Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    e-Beca lebih praktikal

    KUALA TERENGGANU – Inovasi Beca Terengganu (e-Beca) dilihat lebih praktikal dan memudahkan pengayuh beca susulan penggunaan tenaga solar untuk menggerakkannya tanpa perlu banyak kayuhan.

    Pengayuh beca Abdullah Muhammad, 64, berkata inovasi daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu merupakan suatu keperluan, berikutan industri beca kini dilihat kurang mendapat sambutan meskipun Malaysia semakin pulih daripada penularan COVID.

    Mesra disapa Pak Lah, beliau berkata beca yang dahulunya hanya dihiasi motif berwarna-warni kini mempunyai paparan skrin LED, sistem audio berkualiti dan panel solar bagi menjana kuasa bateri.

    Beliau yang mengayuh beca sejak 1980an berkata pernah membawa pelancong luar negara hampir 10km iaitu dari sebuah hotel di sekitar Dataran Shahbandar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus.

    “Dengan e-Beca kerja akan menjadi senang, pengunjung nak pergi ke mana semua kita boleh pergi. Kalau kebiasaan kena kayuh satu jam ke dua jam untuk sampai, sekarang dah tak risau, pagi petang semua boleh pergi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran e-Beca oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim di Dataran Shahbandar di sini.

    Datuk Ahmad Amzad Hashim (kiri) mencuba produk inovasi beca elektrik (e-BECA). – Bernama
    Mansor Mamat menunjukkan tanda bagus semasa mencuba produk inovasi beca elektrik (e-BECA) yang dihasilkan oleh UTeM pada majlis pelancaran e-BECA sempena Jelajah AKM di Dataran Shahbandar, baru-baru ini. – Bernama

    Pelancaran tersebut adalah sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus.

    Sementara itu, seorang lagi pengayuh beca Mansor Mamat, 66, menyifatkan e-Beca sebagai pendekatan baharu yang sangat baik dalam memenuhi selera golongan muda.

    “Sekarang nak dapat pengunjung naik beca pun sukar walaupun ketika musim cuti sekolah, anak muda sekarang suka benda baharu begini,” katanya yang telah melakukan pekerjaan itu sejak 1970an.

    Pengunjung AKM dari Teluk Intan, Perak, Saiful Nizam Abd Manaf, 32, berkata e-Beca merupakan sesuatu yang belum pernah didengarinya dan beliau teruja untuk merasai sendiri pengalaman menaiki pengangkutan itu.

    “Teringin juga untuk naik dan bawa anak-anak pusing di sekitar kawasan pelancongan di Terengganu nanti,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Terdahulu, MOSTI melancarkan e-Beca bagi merancakkan industri beca di negeri ini selain membuka lebih banyak ruang menjana pendapatan khususnya untuk golongan B40. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...