Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Jadikan kejayaan sebagai pendukung Wawasan Negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sebuah kejayaan itu sukar untuk diukur sepenuhnya dengan pencapaian akademik semata-mata.

    Apa yang pasti bagaimana pembawaan diri kita terhadap sesuatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu memainkan peranan terbesar untuk menentukan prestasi masing-masing pada akhirnya.

    Itulah antara prinsip diamalkan oleh salah seorang pelajar penerima Anugerah Aktiviti Pengayaan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-8, Dayangku Noor Amal Shahanna Raihani binti Pengiran Noor A’malluddin Shah, semasa berkesempatan ditemui penulis di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Beliau yang menerima sijil Diploma Tahap 5 dalam Pengurusan Sumber Manusia di bawah Sekolah Perdagangan, PB pada majlis berkenaan turut menekankan bahawa apa pun yang dilakukan nilai kemahiran kepimpinan yang tinggi itu perlu ada dalam diri seseorang dan ia begitu penting untuk diterokai tidak kiralah sebagai seorang pelajar mahu pun pekerja.

    Menurutnya dari situlah ia mampu bangkit mencapai segala cita-cita di samping jangan berhenti menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan dari semasa ke semasa.

    Dayangku Noor Amal Shahanna Raihani semasa ditemui penulis selepas majlis konvokesyen berkenaan.
    Awang Muhammad Zakwan mejelaskan kejayaan yang diperoleh itu sebagai satu motivasi dan titik permulaan untuk lebih bersiap siaga.
    Awangku Ammar Hazim menyarankan kepada para pelajar untuk sentiasa memperbetulkan niat dan menimba ilmu dengan penuh keikhlasan demi meraih keberkatan dalam pembelajaran.
    Dayang Nurul Hasyimah mengatakan penerus legasi negara mempunyai tanggungjawab yang amat besar untuk memajukan negara.
    Dayang Nurun Hamizah salah seorang penerima sijil Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Perbidanan), PB.

    Kejayaan sebagai titik permulaan

    Bagi salah seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik pada majlis berkenaan, Awang Muhammad Zakwan bin Haji Zunaidi menjadikan genggaman kejayaan yang diperoleh itu sebagai satu motivasi dan titik permulaan untuk lebih bersiap sedia menerokai sebuah perjalanan panjang yang berliku pada masa yang akan datang.

    Beliau selaku pemegang sijil Diploma Tahap 5 dalam Digital Media di bawah Sekolah Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), PB, menjelaskan selama pengajian tiga tahun di kolej berkenaan turut menambah ilmu dan kemahiran dalam diri beliau yang dihasratkan dapat menyumbangkan tenaga, idea dan kemahiran dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, membantu mempertingkatkan kualiti pendidikan dan kehidupan rakyat dan penduduk tanah air ini agar lebih dikenali di persada dunia khususnya dalam bidang pendigitalan.

    Dengan kemahiran yang beliau peroleh bersama rakan-rakan seperjuangan, antaranya menggunakan software dan hardware dalam penghasilan video, foto, animasi, reka grafik dan animasi 3D iaitu salah satu projek tahun akhir berkumpulan telah berjaya dihasilkan berkisar kesedaran perkhidmatan awam mengenai topik keselamatan jalan raya dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB).

    Video itu bermatlamat mendidik orang ramai tentang peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya, serta memperkasakan nilai tanggungjawab bersama bagi semua pengguna jalan raya sekali gus membantu mengurangkan kemalangan jalan raya.

    Tanggungjawab bermula dari sekarang

    Manakala seorang pelajar penerima sijil Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di bawah Sekolah Sains dan Kejuruteraan, PB, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik pada majlis konvokesyen berkenaan, Dayang Nurul Hasyimah binti Haji Metussin, turut berkongsi pandangan bahawa sebagai salah seorang generasi yang akan meneruskan legasi negara, setentunya ia satu tanggungjawab yang sangat besar yang perlu ditanai bermula pada saat ini.

    Tambahnya, pelbagai pendedahan telah diperoleh sepanjang mengikuti pengajian di PB, antaranya menerusi pengalaman mengikuti Majlis Perwakilan Pelajar di mana sahsiah dan akhlak peribadi pelajar dibentuk untuk menjadi insan yang bijak dan bersopan santun.

    Di samping itu, beliau juga turut menerokai pengetahuan dan pengalaman cara pembahagian tenaga elektrik ke rumah-rumah sehingga menangani penyelesaian masalah sekiranya berlaku kerosakan terhadap barang-barang yang berkaitan dengan elektrik.

    “Alhamdulillah, Politeknik Brunei juga tidak ketinggalan dalam memberikan pendedahan dalam mengikuti penempatan kerja sementara selama enam bulan.

    “Saya telah diberi peluang untuk menjadi perantis di Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP).

    “Antara pengalaman yang berharga dan tidak dapat saya lupakan semasa penempatan kerja sementara ialah menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi dua buah program yang dikendalikan oleh Pusat STEP; iaitu F1 in School dan Steam for Future dalam bidang kejuruteraan bagi pelajar-pelajar sekolah menengah,” kongsinya.

    Terus mengorak langkah

    Meski pun meniti latihan dalam perkhidmatan namun tidak mematahkan kesungguhan Dayang Nurun Hamizah binti Sahari dalam menimba pengetahuannya sehingga berjaya menerima sijil Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Perbidanan), PB.

    “Bagi saya, ilmu dan kemahiran yang dipelajari ini amat berguna untuk pekerjaan saya terutama secara komunikasi, praktikal dan pemikiran kritikal yang mana pada masa ini saya sedang bekerja di salah sebuah klinik kerajaan bahagian ibu mengandung dan anak-anak.

    “Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang saya peroleh daripada pengajian ini, Insya-Allah saya akan mempraktikkannya dan akan lebih berkemahiran dalam pekerjaan ini.

    “Adalah juga menjadi harapan diri ini setelah mendapat sijil ini akan dapat lagi meningkatkan keyakinan saya terhadap penjagaan dan perawatan wanita mengandung.

    “Jika ada rezeki, saya akan menyahut impian saya seterusnya untuk menyambung pembelajaran ke peringkat selanjutnya iaitu Sarjana Muda dalam Perbidanan, sejajar dengan pembelajaran sepanjang hayat yang dihasrat dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 bagi menambah baik ilmu pengetahuan dan meningkatkan lagi kemahiran dan mutu perkhidmatan,” ujarnya.

    Media Permata juga berkesempatan menemu bual Awangku Ammar Hazim bin Pengiran Azhar selaku salah seorang pelajar menerima sijil Diploma Tahap 5 dalam Pengurusan Sumber Manusia di bawah Sekolah Perdagangan, PB, turut menyarankan kepada para pelajar khususnya mereka yang sedang menuntut di PB untuk sentiasa memperbetulkan niat dan menimba ilmu dengan penuh keikhlasan demi meraih keberkatan dalam pembelajaran.

    “Namun jangan dilupa untuk sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental. Berjuanglah dan jangan mudah berputus asa menggapai erti kejayaan yang sebenar,” ucapnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...