Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Abang Adik menang tiga trofi

    Filem tempatan yang juga naskhah ce-reka pertama arahan Jin Ong berjudul Abang Adik berjaya melakar sejarah apabila memenangi tiga anugerah utama pada Far East Film Festival ke-25 yang berlangsung di Udine, Itali antara 21 sehingga 29 April lalu.

    Abang Adik berjaya memenangi trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

    Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), ia adalah kali pertama dalam sejarah apabila filem Asia Tenggara berjaya memenangi tiga anugerah sepanjang penganjuran Far East Film Festival.

    Ong yang berpangkalan di Taiwan dan Malaysia hadir pada majlis anugerah berkenaan pada 30 April lalu untuk menerima anugerah.

    Menerusi temu bual bersama SCMP, Ong berkata, kejayaan dikecapi bersama seluruh kru produksi adalah perkara tidak disangka-sangka.

    Ong bergambar bersama anugerah pada Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali, baru-baru ini. – Agensi

    “Sejujurnya, saya sangat gembira. Saya tidak menjangkakan dapat memenangi tiga anugerah, saya fikir mungkin hanya satu.

    “Saya terima maklum balas penonton selepas tayangan, tetapi rezeki memihak apabila saya peroleh tiga trofi ini,” katanya.

    Mac lalu, Abang Adik ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37 (FIFF) yang diadakan di Switzerland berjaya memenangi dua trofi, iaitu hadiah penonton dan Anugerah Juri Ekumenikal.

    Kedua-dua anugerah berkenaan adalah pencapaian besar kerana ia diberikan kepada filem paling diterima penonton dan diadili panel juri.

    Filem Abang Adik disifatkan FIFF yang juga festival filem paling terkenal di Switzerland, sebagai kisah sedih yang terus berlarutan sehingga tamatnya filem.

    Dibarisi pelakon tempatan, Jack Tan dan pelakon Taiwan, Wu Kang-ren, Abang Adik mengisahkan dua lelaki yang tidak berdokumen dan yatim piatu.

    Mereka hidup dalam kemiskinan tidak dapat memastikan sama ada mempunyai pertalian darah ataupun tidak, tetapi saling membantu antara satu sama lain.

    Sebaik sahaja ada pihak yang membantu mendapatkan kad pengenalan, sesuatu perkara berlaku mengubah kehidupan mereka untuk menjadi adik-beradik buat selamanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...