Thursday, December 1, 2022
23 C
Brunei

-

Pertanian pintar berpotensi untuk maju pada masa depan

KUALA LUMPUR – Ketika persepsi ramai anak muda cenderung menjauhkan diri daripada menjadikan pertanian sebagai sumber mata pencarian, seorang usahawan tani dari Malaysia percaya pandangan itu akan terhakis, setelah menyedari potensi pertanian pintar dalam menangani krisis keselamatan makanan global.

Navanith Pillay, 36, dari Selangor berkata pertanian pintar yang menggabungkan gajet berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) untuk tanaman semakin mendapat tempat dalam kalangan petani muda di seluruh dunia.

Penanaman pintar menjimatkan masa dan wang dengan bantuan penderia dan AI yang berupaya menganalisis data bagi mengekalkan persekitaran pertanian optimum dan hasil yang baik.

Teknik pertanian pintar ialah konsep baharu yang merujuk kepada pengurusan ladang menggunakan teknologi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik, dron dan AI untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk sambil mengoptimumkan tenaga manusia. 

Ia mengurangkan sisa, meningkatkan produktiviti dan membolehkan banyak pengurusan sumber dibuat melalui penderiaan jauh.   

Teknik pertanian pintar ialah konsep baharu yang merujuk kepada pengurusan ladang menggunakan teknologi seperti IoT, robotik, dron dan AI untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk sambil mengoptimumkan tenaga manusia.
Navanith Pillay berkata pertanian pintar yang menggabungkan gajet berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) untuk tanaman semakin mendapat tempat dalam kalangan petani muda di seluruh dunia. – Bernama

Keadaan keselamatan makanan yang semakin merosot akibat konflik Ukraine-Rusia menimbulkan banyak cabaran di seluruh dunia.

Sebagai usaha menangani masalah itu, usahawan tani muda termasuk di Malaysia perlahan-lahan beralih ke penggunaan teknologi pertanian pintar dan pertanian jitu untuk menanam dan mengumpul lebih banyak makanan bagi kegunaan tempatan sambil mengurangkan kesan alam sekitar serta sisa baja dan racun perosak.       

“Konflik Ukraine-Rusia menyebabkan banyak negara yang bergantung dengan makanan import dalam keadaan terdesak berikutan harga makanan terus meningkat yang belum pernah berlaku sehingga mendorong negara mula berfikir di luar kotak bagi memenuhi keperluan makanan mereka, dengan ramai melihat pertanian pintar sebagai alternatif yang berdaya maju.

“Kajian menunjukkan amalan pertanian pintar boleh meningkatkan hasil tanaman dan keselamatan makanan di negara membangun, dengan penyelidik mendapati petani yang mengamalkan kaedah itu dapat meningkatkan hasil mereka dan menjadi mampan dalam industri pertanian,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.  

Navanith, yang mengendalikan ladang pintar nanas pelbagai jenis MD2 seluas 20 ekar di Selangor Fruit Valley, sebuah ladang buah-buahan tropika di Rawang, Selangor, berkata beliau kini bergantung pada teknologi pintar untuk memantau tanaman dan pengeluarannya.

“Malah saya boleh menguruskan tanaman saya dari jauh dan pada bila-bila masa tanpa perlu bersusah payah berada di ladang sepanjang masa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NP Asia Sdn Bhd itu.

Beliau berkata sistem ladang pintarnya menerima teknologi Korea dengan kebanyakan kerja dilakukan menerusi telefon pintar.           

“Saya kerap memeriksa telefon saya untuk memantau suhu dan kelembapan ladang. 

“Jika ada masalah  berkaitan keadaan tanah, saya boleh mengesannya menerusi telefon dan akan mengambil langkah yang perlu untuk menanganinya,” katanya.

Menurut usahawan tani itu, pegawai kedutaan Korea di Malaysia pernah melawat projek ladang pintarnya dan memuji usaha beliau dalam menghasilkan pelbagai jenis nanas MD2 yang berkualiti.             

Lebih dikenali sebagai Alex Np dalam kalangan rakan niaganya, beliau kini mempelbagaikan perniagaannya dengan menceburi bidang pengeluaran jus nanas MD2 dan santan dengan membuka sebuah kilang dilengkapi jentera asas di Rawang.          

“Golongan muda di Malaysia perlu berfikir di luar kotak dengan menjadi ‘bos’ dan cara terbaik untuk maju ialah menceburi bidang perniagaan pertanian pintar.

“Jika ada kemahuan untuk berjaya, mereka boleh memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM20,000 sebulan,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China lancar kapal angkasa Shenzhou-15

BEIJING, 30 NOV – China melancarkan kapal angkasa Shenzhou-15 semalam, yang membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa lepasnya bagi melengkapkan penghantaran pertama kru China...
- Advertisment -