Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Meerqeen rancang lebar sayap seni di Indonesia

    Pelakon drama Melur Untuk Firdaus, Meerqeen, 21, dipelawa menjayakan program bual bicara di Jakarta, Indonesia, akhir bulan ini.

    Meerqeen berkata, penerbit program bual bicara, Brownis berminat mengundangnya dan memperkenalkan dirinya kepada penonton di Indonesia.

    “Bagaimanapun, tawaran membintangi drama dan filem dari Jakarta, belum lagi diterima setakat ini,” katanya pada majlis pelancaran wajah baharu minuman Spritzer di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

    Meerqeen tidak menafikan mengatur perancangan melebarkan sayap seni di seberang jika mendapat tawaran.

    “Buat masa sekarang, saya ada perancangan ke sana (lebar sayap di Indonesia) tetapi saya tidak berani cakap lagi. Saya dan pengurus sedang menyusun perkara yang perlu dibuat.

    Meerqeen tidak menafikan mengatur perancangan melebarkan sayap seni di seberang jika mendapat tawaran. – Agensi

    “Saya tanam impian untuk melebarkan sayap ke Indonesia dengan serius, cuma tidak tahu bila. Insya-Allah kalau ada tawaran, saya akan pergi,” katanya.

    Tambah Meerqeen, dia sanggup berkorban masa dengan karier di Malaysia jika mula mendapat ‘job’ di Jakarta.

    “Kalau saya perlu korbankan masa, saya sanggup demi tawaran lakonan di sana. Kita tahu pasaran di sana besar,” katanya yang berpengalaman menjayakan drama panjang iaitu Angkara Cinta sebanyak 115 episod.

    Meerqeen yang menyimpan niat bekerja dengan pelakon Indonesia, Refal Hady terharu apabila lagu dendangannya, Menunggu tular dalam kalangan peminat di republik itu.

    “Saya gembira lagu itu tular, namun, terkejut sebab pendengar di Malaysia tidak mengikuti lagu itu. Saya perasan di TikTok ramai yang memuat naik video menggunakan latar lagu itu,” katanya.

    Meerqeen berkata, andai mendapat peluang membina nama di Indonesia, dia mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan, bukan nyanyian.

    Berkongsi pengalaman, Meerqeen memberitahu dia pernah didatangi beberapa peminat dari Indonesia yang datang ke Kuala Lumpur semata-mata hendak berjumpa dengannya.

    “Kami berjumpa pada Karnival Jom Heboh di Putrajaya, baru-baru. Mereka korbankan masa dan kami sempat berbual hingga 20 minit,” katanya.

    Sementara itu, Meerqeen mengulangi kenyataan dirinya dengan teman gandingannya dalam drama Melur Untuk Firdaus, Anna Jobling sekadar teman biasa.

    Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, berkata, istilah cinta lokasi tidak wujud biarpun mereka tampak rapat dalam media sosial.

    “Saya dan Anna sudah berbincang mengenai perkara yang kami boleh dan tidak boleh lakukan sebelum masuk ke set penggambaran drama Melur Untuk Firdaus.

    “Kami tahu apa yang kami buat di media sosial beri impak hingga drama terbabit menduduki tangga pertama. Namun, antara saya dan Anna, tiada apa-apa,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...