Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Program AI hasilkan ilustrasi kreatif kanak-kanak

    Gambar ANN/The Straits Times

    SINGAPURA – Bagaimana Singapura akan kelihatan pada masa depan? Kanak-kanak dari prasekolah ChildFirst @ King Albert Park menggunakan kreativiti mereka – dan alat kecerdasan buatan yang baharu – untuk mengubah visi mereka tentang masa depan menjadi karya seni.

    Platform kecerdasan buatan (AI) generatif sumber terbuka terbaharu yang popular, ChatGPT, sedang mencatat kemunculannya di prasekolah tempatan.

    Syarikat pendidikan Ednovation telah membangunkan chatbot AI yang mesra kanak-kanak.

    Syarikat itu akan melancarkan chatbot yang dipanggil EdGPT, dan penggunaan alat kecerdasan buatan generatif di semua prasekolah di Singapura dan negara-negara Asia lain.

    Di bawah bimbingan guru-guru mereka, sekumpulan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun dari prasekolah ChildFirst @ King Albert Park mencipta ilustrasi dengan bantuan AI.

    Lukisan Timothy mengenai kereta kabel sebagai rumah.
    Lukisan cat air yang dihasilkan oleh program AI berdasarkan ilustrasi dan arahan Jervina.
    Ilustrasi Eton mengenai sebuah rumah futuristik dengan bapa, ibu dan anak bermain dan menonton televisyen bersama robot.
    Lukisan gaya Van Gogh arahan Gabriel tentang robot pada masa depan yang menghidangkan makanan kepada seorang budak lelaki, dengan nuget ayam, kentang goreng dan burger di atas meja.
    Ilustrasi Bylss tentang kereta sport elektrik yang boleh terbang.
    Lukisan realistik Han Zhe tentang sekolah di Singapura, dengan pesawat jet di langit.
    Foto sebuah kapal terbang plastik di Singapura pada masa depan ilustrasi daripada Callen.

    Melalui potret menggunakan projeksi visual, The Straits Times melihat bagaimana kanak-kanak menggambarkan atau membayangkan masa depan dengan bantuan AI generatif.

    Jenis AI ini direka untuk mencipta kandungan baharu seperti gambar, teks, audio atau kod komputer dengan menggunakan data yang telah dilatih.

    Kanak-kanak memberikan arahan kepada program AI, sementara sesetengah mereka juga memuat naik lukisan mereka sendiri, untuk membantu menjelaskan visi mereka dengan lebih baik kepada AI.

    Li Wang Xin, 5 tahun

    “Setiap orang akan mempunyai pesawat terbang sendiri dengan kawalan jauh yang akan membawa kita terus ke tempat yang kita mahu pergi.”

    Arahan yang diberikan oleh Wang Xin kepada program AI: Pesawat terbang robot terbang dari Singapura ke Indonesia dalam lukisan catan air.

    Eton Wong, 5 tahun

    “Pada masa depan, orang hanya perlu bekerja selama lima minit sehari. Untuk masa seterusnya, mereka akan bermain dengan anak-anak mereka, menonton rancangan kegemaran mereka dan menggunakan EdGPT.”

    Arahan yang diberikan oleh Eton kepada program AI: Sebuah rumah futuristik dengan bapa, ibu dan anak bermain dan menonton televisyen bersama-sama dengan robot. Fotografi realistik.

    Gabriel Chia, 5 tahun

    “Pada masa depan, akan ada sebuah robot yang menyajikan makanan kepada saya di rumah.”

    Arahan yang diberikan oleh Gabriel kepada program AI: Lukisan gaya Van Gogh tentang seorang robot pada masa depan yang menghidangkan makanan kepada seorang budak lelaki, dengan nuget ayam, kentang goreng dan burger di atas meja.

    Blyss Chen, 6 tahun

    “Pada masa depan, saya mahu mempunyai kereta sukan elektrik yang boleh terbang, supaya ia dapat membawa saya ke langit.”

    Arahan yang diberikan oleh Blyss kepada program AI: Sebuah kereta sukan pada masa depan yang boleh terbang di langit dalam lukisan cat air.

    See Han Zhe, 6 tahun

    “Pada masa depan, akan ada tembok yang halimunan atau tidak dapat dilihat untuk melindungi sekolah, supaya orang jahat tidak dapat masuk.

    “Orang akan datang ke sekolah dengan menggunakan pesawat jet dan ibu akan membawa saya ke sekolah dengan payung terjun.

    “Pesawat jet akan menggantikan kereta.”

    Arahan yang diberikan oleh Han Zhe kepada program AI: Sekolah pada masa depan di Singapura, dengan pesawat jet di langit. Lukisan realistik.

    Jervina Huang, 5 tahun

    “Pada masa depan, akan ada meja katil dengan kawalan suara yang mempunyai air disimpan di dalamnya dan akan mengeluarkan air, jus strawberi, kopi dan teh.

    “Ia akan membuat jus, teh panas dan kopi apabila diminta. Ia akan memberikan snek apabila awda memintanya.”

    Arahan yang diberikan oleh Jervina kepada program AI: Dapur futuristik di Marikh, sebuah katil dan peti sejuk dalam lukisan catan air.

    Ilustrasi juga menunjukkan satu imej gaya buku komik yang dihasilkan oleh AI mengenai dapur masa depan di Marikh, dengan mesin-mesin robotik.

    Callen Tan, 5 tahun

    “Pada masa depan, pesawat akan dibuat daripada plastik dan keseluruhan pesawat akan menjadi lut sinar.”

    Arahan yang diberikan oleh Callen kepada program AI: Foto sebuah kapal terbang plastik di Singapura pada masa depan dan pesawat pejuang.

    Timothy Chow, 6 tahun

    “Pada masa depan, rumah kediaman kami akan menjadi kereta kabel. Kereta kabel tersebut boleh terbang dan bergerak di langit.”

    Arahan yang diberikan oleh Timothy kepada program AI: Hutan masa depan, taman di langit dengan bunga-bungaan dalam lukisan realistik. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...