Friday, September 30, 2022
23.3 C
Brunei

Aktiviti pertanian haram cetus kerosakan ‘jalan kampung’

-

KUALA LUMPUR – Kewujudan lebuh raya di Malaysia, khususnya di Semenanjung, menyebabkan rangkaian jalan persekutuan yang menghubungkan negeri-negeri kurang dimanfaatkan  sekalipun ia diselenggarakan dengan baik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Digelar ‘jalan lama’ atau ‘jalan kampung’ oleh pengguna, rangkaian laluan yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR)  itu sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri kerana merentasi kehijauan rimba dan bukit-bukau, sekali gus menawarkan pemanduan yang boleh menenangkan fikiran bagi yang tidak mahu terburu-buru tiba di destinasi.

Namun dewasa ini, aktiviti pertanian di tanah tinggi, khususnya yang dilakukan secara haram, menimbulkan kebimbangan KKR kerana dilihat berpotensi besar menyumbang kepada kerosakan jalan persekutuan selain mendatangkan risiko bencana tanah runtuh.

Lebih-lebih lagi penerokaan tanah dibuat sehingga menceroboh rizab jalan seperti yang ditemukan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini semasa turun padang mengetuai Jelajah FTRoadpedia  ke kawasan Timur bersama-sama media.
 
Risiko terputus hubungan

“Contohnya aktiviti pertanian haram di Lebuhraya Timur-Barat, ada ladang pertanian yang memasuki rizab jalan, sekali gus menyebabkan berlaku takungan air sehingga boleh menyebabkan runtuhan tanah atau terputus jalan,” ujarnya kepada pemberita.

Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bercakap pada sidang media Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di ibu Pejabat Kerja Raya Perak, Ipoh. – Bernama
Aktiviti pertanian di tanah tinggi, khususnya yang dilakukan secara haram, menimbulkan kebimbangan KKR kerana dilihat berpotensi besar menyumbang kepada kerosakan jalan persekutuan selain mendatangkan risiko bencana tanah runtuh. – Bernama
Laluan FT218, seksyen 24.80, Jalan Lama Bentong-Raub yang merupakan laluan utama dari Raub ke Bukit Fraser yang telah runtuh akibat hujan lebat berterusan telah digantikan dengan Jambatan Bailey – Sungai Teras (Pasca Banjir). – Bernama

Tegas beliau, aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi perlu diuruskan dengan baik termasuk ada penyelarasan, perancangan dan tindakan bersepadu, terutama apabila wujud isu pengambilan tanah tanpa kebenaran.

“(Pengambilan rizab jalan) akan menjejaskan infrastruktur (jalan) yang telah disediakan selain mendedahkan tanah yang diambil tidak mengikut standard ditetapkan (itu) kepada pelbagai risiko. Kita takut berlaku keadaan paling kritikal seperti banjir lumpur yang boleh menyebabkan jalan terputus,” kata Fadillah.

Apabila ini berlaku, banyak pihak akan terjejas khususnya pengguna jalan berkenaan termasuk petani yang mengusahakan tanah di kawasan terbabit kerana tidak dapat menghantar keluar hasil pertanian mereka. 

“Orang ramai perlu bersama-sama bertanggungjawab menjaga infrastruktur supaya kemudahan ini dalam keadaan baik dan selamat digunakan,” tambah beliau.
 
Kembali manfaatkan jalan persekutuan

Dalam pada itu, tidak mahu melihat infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan persekutuan tersebut terus kurang dimanfaatkan, Fadillah berkata promosi berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan aliran trafik di rangkaian laluan berkenaan agar ia tidak lagi sekadar menjadi jalan alternatif mengelak kesesakan pada musim perayaan.

Sepanjang jelajah dari 11 hingga 13 Ogos itu yang melibatkan perjalanan sejauh 1,105 kilometer dari ibu negara merentasi Pahang, Kelantan dan Perak, delegasi turut melawat beberapa lokasi menarik yang boleh disinggahi pengguna jalan persekutuan yang berkenaan.  

“Sebenarnya banyak kelebihan jalan persekutuan. Selain boleh melihat pemandangan indah hutan dan bukit menghijau, tersedia banyak kawasan rekreasi dan pelancongan di lokasi berhampiran.

“Apabila pengguna mahu pulang ke kampung atau ke destinasi tertentu dengan menggunakan jalan persekutuan, mereka juga mungkin boleh berhenti sekejap atau bermalam di kawasan pelancongan.

“Contohnya, laluan FT218 Seksyen 24.80 Jalan Lama Bentong-Raub, jalan utama dari Raub ke Bukit Fraser yang merupakan kawasan pelancongan menarik,” katanya.

Di samping itu, dengan melalui Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di daerah Kinta, Perak pula,  pengguna jalan persekutuan boleh berkunjung ke lokasi peranginan dingin di Cameron Highlands, Pahang yang popular dengan ladang teh dan strawberi.
 
Giatkan ekonomi penduduk setempat  

Usaha KKR mempromosikan jalan persekutuan adalah bersifat serampang dua mata, iaitu diharapkan dapat turut menggiatkan ekonomi masyarakat setempat.

“Selalunya bila tiba musim perayaan,  pengguna lebuh raya akan memilih jalan persekutuan, (misalnya)  dari  Kuala Lumpur untuk ke Raub dengan menggunakan jalan  Bentong-Raub bagi mengelakkan kesesakan jalan.

“Dengan melalui jalan ini, mereka (pengguna lebuh raya) boleh singgah (di mana-mana) deretan kedai yang ada di Bentong untuk makan dan sebagainya, sementara bagi penduduk setempat pula, jalan ini (Bentong-Raub) dijadikan sebagai laluan utama untuk menjual produk hasil pertanian mereka,” katanya.

Melalui jaringan jalan raya yang baik, manfaat pembangunan akan turut sama dinikmati daerah lain termasuk di Pahang Barat iaitu Lipis dan Jerantut.

Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan usahawan tani, bukan sahaja pengusaha durian Musang King yang kini merupakan ikon produk pertanian daerah Raub, tetapi juga tanaman komoditi seperti kelapa sawit.  

Semasa jelajah itu, peserta juga dibawa melawat sebuah jambatan Bailey di laluan Bentong-Raub, iaitu jambatan sementara menggantikan jambatan yang runtuh akibat kejadian hujan lebat pada 22 Februari lepas.

Jambatan itu dipasang bermula 24 Februari dan siap tiga hari kemudian. Permohonan untuk pembinaan jambatan kekal telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dengan anggaran kos RM10 juta.

Sementara itu, Penghulu Mukim Tras Wan Amir Hamzah Wan Ishak, 45, berkata jambatan berkapasiti 30 tan tersebut membolehkan penduduk ke pekan Raub dalam masa yang singkat.

“Di sini ada enam kampung Orang Asli selain dua kampung Melayu dan tiga kampung Cina.
“Kita gunakan jambatan ini sebagai jalan pintas, sebab jika hendak  ke pekan Raub untuk menjual produk pertanian atau beli barang keperluan akan mengambil masa satu jam setengah sebab kena ikut jalan ke Bentong, tetapi melalui jambatan ini hanya 15 minit sahaja.

“Kita berterima kasih juga kepada kerajaan Persekutuan dan KKR yang prihatin untuk menyelenggarakan jalan-jalan persekutuan termasuk membina jambatan bagi kemudahan penduduk di sini,” katanya.

Jalan persekutuan merupakan rangkaian jalan utama di Malaysia mengikut Akta Fungsi Menteri 1969 yang memberi tanggungjawab kepada KKR merancang, membina dan mengekalkan semua jalan persekutuan – sepanjang 17,830 km termasuk di Sabah dan Sarawak – di bawah Akta Jalan Persekutuan 195).

Namun, semenjak wujudnya lebuh raya di Malaysia pada 1970an, aliran trafik di jalan-jalan persekutuan semakin berkurang, khususnya dalam kalangan pengguna bermusim. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -