Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Hadiah: boleh menjadi rasuah

    Sambungan minggu lalu

    Bila hadiah boleh bertukar menjadi rasuah?

    Adakalanya terdapat keadaan yang menyebabkan memberi hadiah menjadi haram dan dianggap sebagai rasuah. Perkara ini dapat dilihat seperti berikut:

    1) Hadiah bagi pemberi dan rasuah bagi penerima

    Memberi hadiah kepada orang yang zalim dengan tujuan menyelamatkan dirinya dari kezaliman orang tersebut.

    Dalam hal ini, hadiah yang diberi kepada orang yang zalim itu adalah halal dan bukan dikira sebagai rasuah kerana dalam keadaan darurat.

    Manakala bagi penerima pula haram dia mengambil hadiah yang diberikan kepadanya bagi menutup kezaliman yang dilakukannya.

    Hadiah yang diterimanya itu dikira sebagai rasuah kerana menerima pemberian dengan cara zalim dan bukan pada jalan yang hak.

    Hadiah boleh menjadi rasuah apabila hadiah yang diberikan itu mengandungi sebarang hajat, dari itu berhati-hatilah apabila hendak memberi atau menerima sebarang hadiah. – Agensi

    2) Hadiah adalah rasuah bagi pemberi dan penerima

    Antara contoh dalam hal ini ialah hadiah yang diberikan kepada qadhi atau hakim untuk menghukum dengan batil atau untuk menyampaikan sesuatu yang dia tidak berhak.

    Oleh itu, pemberi dan penerima berdosa kerana hadiah tersebut merupakan rasuah walaupun pada zahirnya dilihat sebagai hadiah atau pemberian.

    Rasuah tidaklah terhad hanya berlaku kepada qadhi dan hakim sahaja. Rasuah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang memberi hadiah dengan tujuan yang terselit di sebalik pemberian itu supaya hajatnya dapat ditunaikan.

    Termasuklah pemberian hadiah untuk meluluskan sebarang permohonan, sama ada dalam sektor kerajaan ataupun swasta.

    Sebagai contoh memberi hadiah kepada seorang pegawai kerajaan yang khusus menguruskan proses pengambilan pekerja baru.

    Dengan pemberiannya itu dia berharap supaya peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan itu cerah. Pemberian hadiah seumpama ini jelas berbentuk rasuah.

    Dalam perkara ini, Ibn Mas‘ud r.a. berkata bahawa orang yang memberi hadiah kepada seseorang yang dapat menunaikan hajatnya lalu diterimanya hadiah itu adalah as-suht (haram).

    Memberikan hadiah dengan maksud atau tujuan agar hajat dipenuhi adalah ia seperti riba, kerana mengambil hadiah dengan cara begitu menghilangkan pahala pemberian, sebagaimana mengambil riba menghilangkan kehalalan.

    Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a. yang maksudnya:

    Sesiapa yang membantu saudaranya dengan satu bantuan.

    Kemudian dia diberi hadiah atas bantuannya itu lalu diterimanya, maka dia telah mendatangi satu pintu besar daripada pintu-pintu riba. (Hadis riwayat Abu Daud)

    Ancaman laknat kepada pelaku rasuah

    Larangan melakukan rasuah jelas disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Bahkan Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan RasulNya melaknat orang yang melakukan rasuah kerana rasuah adalah termasuk dalam perkara memakan harta dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil daripada al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    “Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bathil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

    Manakala dalam beberapa buah hadits, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melaknat atau mengutuk orang yang memberi dan menerima rasuah. Antaranya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr r,a,, Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Laknat Allah adalah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Hadis riwayat Ibn Majah)

    Dalam riwayat yang lain Abu Hurairah r.a. berkata yang maksudnya:

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Bukan setakat itu saja, bahkan laknat ini juga berlaku ke atas orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut sama ada dia sebagai utusan daripada pihak penerima ataupun utusan daripada pihak pemberi sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban r.a. yang maksudnya:

    Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yakni yang menjadi penghubung antara keduanya. (Hadis riwayat Ahmad)

    Namun begitu, jika pengantara rasuah itu sebagai utusan daripada pihak pemberi, mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk kepada tujuan pemberi rasuah.

    Jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat manakala jika tujuannya jahat, maka pengantara itu akan dilaknat juga.

    Ketahuilah bahawa orang yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak.

    Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar r.a. yang maksudnya:

    Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka. (Hadis riwayat ath-Thabarani)

    Maka jelaslah bahawa hadiah boleh menjadi rasuah apabila hadiah yang diberikan itu mengandungi sebarang hajat.

    Dari itu, berhati-hatilah apabila hendak memberi atau menerima sebarang hadiah.

    Jika hadiah itu terselit perkara yang berunsur rasuah hendaklah dihindarkan sama ada sebagai pemberi atau penerima.

    Dengan demikian kita akan terselamat dari dilaknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya kerana sesiapa yang dilaknat itu akan terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala sehingga tidak ada sesiapapun yang boleh menolongnya sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam al-Qur’an yang tafsirnya:

    Dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah maka engkau sekali-kali tidak akan mendapat penolong baginya. (Surah an-Nisa’: 52)

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...