Wednesday, May 1, 2024
30.7 C
Brunei

    -

    ‘Jangan tunggu sehingga pulau kami tenggelam’

    Gambar AFP

    PULAU PARI, INDONESIA – Duduk berdekatan tembok batu yang tersusun rapi, nelayan Mustagfirin memandang ke laut dari pulau kecil Indonesia, Pari, dan tertanya-tanya sama ada rumahnya akan bertahan untuk masa yang lebih lama.

    Perahu kayu miliknya yang kopak-kapik berlabuh di luar pantai, di mana pokok-pokok dan patung-patung yang dulunya berada di pantai kini ditenggelami sebahagiannya kira-kira 40 kilometer dari utara ibu negara Jakarta.

    “Saya sangat sedih dan takut mengetahui dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, Pulau Pari mungkin lenyap,” beritahu Mustagfirin, 52 tahun, kepada AFP.

    Pencinta alam sekitar telah menyatakan bahawa sebahagian besar pulau seluas 42 hektar tersebut mungkin tenggelam pada tahun 2050 disebabkan kenaikan paras laut.

    Para penduduk pulau tersebut berusaha mendapatkan keadilan, dan bulan lalu menyaman kilang gergasi simenSwiss, Holcim, berhubung pencemaran dari kilang itu.

    Mereka mendakwa firma simen terbesar di dunia itu bertanggungjawab atas kehilangan dan kerosakan berkaitan iklim dalam kes yang mungkin menjadi paling serius bagi pihak plaintif dari negara-negara membangun yang menentang syarikat perindustrian.

    Benteng konkrit, digunakan untuk menahan kenaikan paras laut, kelihatan mengelilingi sebahagian pulau Pari.

    Seorang nelayan menyediakan botnya untuk keluar menangkap ikan di perairan pulau Pari.
    Pokok-pokok bakau kelihatan ditanam oleh komuniti dalam usaha memperlahankan hakisan berpunca daripada kenaikan paras laut di pulau Pari.
    Sartono dan isteri Asmania memeriksa kebun rumpai laut mereka di perairan pulau Pari.

    Litigasi alam sekitar terhadap kerajaan dan firma bahan bakar fosil telah meningkat dalam beberapa tahun ini – namun ini adalah kes pertama yang dikemukakan oleh penduduk Indonesia ke atas syarikat asing atas kerosakan berkaitan perubahan iklim.

    Ini juga merupakan kali pertama sebuah syarikat Swiss yang telah disaman atas peranannya dalam perubahan iklim.

    “Memenangi kes ini mungkin memberikan semangat kepada penduduk pulau-pulau lain yang terkesan oleh perubahan iklim untuk menuntut keadilan,” kata Puspa Dewy, seorang aktivis alam sekitar dari badan NGO Indonesia Walhi.

    Semangat aktivisme tersebut dapat dilihat di seluruh pulau yang indah, di mana poster dan grafiti dengan tulisan ‘Selamatkan Pulau Pari’ dan ‘Keadilan Iklim Sekarang’ ditampalkan di semua tempat.

    Penduduk berkata banjir air laut dengan ketinggian hingga 1.3 meter telah meningkat sejak 2019, merosakkan rumah dan menjejas mata pencarian penduduk kampung.

    Banjir-banjir sebelum ini terjadi dua kali setahun tetapi sekarang melanda pulau itu lebih daripada 12 kali setiap tahun, menurut mereka.

    Swiss Church Aid (HEKS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membantu warga pulau, berkata Pari telah kehilangan 11 peratus daripada kawasan permukaannya dalam tempoh 11 tahun lalu.

    Di mana kita akan tinggal? Moyang saya, orang tua saya, anak-anak saya, bahkan cucu-cucu saya semuanya lahir di sini,” kata Mustagfirin, yang seperti kebanyakan warga Indonesia hanya mempunyai satu nama.

    Dia adalah salah seorang daripada empat penduduk yang menuntut Holcim untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam aduan sivil yang difailkan di Zug, ibu pejabat syarikat tersebut.

    Yang lainnya ialah Asmania, ibu kepada tiga anak yang kehilangan ladang rumpai lautnya akibat banjir. Dia risau tentang suaminya yang bekerja sebagai nelayan yang menangkap ikan di laut dalam keadaan cuaca ekstrem dan hasil tangkapan semakin berkurangan.

    “Kami ingin menyebar pesanan kepada syarikat lain: Tolong berhenti berfikir hanya tentang keuntungan,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.

    Mereka menuntut 3,600 franc Swiss (AS$3,800) masing-masing atas ganti rugi dan langkah-langkah perlindungan seperti pokok bakau.

    Menurut HEKS, penyelesaian boleh mengambil masa empat tahun jika ia sampai ke mahkamah tertinggi Switzerland.

    Penduduk pulau menyasarkan Holcim kerana sebelum ini tiada sesiapa yang mengambil tindakan terhadap syarikat simen besar, kata Dewy. Pembuatan simen menyumbang kira-kira lapan peratus daripada pelepasan karbon dioksida global.

    Tahun lalu, wakil-wakil penduduk pulau bertemu dengan Holcim dalam proses perantaraan yang gagal mencapai persetujuan, sekali gus mendorong pihak penuntut mengemukakan tuntutan mahkamah.

    Holcim, yang pada tahun 2019 menjual operasinya di Indonesia kepada sebuah perusahaan konkrit tempatan, memberitahu AFP syarikat itu mengutamakan isu iklim tetapi tidak bersetuju dengan penduduk pulau.

    “Kami tidak percaya bahawa kes mahkamah yang menumpu pada satu-satunya syarikat adalah mekanisme yang berkesan untuk menangani kompleksiti tindakan iklim secara global,” katanya.

    Pari bergantung pada perikanan dan pelancong yang datang ke pulau itu untuk percutian jauh dari ibu negara yang sesak dan tercemar.

    Rumah penginapan dan kedai cenderamata boleh dilihat di seluruh pulau yang berpopulasi 1,500 orang, tetapi banjir laut yang semakin meningkat membawa lebih banyak pembatalan tempahan.

    “Apabila banjir datang, kami kehilangan pendapatan. Ia menambah penderitaan kami,” kata penduduk Edi Mulyono.

    Rasa kecewa mendorongnya menyertai tuntutan mahkamah itu, dengan harapan kes tersebut akan memberikan pesanan kepada syarikat lain bahawa mereka harus bertindak dengan lebih bertanggungjawab.

    “Jika Holcim bertanggungjawab, syarikat besar lain akan mula berfikir bahawa mereka bukanlah satu-satunya yang hidup di bumi ini,” kata lelaki berusia 37 tahun itu.

    Di rumah pinggir pantai milik tukang kimpal, Arif Pujianto, motosikalnya telah berkarat akibat air laut dan panel-panel di rumah kayunya sedang reput.

    “Saya hidup dalam kebimbangan. Saya takut semasa saya tidur, air tiba-tiba akan naik,” kata salah seorang plaintif Pujianto, sambil menunjukkan kepada AFP video isterinya yang berdiri di dapur mereka yang dibanjiri.

    Mustagfirin dan para nelayan lainnya secara rutin membawa perahu mereka keluar untuk menanam bakau dalam usaha terdesak untuk melambatkan hakisan.

    Penduduk pulau juga mendirikan tambak terhadap air pasang surut, seperti membuat timbunan batu untuk menghalang banjir. Namun, mereka percaya bahawa sekatan undang-undang mungkin menawarkan harapan terbesar bagi masalah yang dihadapi mereka.

    “Tolong kurangkan pelepasan gas awda supaya awda dapat membantu menyelamatkan kami,” katanya.

    “Jangan tunggu sehingga terlambat. Jangan tunggu sehingga pulau kami tenggelam dan kami lenyap.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hamas, Fatah berunding di Beijing

    BEIJING, 30 APRIL - China berkata hari ini kumpulan Palestin, Hamas dan Fatah bertemu di Beijing baru-baru ini untuk ‘perbincangan mendalam dan menggalakkan perdamaian...