Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Keajaiban mesin atau ancaman seni?

    Gambar AFP

    TOKYO – Penulis manga fiksyen sains yang dilancarkan di kedai-kedai di Jepun baru-baru ini mengakui bahawa dia tidak mempunyai bakat melukis sama sekali, oleh itu beliau menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kisah panjang lebar yang mengerikan.

    Segala mesin dan makhluk futuristik dalam Cyberpunk: Peach John digambarkan secara terperinci oleh Midjourney, alat AI tular yang telah menggegarkan dunia seni, bersama-sama dengan alat-alat lain seperti Stable Diffusion dan DALL-E 2.

    Sebagai manga pertama di Jepun yang digambar sepenuhnya oleh AI, karya tersebut telah menimbulkan soalan tentang ancaman teknologi terhadap pekerjaan dan hak cipta dalam industri buku komik bernilai berbilion dolar di Jepun.

    Penulis tersebut, yang menggunakan nama pena Rootport, mengambil masa hanya enam minggu untuk menyiapkan manga yang mempunyai lebih daripada 100 halaman.

    Bagi seorang pelukis yang berbakat, karya tersebut mungkin memerlukan masa setahun untuk disiapkan, katanya.

    Lukisan pelajar kelihatan di atas meja semasa kelas reka bentuk seni manga di Akademi Reka Bentuk Tokyo di kawasan Harajuku, Tokyo.
    Naskhah ‘Cyberpunk: Peach John’, mangsa lukisan AI penuh pertama di Jepun, dipamerkan di pejabat penerbit buku komik Shinchosha, Tokyo.
    Seorang pelajar mengambil bahagian dalam kelas seni manga di Akademi Reka Bentuk Tokyo di kawasan Harijuku di Tokyo.
    Masakado Kunisawa memeriksa salinan ‘Cyberpunk: Peach John’, manga lukisan AI pertama di Jepun, di pejabat penerbit buku komik Shinchosha di Tokyo.

    Ilustrasi gambar menunjukkan artis manga AI, yang menggunakan nama ‘Rootport’, memakai sarung tangan untuk melindungi identitinya, menunjukkan bagaimana dia menghasilkan manga AI semasa temu bual dengan AFP di Tokyo.

    “Ia merupakan proses yang menyeronokkan, ia mengingatkan saya tentang permainan loteri,” beritahu lelaki berusia 37 tahun itu kepada AFP.

    Rootport, seorang penulis yang sebelum ini pernah bekerja mengenai jalan cerita manga, memasukkan kombinasi simbol teks seperti ‘rambut berwarna merah muda’, ‘budak lelaki Asia’ dan ‘jaket stadium’ untuk mewujudkan gambaran watak utama cerita dalam masa sekitar satu minit.

    Kemudian, dia menyusun rangka terbaik dalam format buku komik untuk menghasilkan buku tersebut, yang telah mencetuskan kekecohan dalam talian sebelum pelancarannya pada 9 Mac lalu oleh Shinchosha, sebuah firma penerbitan terkenal.

    Tidak seperti manga hitam-putih tradisional, ideanya mempunyai warna penuh, walaupun wajah watak yang sama kadang-kadang muncul dalam bentuk yang berlainan.

    Namun, penjana imej AI telah ‘membuka jalan bagi orang yang tidak mempunyai bakat seni untuk menyertai’ industri manga – dengan syarat mereka mempunyai cerita yang baik untuk dikongsikan, kata penulis tersebut.

    Rootport berkata dia berasa puas hati apabila arahan teksnya, yang digambarkannya sebagai ‘mantera’ ajaib, mencipta imej yang sejajar dengan apa yang dibayangkannya.

    “Namun, adakah ia memberikan kepuasan yang sama seperti yang awda rasakan apabila awda melukis sesuatu dari awal dengan tangan awda? Mungkin tidak,” katanya.

    Midjourney dibangunkan di Amerika Syarikat dan meningkat popular di seluruh dunia selepas dilancarkan pada tahun lepas.

    Seperti penjana imej teks-ke-gambar AI lain, hasil ciptaannya yang aneh, tidak masuk akal dan kadang-kadang menyeramkan boleh menjadi amat canggih dan membangkitkan rasa ingin tahu dalam kalangan artis.

    Alat-alat ini juga menghadapi masalah undang-undang, dengan syarikat permulaan berpangkalan di London yang terlibat dalam tindakan undang-undang Stable Diffusion mendakwa perisian itu mengambil sejumlah besar bahan yang dilindungi hak cipta dari web tanpa kebenaran.

    Beberapa penggubal undang-undang Jepun telah membangkitkan kebimbangan mengenai hak-hak artis, walaupun pakar mengatakan pelanggaran hak cipta tidak mungkin berlaku jika seni AI dibuat menggunakan teks mudah tanpa kreativiti manusia.

    Orang lain telah memberi amaran bahawa teknologi itu boleh mencuri pekerjaan daripada artis manga junior, yang melukis dengan teliti imej latar belakang untuk setiap adegan.

    Apabila Netflix menerbitkan animasi pendek Jepun pada bulan Januari dengan menggunakan latar belakang yang dihasilkan oleh AI, ia telah dikritik secara meluas dalam talian kerana tidak mengupah juruanimasi manusia.

    “Kemungkinan pembantu artis manga akan digantikan (oleh AI) memang wujud,” beritahu Profesor Satoshi Kurihara dari Universiti Keio kepada AFP.

    Pada tahun 2020, Kurihara dan kumpulannya menerbitkan komik yang dibantu AI dalam gaya peneraju manga yang telah meninggal dunia, Osamu Tezuka.

    Untuk projek tersebut, manusia hampir melukis segala-galanya, tetapi semenjak itu seni AI telah menjadi ‘hebat’ dan ‘pasti akan’ mempengaruhi masa depan industri manga, katanya.

    Beberapa artis manga menyambut baik peluang baharu yang ditawarkan oleh teknologi.

    “Bagi saya, saya tidak melihat AI sebagai ancaman – sebaliknya, saya fikir ia boleh menjadi teman yang hebat,” beritahu Madoka Kobayashi, dengan kariernya menjangkau lebih daripada 30 tahun, kepada AFP.

    Kecerdasan buatan dapat “membantu saya membayangkan apa yang ada dalam fikiran saya, dan mencadangkan idea kasar, yang kemudian saya cabar diri saya sendiri untuk memperbaikinya.”

    Penulis tersebut, yang juga melatih calon artis manga di sebuah akademi di Tokyo, berpendapat bahawa manga tidak hanya dicipta berdasarkan estetika, tetapi juga pada jalan cerita yang dirancang dengan bijak. Dalam arena tersebut, “Saya yakin manusia masih mendominasi.”

    Namun demikian, dia menolak menyalin terus dari gambar-gambar yang dihasilkan komputer, kerana “Saya tidak tahu dari karya seni siapa gambar tersebut berasal.”

    Di Tokyo Design Academy, Kobayashi menggunakan patung untuk membantu meningkatkan lukisan pensel pelajar, termasuk butir-butir daripada otot hingga kedut pada pakaian dan lingkaran rambut.

    “Seni AI memang hebat… tetapi saya mendapati lukisan manusia lebih menarik kerana ia nampak ‘tidak kemas’, kata Ginjiro Uchida, seorang pelajar berusia 18 tahun.

    Program komputer tidak selalu mampu memaparkan tangan atau wajah artis manga sebenar yang sengaja dibesar-besarkan dan ‘manusia masih memiliki rasa humor yang lebih baik,’ katanya.

    Tiga penerbit terkenal enggan memberikan komen apabila ditanya sama ada mereka fikir AI akan mengganggu proses produksi manga yang didorong manusia di Jepun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...