Saturday, April 27, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Waspada strok haba

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Cuaca panas melampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kekurangan cecair dalam tubuh, justeru boleh mengakibatkan individu terbabit mudah merasa letih dan kurang bertenaga serta berisiko mengalami dehidrasi iaitu kekurangan air dalam badan dan strok haba.

    Kanak-kanak dan warga emas adalah antara golongan yang paling berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan disebabkan cuaca panas.

    Dalam hubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah penjagaan dan perlindungan diri daripada kesan akibat cuaca panas dan gelombang haba yang boleh menjejaskan kesihatan.

    Saranan dan nasihatkan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, berikutan siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi berkenaan kemungkinan fenomena El-Nino berlaku serta akan menyebabkan keadaan cuaca kering dan panas dijangka berlaku dalam beberapa bulan yang akan datang di Negara Brunei Darussalam.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyatakan, bagi mengelakkan dan mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas, kementerian berkenaan menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah seperti menangguhkan atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, maraton dan lain-lain aktiviti semasa berlakunya gelombang haba berkenaan sehingga keadaan kembali reda.

    Orang ramai dinasihatkan menangguhkan aktiviti lasak dan di luar semasa berlakunya gelombang haba.

    Jika tidak dapat dielakkan, pakailah topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.

    Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan pelindung matahari yang bersesuaian, banyak meminum air bagi mengelakkan daripada dehidrasi semasa cuaca panas, sentiasa berbekal dengan air yang dimasak atau air dalam botol dan minum secukupnya serta elak meminum minuman yang tinggi gula, mengelakkan memakai pakaian berwarna gelap, tebal dan ketat serta sebolehnya berada atau melakukan aktiviti di dalam rumah atau bangunan yang mempunyai pengudaraan yang mencukupi.

    Mereka juga dinasihatkan jangan sekali-kali duduk atau tinggalkan orang atau haiwan peliharaan di dalam kenderaan yang tertutup tanpa penyaman udara serta ketahui tanda-tanda awal strok haba dan segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan jika mengalami tanda-tanda berkenaan.

    Antara tanda-tanda strok haba termasuklah mengalami suhu badan yang tinggi, merasa pening, kurang berpeluh walaupun cuaca panas, kulit kemerahan, kering dan panas, mengalami kelemahan atau kekejangan pada otot, merasa mual dan muntah, mengalami denyutan jantung yang cepat, mengalami pernafasan yang cepat dan cetek, mengalami perubahan tingkah laku seperti kekeliruan, hilang orientasi atau kekejutan, sawan serta tidak sedarkan diri.

    Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya ketika menghadapi cuaca panas dan gelombang haba serta seterusnya akan memberikan maklumat kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan sebarang perkembangan terkini, boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau mengikuti media sosial rasmi, @mohbrunei atau menghubungi Talian Darussalam 123.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...