Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pameran bunga Chelsea hasil sentuhan kreatif pekebun

    LONDON – Ratu Elizabeth II hadir sebagai tetamu kehormat pada Pameran Bunga Chelsea baru-baru ini, ketika acara tersebut kembali semula pada Mei selepas ditangguhkan selama setahun.

    Baginda mengunjungi perkarangan Hospital Diraja Chelsea – sebuah rumah persaraan untuk veteran tentera – bersama Keith Weed, presiden penganjur pameran tersebut, Persatuan Hortikultur Diraja.

    Kira-kira 140,000 orang dijangka menghadiri pameran yang diadakan di barat London dari Selasa hingga Ahad ini, dengan beberapa hasil gubahan dipamerkan sempena memperingati ulang tahun ke-70 tahun baginda menaiki takhta.

    Salah satu daripada gubahan unik adalah bunga mawar baharu, ‘Rose Elizabeth,’ sementara satu lagi ciptaan menarik adalah struktur keluli warna ungu yang mengisahkan profil Ratu Elizabeth, lengkap dengan dedaun, dan 70 pasu bunga lili dan rosemary kegemaran baginda.

    Masa depan bumi, kembalinya taman yang bersifat lebih semula jadi merupakan tema pada pameran tahun ini, yang telah dianjurkan oleh RHS lebih daripada 100 tahun lamanya.

    Ratu Elizabeth II bersama Keith Weed (tengah), Presiden Persatuan Hortikultur Diraja semasa kunjungan ke Pameran Bunga Chelsea RHS 2022 di London. – AFP
    Tanaman dalam pasu kelihatan di ‘The Cirrus Garden’, dicipta oleh pekebun amatur Jason Williams semasa Pameran Bunga Chelsea 2022 di London pada 23 Mei 2022. – AFP
    Bunga-bunga kelihatan dalam bongkah ais sebagai sebahagian daripada Kebun Ais Plantman di Taman Sanctuary pada pameran tersebut. – AFP
    Seorang pekerja menyiram bunga kekwa, digubah untuk menggambarkan Gunung Fuji di Jepun semasa pameran bunga berkenaan. – AFP
    Gubahan yang menggambarkan imej Ratu Elizabeth II, dipamerkan sebelum Jubli Platinum beliau di taman Veebers Carter semasa Pameran Bunga Chelsea. – AFP

    Salah satu daripada 39 taman menarik yang didirikan khas untuk acara tersebut adalah blok ais seberat 15 tan yang dibuat daripada air hujan, dikelilingi oleh pokok dan tumbuh-tumbuhan.

    Ia akan cair secara perlahan-lahan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

    “Kami mengingati kawasan Artik yang semakin mencari,” pengasas John Warland berkata kepada AFP

    Namun dia berkata masih adanya mesej positif meskipun ‘kesuraman’ perubahan iklim.

    “10 tahun lalu, ahli sains menggali dalam ais dan mereka menemui benih yang berusia 32,000 tahun yang sebenarnya mampu hidup dan bercambah,” tambahnya.

    “Jadi walaupun perubahan iklim adalah teruk, namun dalam ais berkenaan mungkin terdapatnya rahsia dan kunci kepada kehidupan manusia.”

    Satu lagi taman yang menonjol mempunyai pondok bercirikan kekampungan yang dikelilingi bunga liar dan anak sungai yang disekat oleh empangan beaver.

    “Tanah paya beaver amat menakjubkan,” kata Sara King, ketua rangkaian pembangunan semula hutan di Rewilding Britain.

    “Untuk memperkenalkan suasana dan landskap untuk dialami oleh semua orang adalah sesuatu yang benar-benar menyeronokkan.”

    Tidak adanya beaver di taman Tayshan Hayden-Smith melainkan satu mesej yang kukuh.

    Hayden-Smith, 25, membesar berdekatan blok Menara Grenfell, di mana 70 orang terbunuh pada Jun 2017, dalam kebakaran perumahan paling teruk di Britain sejak Perang Dunia Kedua.

    Bangunan bertingkat tinggi itu – masih berdiri dan ditutup dengan kain tarpaulin – dan hanya mengambil masa 10 minit perjalanan dari Pameran Bunga Chelsea.

    Hayden-Smith merupakan seorang pemain bola sepak di Austria pada masa itu, Dia kembali ke London dengan serta-merta dan mula berkebun.

    “Kebakaran itu mengajar dan menunjukkan kepada saya kuasa penyembuh alam semula jadi,” ujarnya.

    “Ia adalah sebab utama saya berada di sini untuk meluahkan perasaan saya, tentang bagaimana taman boleh memberitahu satu kisah, bagaimana ia boleh mengumpul bersama orang dan juga bagaimana ia boleh menyembuhkan serta menyatukan orang di sekeliling kita.”

    Dia menolak idea stereotaip berkebun iaitu ia merupakan hobi untuk warga emas. “Ia bukan satu kemewahan, ia bukan satu hobi, ia adalah sesuatu yang menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

    Hayden-Smith lebih menyifatkan dirinya sebagai seorang ‘aktivis’ daripada pereka kebun.
    “Misi saya bukan mereka bentuk kebun. Misi saya adalah mencipta lebih banyak akses kepada alam semula jadi dan menjadikan aktiviti berkebun lebih inklusif.”

    Taman ciptaan Hayden-Smith ‘Hands Off Mangrove’ bertujuan memberikan pengiktirafan kepada Mangrove Nine – kumpulan aktivis kulit hitam British yang dibicarakan kerana mencetuskan rusuhan pada 1970.

    Seorang lagi peserta pameran yang kreatif ialah pengurus restoran Jason Williams, 35, yang membeli bunga marigold semasa pandemik pada 2000 dan mulai mengubahnya kepada taman kecil di beranda tingkat ke-18 kediamannya.

    Kini dia memiliki lebih 100 tumbuh-tumbuhan dan hampir 250 dalam pangsapurinya.
    Berkebun telah membantu kesihatan mentalnya, memberikannya lebih banyak ketenangan, katanya.

    Menjaga tanamannya juga mendorongnya menyedari dia perlu ‘memupuk’ kesihatan mentalnya, ‘untuk bangkit semula, sama seperti yang saya jangkakan daripada tanaman saya.’

    “Harapan saya adalah saya boleh mendorong lebih ramai orang memulakan aktiviti berkebun dan mudah-mudahan mereka sendiri akan mengalami manfaat berkebun.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...