Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pesta buku tawar buku mampu milik

    ISTANBUL – Nezahat Yeniceri, seorang pesara guru sekolah rendah dan pengarang mengenai perkembangan kanak-kanak, telah menyewa sebuah kiosk di sebuah pesta buku di Istanbul Turki untuk berinteraksi secara langsung dengan golongan muda, mendengar masalah mereka dan memperkenalkan tajuk baharu bukunya.

    “Buku yang saya tulis adalah sebagai garis panduan untuk ibu bapa bagi remaja yang terperangkap antara menjadi dewasa dan kanak-kanak,” kata Yeniceri kepada Xinhua pada pameran terbuka selama 10 hari yang dilancarkan baru-baru ini di sebuah taman di Besiktas, sebuah daerah tengah di sebelah Eropah bandar itu.

    Sesetengah pembeli berharap bukunya dapat membantu ibu bapa mereka memahami cara melayan anak-anak remaja, tambahnya, sambil menyatakan hampir semua bukunya dijual pada potongan harga.

    Hari Buku Macka yang dinamakan sempena kawasan kejiranan berlangsung sehingga Ahad lalu, membolehkan penduduk tempatan, terutamanya golongan muda dengan bajet yang terhad memiliki buku pada harga yang berpatutan.

    Buku baharu dan buku terpakai dalam pelbagai genre telah dijual di pameran itu, termasuk komik, fiksyen sains dan klasik.

    Nezahat Yeniceri mengikuti pesta buku di Istanbul, Turki. – Xinhua
    Nazmiye Bagci Caylioglu, menandatangani bukunya untuk seorang pelajar di pesta buku. – Xinhua
    Kelihatan pengunjung memilih buku di salah sebuah kiosk di pesta buku di Istanbul. – Xinhua

    Pada sepanduk yang didirikan tertera ‘tawaran wang untuk buku terpakai’, menggalakkan orang ramai menjual semula buku mereka untuk mendapatkan wang saku.

    Walaupun peminat buku boleh membeli buku pada harga 8 lira Turki (kira-kira AS$0.52), dua untuk 15 dan tiga untuk 20 di beberapa kiosk, harga dua buah buku terpakai boleh didapati serendah 10 lira di pameran itu.

    “Kadangkala kami bertemu dengan golongan muda yang menginginkan sesuatu tetapi tidak mampu memilikinya. Dalam kes sebegini, kami memberikan mereka buku itu sebagai hadiah. Lagipun, ia bukan semua tentang wang,” kata Yeniceri.

    Nazmiye Bagci Caylioglu, yang berkongsi kiosk bersama Yeniceri, juga seorang pesara guru sekolah rendah dan seorang penulis veteran.

    “Masalah ekonomi, sudah tentu, melanda rumah tangga. Keluarga besar, kanak-kanak sedang belajar, kos meningkat, perbelanjaan dapur telah semakin mahal, tetapi peminat buku sentiasa cuba membuat belanjawan untuk buku,” kata Caylioglu kepada Xinhua.

    Caylioglu sebelum ini bekerja sebagai guru untuk kanak-kanak cacat mental selama sepuluh tahun terakhir kerjayanya yang panjang dalam pendidikan.

    “Kadang-kadang sekolah menganjurkan lawatan.

    “Saya melihat ada pelajar boleh membeli buku yang mereka mahu, ada yang tidak… Saya memberitahu mereka yang tidak mampu bahawa ibu bapa mereka membayar lebih awal untuk buku mereka.

    “Saya memberikan buku itu kepada mereka sebagai hadiah, supaya perasaan mereka tidak terluka,” katanya.

    Sema Saglar, seorang penduduk kejiranan, menyuruh Yeniceri menandatangani buku untuk anak perempuannya.

    “Pameran itu hebat. Saya sangat gembira kerana mereka menganjurkan pesta buku… Ia merupakan satu peluang yang sangat baik untuk pelajar,” katanya kepada Xinhua.

    Saglar gembira melihat beberapa buku dijual pada separuh harga.

    Dia membayar sekurang-kurangnya 30 hingga 40 lira untuk sebuah buku di kedai buku, tetapi di sini dia boleh mencari buku yang sama dengan harga 10 hingga 15 lira.

    Penerbitan Turki telah terjejas teruk oleh kejatuhan nilai lira kerana industri ini banyak bergantung kepada input import untuk percetakan dan penerbitan.

    Mata wang Turki telah kehilangan hampir 60 peratus daripada nilainya berbanding dolar AS sejak 2021.

    Sejak awal tahun ini, harga kertas telah meningkat sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus, dan penerbit bergelut untuk mencetak buku. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...