Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pokok kumquat Tu Lien popular menjelang TBC

    HANOI – Pokok kumquat Bonsai di perkampungan Tu Lien dengan bentuk dan saiznya yang unik semakin popular di kalangan pembeli untuk hiasan Tahun Baharu Cina (TBC) di Hanoi.

    Tu Lien di Daerah Tay Ho, Hanoi, adalah tempat yang biasa bagi kebanyakan penduduk tempatan setiap kali cuti TBC.

    Pada masa dahulu, kampung itu merupakan tanah yang kaya tetapi belum diterokai sepenuhnya. Penduduk di sini kebanyakannya menanam tanaman seperti jagung, ubi kentang, kacang tanah dan ubi kayu. Selepas tempoh pengubahsuaian, Tu Lien berkembang menjadi sebuah perkampungan kumquat, kira-kira 30 tahun yang lalu.

    Pokok kumquat Tu Lien terkenal dengan bentuknya yang unik dan menarik perhatian. Setiap kali TBC, ramai yang sanggup membayar beberapa juta hingga puluhan juta dong untuk membeli pokok bagi rumah mereka.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tukang kebun di sini telah menghasilkan idea untuk menanam kumquat dalam pasu, patung porselin atau pasu seni seramik untuk memenuhi keperluan pelanggan. Tumbuhan kecil ini hanya kira-kira 80 hingga 120sm tinggi, sesuai untuk ruang pangsapuri atau pejabat yang sempit. Bentuk dan pasu tumbuhan boleh disesuaikan oleh tukang kebun mengikut umur dan pilihan pemilik.

    Pokok kumquat Tu Lien terkenal dengan bentuknya yang unik dan menarik perhatian. — ANN/VNS
    Hoang Van Luan adalah salah seorang perintis untuk menanam jenis kumquat ini di Tu Lien. — ANN/VNS
    Pokok kumquat bonsai mini. — ANN/VNS
    Pokok bonsai kumquat yang ditanam dalam pasu bunga kecil kebanyakannya dipilih oleh ramai orang muda. — ANN/VNS
    Pokok bonsai kumquat sesuai untuk ruang sempit di pangsapuri atau pejabat. —ANN/VNS

    Tahun ini, pokok bonsai kumquat yang dipanggil ‘Thuan buom xuoi gio’ (Pelayaran Lancar) dan ‘Ma dao thanh cong’ (Menangi Kejayaan Segera) adalah pokok yang paling dicari.

    Hoang Van Luan, pemilik Hoang Gia Garden adalah salah seorang perintis penanaman kumquat jenis ini di Tu Lien. Menurut Luan, pokok kumquat ini direka khas oleh tukang untuk TBC. Mereka ditanam dalam pasu artistik untuk membawa tuah dan keamanan kepada pemiliknya.

    Pokok hiasan ini juga melambangkan hasrat perkampungan kraf Tu Lien untuk membawa bonsai kumquat ke ‘laut besar’ dan mencapai lebih ramai pelanggan, katanya.

    Luan berkata tukang kebun mengambil masa bertahun-tahun untuk menanam tanaman hiasan.

    “Langkah yang paling sukar dan memakan masa ialah membentuk kumquat dan menjaganya supaya ia dapat membuahkan hasil tepat pada masanya untuk TBC,” katanya.

    Luan juga mendedahkan, pada tahun-tahun sebelumnya, pokok kumquat sering ditanam dalam pasu tembikar dengan bentuk yang sepadan dengan haiwan zodiak setiap tahun tetapi TBC ini, semuanya berubah.

    “Tahun 2022 adalah tahun harimau dan mengikut budaya Vietnam, tiada siapa yang mahu membawa harimau masuk ke rumah mereka terutama pada tahun baharu, jadi kami tidak menanam kumquat dalam pasu berbentuk harimau tahun ini,” katanya.

    Sementara itu, pokok kumquat bonsai mini yang ditanam dalam pasu kecil menjadi pilihan ramai pelanggan terutama golongan muda kerana harganya yang rendah dan saiznya yang kecil.

    Nguyen Quynh Anh, 30, pelanggan yang tinggal di Hanoi memberitahu Vietnam News, tahun ini dia memutuskan untuk membeli pokok mini sebagai hadiah kepada rakan-rakannya.

    Walaupun terdapat penularan wabak COVID-19, taman di Tu Lien masih mempunyai banyak pra-pesanan. Pada hujung minggu, ratusan penduduk tempatan datang ke sini untuk membeli pokok kumquat untuk kediaman mereka.

    Nguyen Thi Ha, seorang penjual, memberitahu Vietnam News kebanyakan kumquat di tamannya, yang dalam keadaan baik, telah ditempah satu atau dua bulan lalu.

    “Ada pelanggan datang ke sini untuk memilih pokok kumquat sejak beberapa bulan lalu. Selepas memilih pokok yang mereka suka, pelanggan akan meninggalkannya untuk kami jaga. Kira-kira seminggu sebelum TBC barulah mereka kembali ke kebun untuk mengambil pokok mereka,” katanya.

    Di taman Nguyen Tien, kira-kira 500 daripada 600 pokok kumquat telah habis dijual dalam masa tiga minggu sebelum TBC. Tien berkata, masih ramai yang datang ke kebunnya untuk membeli kumquat kerana percaya pokok yang cantik akan membawa kemakmuran kepada pemiliknya pada tahun baharu.

    “Pokok kumquat dan pic adalah perkara yang sangat diperlukan di rumah Vietnam semasa TBC. Dipercayai lebih banyak buah-buahan yang terdapat pada pokok kumquat, lebih banyak tuah akan datang kepada pemiliknya. Jadi walaupun orang ramai tidak menjana pendapatan pada tahun ini, mereka masih berusaha untuk membeli pokok kumquat yang sesuai untuk kediaman mereka,” katanya. – VNS

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...