Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Perpustakaan Gaza dibuka semula selepas pengeboman

    GAZA – Suad al-Mranikh menghabiskan sekurang-kurangnya dua jam seminggu di perpustakaan Samir Mansour di Bandar Gaza, yang dibuka semula pada Februari selepas musnah semasa pengeboman Israel pada Mei 2021.

    “Apabila saya datang ke sini, saya rasa seperti berada di dunia lain… dunia yang penuh dengan cerita dan pengalaman,” kata pelajar universiti berusia 19 tahun itu kepada Xinhua.

    “Kami tinggal di kawasan yang terkepung, hanya segelintir kami yang boleh melancong ke luar negara dan belajar tentang budaya yang berbeza,” katanya.

    “Memiliki perpustakaan yang kaya dengan buku adalah satu khazanah bagi masyarakat, kerana ia memberi orang ramai keupayaan untuk belajar tentang fakta dan kehidupan yang tidak diketahui oleh mereka,” tambahnya.

    Sebelum ini, al-Mranikh pernah membaca novel dan cerita melalui telefon bimbitnya, tetapi pengalaman di perpustakaan berbeza sama sekali. “Buku-buku itu mempunyai keindahan dan kewujudannya sendiri,” kata gadis itu.

    Orang ramai melawat perpustakaan Samir Mansour di Bandar Gaza. – Xinhua
    Kelihatan seorang budak membaca buku di perpustakaan Samir Mansour. – Xinhua

    Perpustakaan itu, yang ditubuhkan lebih dua dekad lalu, merupakan salah satu perpustakaan pertama di Semenanjung Gaza, kata Shireen Al-Okka, pegawai perhubungan awam perpustakaan itu.

    Selepas ia dimusnahkan, aktivis Palestin dan luar negara menjalankan kempen di media sosial, dan berjaya mengumpul kira-kira AS$250,000 dan lebih daripada 100,000 buku yang dipindahkan melalui Kerem Shalom ke enklaf Palestin.

    Perpustakaan yang baru dibina itu, memiliki dua tingkat, meliputi kawasan seluas 1,000 meter persegi dan mengandungi kira-kira 400,000 buku.

    “Nasib baik, kami mempunyai masyarakat yang beradab dan suka membaca,” kata Al-Okka sambil menambah bahawa ‘terdapat kepelbagaian dalam citarasa pembaca di Gaza.’

    “Baru-baru ini terdapat permintaan untuk buku khusus dalam pemasaran, selain cerita menarik seperti siri Harry Potter, yang menjadi kegemaran ramai anak muda,” katanya.

    Akaber Juma’a, ibu kepada empat orang anak, suka membawa anak-anaknya ke perpustakaan, menggalakkan mereka membaca daripada bermain telefon bimbit.

    “Kita perlu mempunyai perpustakaan sebegini untuk meningkatkan aspek budaya anak-anak kita supaya mereka dapat berinteraksi dengan orang lain dalam masyarakat dan tidak terperangkap dalam permainan elektronik,” kata Juma’a. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...