Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Squid Game menyerlah di SAG 2022

    Drama bersiri Korea Selatan yang mencetuskan fenomena di seluruh dunia, Squid Game meraih tiga trofi utama pada Anugerah Screen Actors Guild (SAG) 2022 di Santa Monica, California, Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

    Bolos empat pencalonan, Squid Game yang ditayangkan di Netflix, meraih tiga trofi iaitu kategori Pelakon Drama Lelaki Terbaik dimenangi Lee Jung-Jae; Pelakon Drama Wanita Terbaik (Jung Ho-Yeon) dan Drama Aksi Terbaik.

    Bagaimanapun, Squid Game gagal membawa pulang kategori Drama Terbaik.

    Sebelum ini, drama arahan Hwang Dong Hyuk ini mencipta sejarah sebagai drama berbahasa asing pertama yang dicalonkan pada edisi ke-28 tahun acara anugerah berprestij itu.

    Pada acara itu, pelakon cacat pendengaran, Troy Katsur mengungguli kategori Pelakon Filem Pembantu Lelaki Terbaik bagi lakonannya dalam filem CODA, lapor media.

    Jung-Jae menerima trofi Pelakon Drama Lelaki Terbaik pada Anugerah SAG 2022. – Agensi

    CODA iaitu singkatan membawa maksud ‘child of deaf adults’ atau anak kepada insan cacat pendengaran juga menang kategori Filem Terbaik.

    Sementara itu, bagi kategori sama, Ariana DeBose diumumkan sebagai Pelakon Filem Pembantu Wanita Terbaik bagi watak dilakonkan dalam filem West Side Story.

    SAG 2022 juga mengangkat pelakon ‘senior’, Will Smith sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik bagi filem King Richard.

    Selain itu, Jessica Chastain diangkat sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik hasil lakonan cemerlang dalam filem The Eyes of Tammy Faye.

    Kemenangan Chastain menolak ramalan ramai terhadap persembahan cemerlang Lady Gaga dalam filem The House Of Gucci.

    Sementara itu, filem No Time to Die menang Filem Aksi Terbaik.

    Kategori drama TV pula menyaksikan karya Succession dijulang kategori Drama Terbaik.

    Drama komedi Ted Lasso tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih dua trofi iaitu Drama Komedi Terbaik dan Pelakon Lelaki Komedi Terbaik yang diraih Jason Sudeikis.

    Pelakon Jean Smart pula diumumkan sebagai Pelakon Wanita Komedi Terbaik untuk siri Hacks.

    SAG turut mengangkat pelakon berpengaruh Hollywood, Michael Keaton sebagai Pelakon TV Lelaki Terbaik dalam Dopesick dan Kate Winslet sebagai Pelakon TV Wanita Terbaik untuk Mare of Easttown.

    Kedua-dua pelakon itu menang berdasarkan siri drama mini atau telefilem yang disiarkan di TV.

    Sementara itu, pelakon legenda, Helen Mirren yang pernah menerima 13 kali pencalonan dan lima kemenangan di pentas SAG, menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat SAG.

    Dalam ucapannya, aktres berusia 76 tahun itu antara lain menyebut rahsia di sebalik survival seni adalah sentiasa menepati masa dan usah jadi pemalas atau menimbulkan masalah. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...