Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Misi selamatkan badak menerusi cerita dongeng

    INDRAMAYU, INDONESIA – Di sebuah perkampungan nelayan kecil di Indonesia, seorang lelaki dengan kepala badak tiruan bertenggek di atas kepalanya mengadakan pertunjukan boneka untuk sekumpulan kanak-kanak yang melihatnya dengan penuh khusyuk.

    Bekas guru, Samsudin sedang mendidik kanak-kanak mengenai keadaan badak Jawa yang amat terancam – paling unik di dunia – dengan menggunakan patung yang dibuat daripada kadbod, menerusi ekspresi mencuit hati serta suara yang berintonasi untuk menyebarkan pesanan pemuliharaan menerusi kisah cerita yang disampaikannya.

    Lelaki berusia 50 tahun itu meminta kanak-kanak di kampung Jawa Barat, Indramayu supaya meniru haiwan tersebut, dan mengajar mereka pentingnya melindungi hutan serta hidupan liar yang unik.

    “Saya ingin mereka mengetahui bahawa badak memerlukan hutan asli dan manusia bukan sahaja makhluk yang menghuni muka bumi ini,” beritahunya kepada AFP.

    “Saya mahu kanak-kanak menyayangi alam semula jadi dan membesar menjadi manusia yang sedar dan menjaga khazanah semula jadi kami.”

    Kanak-kanak mendengar kata-kata bekas guru, Samsudin ketika dia mengajar mereka mengenai pemuliharaan haiwan dengan boneka kadbod di kampung Cemara Kulon, Indramayu. – AFP

    Kanak-kanak memegang boneka kadbod dan poster yang berbunyi ‘Selamatkan hutan Indonesia’ semasa pertunjukan mengenai pemuliharaan haiwan di kampung Cemara Kulon. – AFP
    Samsudin mengajar kanak-kanak mengenai pemuliharaan badak dengan boneka kadbod di kampung Cemara Kulon di Indramayu. – AFP

    Badak Jawa – haiwan mamalia dengan satu tanduk yang boleh membesar sehingga mencecah berat dua tan dan mempunyai lipatan kulit kendur dan menggeleber yang menyerupai plat perisai – pernah satu ketika mencecah jumlah ribuan di seluruh Asia Tenggara.

    Namun sekarang haiwan tersebut sudah hampir pupus, setelah terjejas teruk akibat pemburuan berleluasa dan pencerobohan manusia ke atas habitat mereka.

    Selepas mengalami kemerosotan populasi bertahun-tahun lamanya, kini dipercayai hanya terdapat 75 ekor badak yang masih hidup di tempat perlindungan Ujung Kulon – habitat hutan terakhir yang masih wujud – di kawasan barat pulau Jawa.

    Samsudin, seperti kebanyakan warga Indonesia yang hanya menggunakan satu nama, memutuskan akan mendedikasikan masanya untuk memulihara badak Java dan spesies terancam lain pada 2014 setelah mendapat tahu mengenai situasi mereka yang meruncing bagaikan telur di hujung tanduk.

    Sejak itu, beliau telah membuat perjalanan merentasi gugusan kepulauan menggunakan basikal lapuknya, mengadakan pertunjukan boneka di tempat-tempat yang disinggahinya semasa perjalanan untuk mengajar kanak-kanak mengenai haiwan itu.

    “Saya mahu mereka mengetahui mengenai badak sebelum terlambat. Saya tidak mahu mereka hanya melihat badak daripada buku teks ataupun filem kartun,” ujar Samsudin.

    Samsudin membuat boneka daripada kadbod kerana ia boleh didapati dengan mudah, dan disebabkan beliau membantah penggunaan kulit – yang lazim digunakan dalam pertunjukan wayang kulit tradisional Jawa – atas sebab-sebab pemuliharaan.

    Penggunaan teknik bercerita secara langsung itu menjadikan pesanan yang ingin disampaikan lebih senang difahami dan diterima oleh kanak-kanak selain mewujudkan ikatan yang lebih kukuh di antaranya dan penonton mudanya,” kongsinya.

    “Kanak-kanak mempunyai tumpuan yang singkat, saya perlu kreatif untuk mengalih perhatian mereka daripada menggunakan gajet mereka.

    Projek pemuliharaan badak adalah amat sukar disebabkan tempoh gestasi yang lama serta kecenderungan badak merayau-rayau, dan sering meninggalkan haiwan jantan dan betina terpisah semasa musim mengawan.

    Samsudin juga tertekad untuk mencabar gambaran kartun badak yang disifatkan sebagai malas dan bodoh.

    “Badak adalah haiwan yang pemalu dan mempunyai wajah unik dan sekarang tidak banyak yang tinggal di dunia, maka saya ingin menaikkan imejnya dan menjadikan haiwan tersebut makhluk yang istimewa dan bijak.”

    Sejak koronavirus meletus dan mendorong Samsudin menghentikan pertunjukannya buat sementara waktu, kini beliau sudah kembali menjelajah untuk mengadakan persembahan sekali lagi.

    Watak utama dalam pertunjukannya ialah badak Jawa, dengan monyet dan harimau Sumatera sebagai watak sampingan, dan seorang pemburu sebagai orang jahat. Seorang penonton yang amat teruja dengan persembahan cerita dongeng itu ialah Gelar Dwi Titar Syahputro, seorang pelajar sekolah rendah yang menyaksikan pertunjukan boneka bersama kawannya.

    “Ia sungguh menyeronokkan dan lucu. Saya belajar sesuatu baharu. Kisah yang disampaikan memberitahu saya supaya jangan membuang sampah dan berjanji untuk melindungi alam semula jadi,” kata Syahputro.

    Samsudin ingin penonton mudanya mencontohi beliau pada satu hari kelak, menyertai misinya untuk menyebar kesedaran mengenai alam sekitar menerusi cerita dongeng rakyat.

    “Saya berharap dalam kalangan ratusan kanak-kanak yang telah saya temui, seorang atau dua akan mengikut jejak langkah saya dan menyertai saya dalam menyebar pesanan tentang pemuliharaan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...