Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pentingnya bantuan antarabangsa terhadap Afghanistan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan ICRC Kuala Lumpur

    Tahap jaminan kesihatan ibu dan kanak-kanak akan semakin hilang jika masyarakat antarabangsa tidak campur tangan untuk menyokong infrastruktur awam Afghanistan yang meruncing.

    Menyaksikan kadar kematian ibu (maternal mortality rate) yang begitu tinggi di Afghanistan menjadikan perkhidmatan kesihatan khususnya di hospital yang disokong Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) amat menitikberatkan isu mengenai kesihatan ibu dan penjagaan pranatal atau neonatal serta lebih penting juga untuk golongan wanita hamil dan anak damit baru lahir.

    Keutamaan ICRC tetap teguh menyokong sistem kesihatan di Afghanistan, tetapi masyarakat antarabangsa juga mesti meningkatkan sokongannya kerana organisasi kemanusiaan semata-mata tidak dapat memenuhi keperluan penduduk Afghanistan sepenuhnya.

    Itulah antara penekanan amaran yang dikemukakan oleh Presiden ICRC, Peter Maurer dalam kenyataan media di Geneva, baru-baru ini, semasa berlangsungnya Acara Ikrar Peringkat Tinggi dalam Menyokong Tindak Balas Kemanusiaan di Afghanistan 2022.

    Sokongan meningkatkan kemampuan kesihatan awam

    Dalam pada itu, Peter Maurer turut berkongsi dengan terjadinya krisis perbankan dan kecairan di Afghanistan telah mengurangkan infrastruktur kesihatan awam daripada pembiayaan yang diperlukan untuk membayar gaji kakitangan, kos operasi, ubat-ubatan dan bahan api bagi menjalankan ambulans.

    Negina ketika baharu sahaja melahirkan anak keduanya di Malalai Maternity Hospital.
    Pengarah Operasi ICRC semasa membuat lawatan ke Afghanistan untuk memeriksa kemudahan kesihatan yang disokong ICRC sekitar bulan Februari lalu.

    Sebagai langkah drastik untuk merapatkan keperluan ini, ICRC melancarkan sokongan kewangan dan teknikal kepada 33 buah hospital dan kakitangan mereka untuk memastikan akses kepada rawatan perubatan secara percuma pada November 2021.

    Dalam hal ini, pihak ICRC turut mengumumkan rayuan lanjutan belanjawan sebanyak CHF 53 juta, sehingga meningkatkan keseluruhan belanjawan operasi di Afghanistan kepada sekitar CHF 200 juta.

    Projek Ketahanan Hospital yang telah ditubuhkan pada mulanya untuk menyokong 18 buah hospital bagi tempoh enam bulan. Namun sejak menghadapi krisis sedemikian, ICRC telah meningkatkan projek untuk menyokong 33 buah hospital secara keseluruhan, termasuk lapan hospital perguruan yang memperakui ribuan profesional kesihatan lelaki dan wanita setiap tahun. Projek itu kini membayar gaji hampir 10,000 kakitangan penjagaan kesihatan, kos ubat-ubatan dan kos operasi hospital.

    Kepentingan belanjawan ICRC

    Menyentuh mengenai jumlah belanjawan ICRC, Peter Maurer menjelaskan dengan adanya peruntukan kewangan berkenaan adalah bagi melanjutkan sokongan kepada hospital dan kakitangan kesihatan sehingga akhir tahun 2022 melalui Projek Ketahanan Hospital dengan menyediakan 750,000 perun- dingan setiap bulan.

    Di samping itu, belanjawan berkenaan juga bagi memperluaskan perlin- dungan dan kerja bantuannya di tempat tahanan, termasuklah dengan penye- diaan makanan untuk sekitar 10,000 tahanan serta menyediakan pihak berkuasa penjara dengan sokongan teknikal yang diperlukan dalam menguruskan rantaian bekalan makanan dan nutrisi. Ia digunakan bagi meneruskan misi penjagaan yang diberikan di tujuh kemudahan pemulihan atau ortopedik di Kabul, Jalalabad, Gulbar, Faizabad, Mazar-i-Sharif, Herat, dan Lashkar Gah.

    Selain itu, sokongan mata pencarian untuk isi rumah yang memerlukan termasuk isi rumah yang diketuai golongan wanita dan para petani turut menerima bantuan. Dalam pada itu, ICRC juga bermatlamat untuk mempertingkatkan akses kepada air dengan membaiki pam menggunakan tangan, membina atau memulihkan menara air dan rangkaian bekalan, mahu pun menderma bahan api, peralatan, consumables dan alat ganti. Begitu juga, usaha tulus ICRC bagi menyatukan kembali ahli keluarga yang telah terpisah melalui rangkaian Restoring Family Links.

    “ICRC telah berkhidmat kepada rakyat Afghanistan selama lebih 30 tahun. Kami beroperasi di seluruh negara, bersama rakan kongsi kami Bulan Sabit Merah Afghanistan,” tambahnya.

    Pada masa ini kami mempunyai pasukan mengandungi lebih 1,800 kakitangan yang menyediakan pelbagai bantuan kemanusiaan, termasuk penjagaan kesihatan, sokongan pemulihan, perlindungan, air dan sanitasi serta keselamatan ekonomi. Pasukan kami tampil di Khost, Herat, Lashkar Gah, Kandahar, Kabul, Mazar-i-Sharif, Kunduz, Faizabad, Jalalabad, Ghazni, dan Farah,” kongsi Peter Maurer.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...