Sunday, April 28, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Mahu kembang produk kosmetik, makanan sihat ke mata dunia

    KOTA BHARU – Mengusahakan dan mengembangkan perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah selain memerlukan komitmen tinggi serta kerja berpasukan.

    Namun, perkara itu bukanlah mustahil untuk dicapai seperti yang dibuktikan oleh pengasas dan pemilik satu-satunya kilang pembuatan produk kosmetik dan makanan kesihatan milik bumiputera I Medikel Pharma Holdings Berhad (I Medikel), Hasnah Zakaria.

    Berpengalaman selama 24 tahun, anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang berusia 45 tahun itu berkata beliau bermula dengan hanya sebuah farmasi runcit sebelum membuka kilang tersebut di Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada 2000, selain kini mempunyai lima cawangan farmasi di Kelantan dan Selangor.

    “Kilang ini kemudian berkembang apabila kami menjalin kerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia pada 2006 sehingga 2009 dalam membangunkan penyelidikan serta produk kosmetik.

    “Syarikat ini mula berkembang di Kelantan dan Terengganu menerusi rangkaian farmasi di Pengkalan Chepa, Telipot, Berek 12, Tok Bali di Kelantan dan Puchong, Selangor melalui kilang pembuatan produk serta syarikat pengiklanan,” katanya kepada Bernama.

    Pengasas dan pemilik satu-satunya kilang pembuatan produk kosmetik dan makanan kesihatan milik bumiputera I Medikel Pharma Holdings Berhad (I Medikel), Hasnah Zakaria. – Bernama
    Gambar Bernama

    Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata pihaknya telah membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mengeluarkan produk jenama sendiri dan kini terdapat lebih 100 syarikat yang bekerjasama dengan I Medikel.

    “Menerusi kilang pembuatan produk itu, ada antara usahawan yang telah mencapai tahap jutawan dan semua produk mereka mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan serta sijil halal,” ujar beliau yang berasal dari Melor.

    Menurut Hasnah I Medikel kini dalam proses membangunkan kompleks kilang di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa yang dijangka siap tahun hadapan, sekali gus membuka peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk tempatan serta usahawan di Kelantan.

    Beliau juga berhasrat untuk menjadikan produk-produk buatan kilangnya sebagai produk halal dari Malaysia yang dikenali di seluruh dunia.

    Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia, Hasnah mengakui kejayaannya turut mendapat dorongan dan bantuan suami, Yusmat Mamat, 58, yang mempunyai kelulusan dalam bidang sama.

    Pengalaman jatuh bangun dalam bidang perniagaan tidak mematahkan semangat wanita cekal ini malah beliau mengingatkan usahawan lain terutamanya kaum hawa supaya berjiwa besar dan kental, selain bersikap positif dalam menghadapi cabaran. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...