Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Muzium baharu khas untuk artifak seludup

    ROM – Itali telah mencatat kejayaan luar biasa dalam mendapatkan semula karya seni dan artifak lama yang dieksport secara haram dari negara itu sehingga ia telah menubuhkan sebuah muzium khas untuk mempamerkan artifak berkenaan.

    Muzium Karya Seni yang Diselamatkan (Museum of Rescued Art) dirasmikan pada Rabu dalam struktur bangunan yang luas yang membentuk sebahagian daripada bangunan lama Baths of Diocletian di Rom. Ruang pameran bergelar The Octagonal Hall tu direka khas untuk mempamerkan hasil usaha Itali, menerusi diplomasi dan cabaran perundangan, untuk mendapatkan semula barang antik bernilai yang dihantar pulang dari luar negara, lazimnya selepas berdekad-dekad disimpan dalam muzium asing atau pun koleksi persendirian.

    Objek yang dipamerkan dalam muzium baharu itu akan bertukar setiap beberapa bulan kerana objek yang dipamerkan akan kembali kepada apa yang apa dianggap oleh pakar sebagai wilayah asal mereka, kebanyakannya kawasan yang membentuk sebahagian daripada peradaban lama Etruscan atau Magna Grecia di tengah atau selatan Itali.

    Pameran yang julung kali diadakan itu membabitkan kira-kira 100 daripada 260 artifak yang ditemui oleh skuad seni separa tentera Carabinieri dari Amerika Syarikat dan dibawa pulang ke Itali pada Disember 2021. Objek yang dipamerkan, yang ditemui semasa usaha penggalian rahsia dan dieksport secara haram, termasuk patung-patung ukiran halus Etruscan dan balang cat yang berusia beberapa kurun. Barangan tersebut sebelumnya menjadi milik muzium, firma pelelongan serta koleksi peribadi.

    Muzium baharu di Rom kini sedang mempamerkan objek ‘yang tidak pernah dilihat sebelum ini di Itali,’ kata Massimo Osanna, ketua pengarah muzium negeri Itali. Dalam peranan sebelumnya, Osanna telah lama bertanggungjawab memulihkan harta karun Pompeii, bandar lama Rom yang terletak berhampiran Naples, salah satu tapak arkeologi paling terkenal di dunia yang juga dijarah oleh pencuri barang antik sejak beberapa generasi lalu.

    Seorang lelaki melihat artifak arkeologi yang dipamerkan di ‘Museum of Rescued Art’ di Rom. – AP
    Jeneral Roberto Riccardi, ketua unit Carabinieri melihat artifak arkeologi di muzium yang baharu dibuka di Rom. – AP
    Jambangan Etruscan dari abad ke-7 SM dipamerkan di muzium baharu di Rom. – AP
    Kepala terracotta untuk upacara pemujaan dari abad ke-3 dan ke-4 SM dipamerkan di ‘Museum of Rescued Art’ di Rom pada 15 Jun 2022. – AP
    Pemandangan di Dewan Octagonal Baths of Diocletian semasa pelancaran muzium baharu di Rom pada 15 Jun

    2022. – AP

    Barang antik yang baharu ditemui wujud sebelum era Rom, bertarikh 8SM hingga 4SM. Kebanyakan objek berkenaan datang dari kawasan berdekatan Cerveteri, yang dibanjiri dengan saki-baki peradaban gilang-gemilang Etruscan di barat Itali.

    Salah satu artifak yang amat menarik, dari abad ke-7 Sebelum Masihi, ialah jambangan seramik, dicat merah atas permukaan putih dan mencecah lebih satu meter tinggi.

    Dihiasi dengan gambar kuda dan kucing, ia menggambarkan cerita mitos Polyphemus, makhluk bermata satu yang memakan manusia.

    Pilihan hiasan pada jambangan itu mungkin menandakan bahawa golongan elit Etruscan mempunyai dua bahasa dan ‘terpesona dengan mitos Greece’, beritahu Osanna kepada The Associated Press dalam satu temu bual.

    “Ia adalah adiwira Etruscan yang dikaitkan dengan adiwira Greece,” ujarnya.

    Menteri Kebudayaan Itali Dario Franceschini menjelaskan keputusan yang diambil untuk memilih beberapa siri artifak yang dipamerkan secara bergilir dalam muzium dan bukannya mengadakan koleksi seni secara tetap.

    “Kami fikir kami membuat keputusan yang betul untuk mengembalikan objek ke tempat asal di mana ia dicuri,” kata Franceschini. Dalam sesetengah kes, pakar tidak tahu lokasi sebenar barang antik berkenaan, menekankan kerosakan yang berlaku apabila khazanah arkeologi itu dicuri. Objek dengan asal-usul yang tidak diketahui akan dikembalikan ke kawasan geografi umum.

    Ruang pameran merupakan sebahagian daripada Muzium Nasional Rom. Pamerannya akan berlangsung sehingga 15 Oktober, kemudian muzium itu akan mempamerkan kumpulan barang antik yang lain.

    Di antara objek yang menarik tumpuan pada pameran ‘seni yang dipulihkan’ adalah dua kepala terracotta, dipotong secara menegak kepada separuh, sebahagian daripada kumpulan objek upacara pemujaan Etruscan dari abad ke-4 hingga abad ke-3 SM.

    Satu lagi artifak yang amat menarik adalah peti pengebumian Etruscan yang dipelihara dengan baik, dan dihiasi de-ngan gambar pahlawan, kuda dan seekor kucing. Sementara Itali berasa bangga kerana berjaya mendapatkan semula kira-kira 3 juta artifak dan kerja seni sejak unit Warisan Kebudayaan Perlindungan khas di Carabinieri ditubuhkan pada 1969, ia juga berusaha untuk mendorong negara lain untuk mengembalikan objek antik yang dikaitkan dengan budaya lain.

    Pada awal bulan ini, Itali memulangkan kepada Athens serpihan friz Parthenon yang telah disimpan dalam muzium arkeologi di Sicily. Franceschini, menteri kebudayaan Itali, berkata ‘serpihan Fagan’ itu milik Itali secara sah tetapi berkata negaranya ingin ‘mengesahkan berdasarkan prinsip pengembalian kekayaan kebudayaan yang bertujuan mengaitkan sejarah artistik dengan tempat dan penduduk asal.’

    Beberapa harta karun setakat ini gagal diperoleh oleh Itali. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...