terbalik, Sabah.
    Aktiviti yang ditunggu-tunggu penulis iaitu menyaksikan terumbu karang yang menakjubkan secara langsung di lautan dan hidupan marin tropika melalui pengembaraan berjalan dalam laut.
    Rakam kenangan di Tambatuon Eco-Tourism, Kota Belud.

    Perjalanan penulis bersama rombongan seawal jam 8:30 pagi dari Brunei mengambil masa lebih lima jam menggunakan laluan darat merentas Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) dan Pos Kawalan Imigresen Labu, Daerah Temburong​ dan Mengkalap Customs, Immigration and Quarantine (CIQ), Lawas, Sarawak.

    Sebelum tiba di bandar raya Kota Kinabalu, kami singgah menikmati salah satu hidangan sate istimewa di Gerai Makan C.Jali-Jali yang merupakan salah satu gerai makanan di Gerai Sate Esplanad Sipitang sambil merasai nikmatnya hembusan angin laut.

    Seterusnya kami tiba dan melawat sebuah hotel diberi nafas baharu, Hyatt Centric Kota Kinabalu yang terletak di tengah-tengah bandar tersebut.

    Menjejaki daerah paling utara

    Menjelang hari kedua berada di Kota Kinabalu, setelah menginap di The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, penulis bersama rombongan mula menuju ke sebuah daerah paling utara di Sabah, iaitu Kudat.

    Daerah ini terkenal sebagai hab makanan laut bagi para pencinta makanan laut, antaranya Kafe Abang J, Kampung Nelayan Kudat. Setiap sentuhan masakan merupakan hasil daripada tangkapan nelayan tempatan yang berlabuh di sekitar perairan kafe tersebut.

    Umpama sebutir mutiara yang akan terserlah kecantikannya, begitulah yang mampu diungkapkan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Kudat. Kami begitu terpegun dengan keindahan daerah berkenaan terutama pantainya yang berpasir putih dan halus.

    Antara yang cukup sinonim dengan Kudat ialah Tanjung Simpang Mengayau atau Tips of Borneo yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Pekan Kudat. Tidak lengkap ke Kudat sekiranya tidak sampai ke titik paling hujung kepulauan Borneo yang turut dikenali sebagai ‘Tanduk Negeri Sabah’.

    Dengan menyaksikan matahari terbenam dari atas bukit berlatarkan pertemuan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu yang membiru, pastinya mampu membuatkan semua pengunjung terpaku dengan keindahannya.

    Namun kini tempat istimewa yang memiliki nilai sejarah itu tidak dibuka kepada kunjungan awam disebabkan masih dalam proses pelaksanaan projek kerajaan yang dijangka siap sekitar Jun 2023 nanti.

    Sebagai pilihan menarik, para pengunjung yang ingin menerokai kawasan Tanjung Simpang Mengayau, bolehlah menetap di Tommy’s Place sebagai salah sebuah inap desa yang menghala kawasan Pantai Kalampunian dihiasi dengan pokok-pokok tinggi.

    Beberapa pakej pelancongan sehari boleh didapati di Kudat antaranya Pembuatan Gong Kampung Sumangkap dan Ladang Madu Lebah Kampung Gombizau.

    Walai Tobilung yang terletak di Kampung Minansad, Kota Marudu yang juga sebahagian daripada Kudat merupakan satu lagi tarikan yang boleh dikunjungi, ia menawarkan pengalaman menerokai rumah tradisi Dusun Tobilung merangkumi nilai-nilai sejarah, kebudayaan dan tradisi sekali gus monumen yang melambangkan kewujudan Tobilung di dunia khususnya Borneo Utara, Sabah.

    Keaslian Kota Belud sungguh memukau

    Setelah bersarapan di Kudat Golf and Marina Resort, penulis dan rombongan pun meneruskan misi lawatan ke Kota Belud. Meskipun perjalanan diredah begitu lama, namun ia ternyata tidak mengecewakan setiba kami di beberapa tempat pelancongan berasaskan komuniti di Kota Belud.

    Antaranya, Polumpung Melangkap View Camp Site dan Tambatuon Eco-Tourism.

    Tidak ketinggalan juga kenangan rombongan ketika melawat Usukan Cove Lodge yang merupakan sebuah homestay bagi mereka yang ingin menerokai Pulau Pandan-Pandan di Kota Belud.

    Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di tempat tersebut, antaranya ialah berkhemah, bermandi-manda di sungai dan sebagainya.

    Paling menakjubkan, awda dapat melihat keindahan puncak Gunung Kinabalu dan Anak Kinabalu yang sangat indah di tempat-tempat menarik berkenaan yang sungguh luar biasa dengan terserlahnya alam semula jadi seperti aliran sungai yang begitu cantikdi sekitarnya serta tarikan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

    Pengembaraan Sea Walking

    Terdahulu, penulis bersama rombongan yang menggunakan pengangkutan bas pelancongan sepanjang lawatan di Sabah di bawah kendalian Inno Travel and Tour Services turut berkesempatan mengunjungi Jambatan Gantung Tamparuli sepanjang 200 meter yangmenjadi mercu tanda ikonik serta kebanggaan masyarakat di Sabah yang terletak di Pekan Tamparuli, daerah Tuaran, selain Rumah Terbalik Sabah, sebelum memulakan perjalanan ke Kudat dan Kota Belud.

    Salah satu destinasi terakhir kami di Kota Kinabalu ialah menerokai pelbagai jenis aktiviti dan sukan air seperti selam snorkel, berkayak, taman water bouncer termasuklah peluang yang ditunggu-tunggu penulis iaitu menyaksikan terumbu karang yang menakjubkan secara langsung di lautan dan hidupan marin tropika dengan pengembaraan berjalan dalam laut atau sea walking di JSK Borneo Reef.

    JSK Borneo Reef terletak di Taman Laut Tunku Abdul Rahman bersebelahan dengan Pulau Gaya dan Pulau Sapi, boleh dikunjungi menggunakan bot dari Jesselton Point, Kota Kinabalu yang hanya mengambil masa kurang 30 minit.

    Meskipun masa lawatan ke Sabah ini begitu padat namun segalanya penuh keseronokan, lebih-lebih lagi sambutan penduduk Sabah yang begitu mesra. Jauh perjalanan luas pemandangan sehingga setiap detik perjalanan itu pastinya merakam memori indah tersendiri yang akan sentiasa bersemadi dalam sanubari kami sampai bila-bila.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...