Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Bagaikan mimpi terbang di langit

    ALBUQUERQUE – Beratus-ratus belon udara panas berlepas pada pagi Sabtu, menandakan bermulanya pesta tahunan yang telah menarik juruterbang dan penonton dari seluruh dunia ke padang pasir New Mexico untuk 50 tahun sekarang.

    Sebagai salah satu acara yang paling banyak digambar di dunia, Pesta Belon Antarabangsa Albuquerque telah menjadi penjana ekonomi untuk bandar terbesar negeri itu dan peluang unik serta berwarna-warni bagi penggemar berada dekat di antara satu sama lain kerana belon gergasi itu tidak sesak dan menggembung apabila diisi udara.

    Tiga daripada juruterbang yang mengambil bahagian dalam pesta pertama pada 1972 dan ahli keluarga juruterbang lain adalah antara peserta pada acara tahun ini.

    Pada tahun itu, 13 belon dilancarkan dari kawasan terbuka berhampiran sebuah pusat membeli-belah di pinggir Albuquerque. Sejak itu, ia telah berkembang menjadi acara bernilai berjuta dolar.

    Juruterbang Gene Dennis, 78, masih terkenangkan ribut salji yang hampir menyebabkannya terlepas pesta pertama tersebut.

    Nicole Tagart, pegawai pelancaran dengan Pesta Belon Antarabangsa Albuquerque, mengisyaratkan pelepasan belon di Albuquerque. – AP
    Api daripada penunu gas membantu mengembungkan belon udara panas sebagai sebahagian daripada pelancaran Pesta Belon Antarabangsa Albuquerque di Pusat Coronado di Albuquerque, New Mexico. – AP
    Denise Wiederkehr McDonald (kiri) bersedia untuk menaiki belon udara panas. – AP
    Brian Keown, menaiki belon Adventure 6 dari Marina Del Rey, California, bersedia untuk berlepas pada Pesta Belon Antarabangsa Albuquerque. – AP

    Dia terpaksa mengatur semula pelan penerbangannya dari Michigan supaya dia boleh sampai ke Albuquerque tepat pada masanya untuk menghadiri pesta berkenaan.

    Cuaca adalah amat baik apabila dia tiba di New Mexico, kata Dennis, yang terbang dengan menggunakan nama alias ‘Kapten Phairweather.’

    Dia dipetik sebagai berkata pada masa itu bahawa dia telah membawa cuaca baik bersamanya.

    Dia berada dalam situasi sukar sekali lagi, ketika juruterbang berharap ramalan untuk pembukaan pesta pada hujung minggu adalah baik.

    “Melepaskan belon tinggi ke udara boleh menjadi satu ketagihan,” ujar Dennis, menggambarkan dirinya berada tinggi di atas bagaikan terbuai-buai dalam mimpi, dengan tenang memerhatikan kawasan desa di bawah.

    Tahun ini akan menandakan kali pertama Roman Muller terbang dalam pesta.

    Dia akan mengemudi belon berbentuk khas yang mengikut model chalet di atas kereta geluncur Swiss yang terkenal.

    Salah satu impiannya adalah terbang di atas Rio Grande dan mencecah paras amat rendah sehingga dia boleh mencondongkan gondola ke dalam sungai.

    “Inilah rancangan saya,” katanya, dengan senyuman lebar terukir di wajahnya sementara mengakui bukan senang untuk menerbangkan belon.

    Satu perkara yang dapat membantu, menurutnya, adalah fenomena yang dikenali sebagai kotak Albuquerque – iaitu apabila angin bertiup dari arah bertentangan pada ketinggian yang berbeza, membenarkan juruterbang yang mahir membawa belon kembali berdekatan dengan tapak di mana ia berlepas.

    Dennis berkata ia mengambil masa beberapa tahun menganjurkan pesta untuk membolehkannya mengetahui pola angin yang membenarkan belon kekal dekat dengan padang pelancaran, sekali gus memberikan penonton pemandangan yang menakjubkan.

    Puluhan ribu orang mengerumuni padang pada Sabtu, teruja ketika mereka menikmati acara tersebut.

    Denise Wiederkehr McDonald merupakan seorang penumpang dalam belon bapanya semasa pesta pertama. Dia mengadakan perjalanan dari Colorado untuk mengambil bahagian dalam pelancaran semula penerbangan 1972 pada Jumaat.

    Bapanya, Matt Wiederkehr, adalah salah seorang daripada 10 juruterbang belon udara panas di Amerika Syarikat (AS) dan memegang beberapa rekod dunia untuk jarak dan tempoh masa serta membina perniagaan periklanan yang berjaya bersama belonnya.

    Wiederkehr McDonald, yang mencatat rekod penerbangan belonnya sendiri sebelum menjadi juruterbang penerbangan komersial, kelihatan memakai salah satu jaket belon pudar milik bapanya dan memegang potongan kadbod diri bapanya ketika belon yang dinaikinya berlepas ke udara.

    Dia mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya yang dipenuhi dengan pengalaman tertumpu pada penerbangan belon.

    “Saya masih ingat kali pertama menaiki belon bersama mereka yang berdiri dan berlepas naik di atas dan tidak dapat melihat langit disebabkan semuanya adalah fabrik berwarna-warni.

    “Dan satu lagi perkara menarik adalah belon pertama bercahaya pada waktu malam. Sungguh menyeronokkan,” katanya.

    “Terdapat banyak perkara yang menakjubkan yang tidak diberi tumpuan saya pada masa itu tetapi apabila saya merenung kembali, saya mula menghargainya sekarang.”

    Pesta itu telah berkembang untuk memasukkan beberapa profesional belon Eropah. Lebih daripada 20 negara diwakili pada tahun ini, termasuk Switzerland, Australia, Brazil, Croatia, Mexico dan Ukraine.

    Ia juga berfungsi sebagai tempat pelancaran untuk Perlumbaan Belon Gas Cabaran Amerika, salah satu perlumbaan jarak unggul untuk belon gas di dunia. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...