Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Pelajar Yaman terus cari ilmu di bawah runtuhan

    IBB, YAMAN – “Saya suka pergi ke sekolah dan membaca buku cerita. Saya benar-benar kecewa dan sedih apabila sekolah kami diserang dan banyak buku dibakar,” kata Abdul Wahab Al-Dhaibani, seorang budak sekolah Yaman di Wilayah Ibb di barat Yaman.

    Ketika Hari Buku Sedunia pada 23 April semakin hampir, budak sekolah yang berdiri di hadapan runtuhan satu-satunya bangunan sekolah Shuhada-Alwahdah, menceritakan bagaimana dia dan rakan sekelasnya bergelut untuk terus belajar dan membaca buku.

    Separuh daripada satu-satunya bangunan di sekolah itu telah menjadi runtuhan akibat serangan udara pada 2015, manakala separuh lagi masih lagi berdiri sejak serangan tersebut.

    Pada setiap hari persekolahan, Abdul Wahab Al-Dhaibani dan rakan sekelasnya perlu memanjat lubang di dinding yang hancur dan menaiki tangga yang tidak stabil untuk sampai ke bilik darjah mereka yang suram.

    Tiada tingkap, pintu, kerusi, atau meja di dalam kelas. Pelajar perlu berhimpit-himpit dan mencangkung di atas tanah konkrit semasa kelas. Bagaimanapun, bagi majoriti murid di sini, persekitaran sekolah yang teruk bukanlah kebimbangan utama mereka.

    Seorang pelajar Yaman membaca buku di sekolah Shuhada-Alwahdah yang musnah di daerah Al-Radhmah, wilayah Ibb, barat Yaman. – Xinhua
    Yaman telah terperangkap dalam perang saudara sejak akhir 2014, yang telah meruntuhkan sistem pendidikan negara dan melucutkan pendidikan yang sewajarnya kepada generasi Yaman. – Xinhua

    “Cabarannya ialah kami tidak mempunyai buku yang mencukupi. Seluruh kelas perlu berkongsi satu buku teks yang koyang-rabak,” kata Amjed Al-Riashi, seorang pelajar sekolah berusia 13 tahun yang berdiri di antara runtuhan.

    Buku teks yang digunakan oleh seluruh kelas ialah buku yang dicetak lebih sedekad lalu, yang dianggap oleh kelas sebagai aset yang berharga. Semasa kelas, guru akan menyalin kandungannya di papan hitam.

    “Ini adalah cara kami membaca buku. Namun, saya menganggap diri saya bertuah kerana ramai kanak-kanak di Yaman tidak pernah melihat buku dalam hidup mereka,” kata Riashi.

    Menurut laporan baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), lebih dua juta kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia sekolah di Yaman telah tercicir dari sekolah kerana kemiskinan dan konflik di negara yang dilanda perang itu.

    Beribu-ribu sekolah telah musnah dan terbengkalai di Yaman akibat perang saudara, menurut kesatuan guru, yang memberi amaran bahawa buta huruf dalam kalangan generasi muda semakin meningkat dan masa depan negara sedang dimusnahkan secara beransur-ansur.

    Arif Al-Shami, guru besar sekolah Shuhada-Alwahdah, berkata dia cuba mengumpul dana untuk membina semula sekolah itu, tetapi tidak berjaya. Apa yang lebih teruk, pihak sekolah sudah menghadapi masalah untuk menampung perbelanjaan harian seperti buku teks, elektrik, dan juga gaji guru.

    “Setiap bulan, lebih 100 pelajar di sekolah memberi guru 20,000 hingga 25,000 rial Yaman (kira-kira AS$40 hingga AS$45) untuk memastikan sekolah itu berjalan. Bagaimanapun, kerana semua pembiayaan awam telah diputuskan, wang itu jauh dari mencukupi untuk menampung perbelanjaan sekolah,” kata guru besar itu sambil menambah guru juga bergantung kepada wang untuk menyara hidup.

    Kebanyakan guru di sekolah itu telah memilih untuk meninggalkan sekolah untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih baik untuk menyara keluarga mereka, menurut guru sekolah itu, tetapi dua orang, termasuk dirinya, telah memilih untuk terus bertahan.

    “Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran, kami memilih untuk terus bekerja kerana tanggungjawab kami. Kami tidak mahu anak-anak kami tercicir dari sekolah. Kami sayangkan negara kami, dan anak-anak adalah masa depannya,” kata Shami.

    Yaman telah terperangkap dalam perang saudara sejak akhir 2014, apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran menguasai beberapa wilayah utara dan memaksa kerajaan yang disokong Arab Saudi keluar dari Sanaa.

    Peperangan itu telah membunuh puluhan ribu orang, menyebabkan empat juta orang kehilangan tempat tinggal, dan mendorong negara itu ke jurang kebuluran, menurut PBB. Ia juga telah meruntuhkan sistem pendidikan negara dan melucutkan pendidikan yang sewajarnya kepada generasi Yaman.

    Sekolah Ibb yang musnah secara tepat melambangkan sistem pendidikan negara yang gagal, yang sangat memerlukan bantuan.

    “Kami memohon organisasi kemanusiaan membantu kami dalam mengubah suai sekolah, membina semula bangunan dan menyediakan buku teks sekolah kepada pelajar,” kata Shami sambil menambah sekolah itu tidak akan dapat berfungsi lama jika sokongan tidak diberikan.

    “Kami sayangkan sekolah kami walaupun hanya timbunan runtuhan. Kami berharap kami dapat meneruskan pendidikan dan menjadi doktor atau jurutera selepas tamat pengajian, sama seperti pelajar di negara lain,” kata Ebraheem Muneer, seorang lagi pelajar di sekolah itu, berdiri di hadapan bumbung yang senget. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...