Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tiga peladang terima semaian padi titih

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Tiga orang peladang padi dari Koperasi Setia Kawan (KOSEKA) Bhd yang terpilih menyertai Projek Rintis Penanaman Padi Titih telah menerima semaian padi Titih pada majlis yang berlangsung di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Peladang-peladang berkenaan ialah Lt Kol (B) Haji Jamaludin bin Ghafar; Pw1 Fsm (B) Haji Mohamad Zain bin Abdul Ghani dan S/Sjn (B) Yusrie bin Haji Latip.

    Semaian padi berkenaan telah diserahkan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyaksikan audiovisual mengenai usaha, pencapaian dan perancangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan khususnya dalam pengeluaran benih padi hibrid.

    Sempena acara penyerahan semaian padi bagi projek rintis itu, Doa Selamat turut dibacakan. Ahli Pembiakan Tumbuhan Kanan, Dayang Khairunnisa binti Haji Omar Ali ketika ditemu bual menjelaskan, padi hibrid dihasilkan melalui pencantuman lebih daripada satu varieti padi induk yang berbeza dengan ciri-ciri unggul untuk menghasilkan benih padi berkualiti tinggi, mempunyai ketahanan penyakit dan musuh tanaman yang tinggi serta mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf menyerahkan semaian padi Titih kepada salah seorang peladang pada majlis yang berlangsung di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

    Walau bagaimanapun, kelebihan itu hanya wujud bagi generasi pertama hasil pencantuman tersebut.

    Oleh yang demikian, benih perlu dikeluarkan setiap musim dan hasil keluaran daripada benih tersebut tidak boleh ditanam semula, jelasnya.

    Menurut kenyataan dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), penanaman padi menggunakan varieti padi berhasil tinggi adalah strategi utama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP dalam usaha untuk meningkatkan hasil padi sehektar.

    Beberapa varieti padi telah pun diperkenalkan sebelum ini seperti varieti padi Laila yang mempunyai purata hasil pengeluaran 3 tan metrik sehektar semusim pada 2009, kepada varieti padi BDR5 dan MRQ76 yang mempunyai purata hasil produktiviti 3 hingga 4 tan metrik sehektar semusim pada 2016. Berikutan usaha untuk terus meningkatkan produktiviti padi, pada 2018 varieti padi hibrid Sembada188 daripada PT Biogene Plantation, Republik Indonesia telah pun dikenal pasti dengan hasil purata produktiviti 5 hingga 6 tan metrik sehektar semusim dengan sistem pengairan.

    Setakat ini, varieti padi Sembada188 telah ditanam di kawasan-kawasan yang mempunyai sistem pengairan seluas 490 hektar.

    Padi Titih ialah varieti hibrid hasil projek kerjasama antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan Syarikat Sunland Agritech Pte Ltd daripada Republik Singapura yang dijangka berupaya mengeluarkan hasil purata produktiviti sebanyak 6 hingga 8 tan metrik sehektar semusim.

    Bagaimanapun, pengeluaran benih Titih mengambil masa yang panjang kerana melibatkan penggandaan benih induk terlebih dahulu sebelum proses pengacukan tanaman induk dapat dilaksanakan bagi menghasilkan benih Titih yang ditanam bagi menghasilkan beras.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...